My Add

Monday 30 September 2013

Taufan Wutip: Berpuluh ribu penduduk Vietnam dipindah

HANOI, ISNIN, 30 September, 2013: Berpuluh-puluh ribu penduduk di Vietnam dipindahkan sebelum Taufan Wutip membadai negara ini.

Jabatan Kaji Cuaca Nasional menyatakan Wutip dijangka melanda pusat Vietnam lewat hari ini.

Jawatankuasa Pusat Kawalan Banjir dan Ribut berkata, lebih 140,000 di empat wilayah di tengah Vietnam akan dipindahkan hari ini. - Agensi/UTUSAN
Bekas polis diperintah bayar RM585,000 kepada bekas isteri

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 September, 2013: Mahkamah Tinggi KL hari ini memerintahkan supaya seorang bekas anggota polis membayar ganti rugi berjumlah RM585,000 kepada bekas isterinya dan abang wanita itu, ekoran kecederaan yang dialami akibat ditembak dalam satu pergaduhan keluarga.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong dalam saman yang difailkan oleh G. Prema selaku pihak plaintif terhadap T. Ravindran. - UTUSAN ONLINE 
Berita itu palsu, Aaron sihat di Cape Town  - Isteri

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
 
BERITA 'kematian' pelakon Aaron Aziz seperti disiarkan laman web Global Associate News yang ternyata ia hanya laporan palsu.
 AARON AZIZ
KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 September, 2013: Laporan berhubung kematian pelakon popular Aaron Aziz ketika bermain luncur salji di sebuah resort terkenal di Switzeland adalah palsu semata-mata.

Isteri kepada pelakon berusia 37 tahun itu, Diyana Halik berkata, laporan tersebut tidak benar sama sekali kerana Aaron kini sedang berada di Cape Town, Afrika Selatan dan bukannya di Switzerland.

"Berita itu palsu, Aaron sihat dan berada di Cape Town untuk penggambaran program Fear Factor untuk terbitan Astro. Dia bukannya di lokasi disebut dalam artikel tersebut," jelas Diyana melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Online hari ini.

Berita berhubung kematian pelakon berasal dari Singapura itu tersebar sejak semalam selepas laporan itu dikeluarkan oleh laman web "Global Associated News" yang kemudian mendapat perhatian meluas di laman-laman sosial lain.

Menurut laman web berkenaan, pelakon itu dikatakan gagal mengawal papan luncur salji sebelum terlanggar sebatang pokok ketika meluncur dengan laju dan gagal diselamatkan akibat kecederaan parah. - UTUSAN

Bagaimanapun Utusan Online mendapati "Global Associated News" yang menggunakan pautan networkedblogs.com/PyyPs itu merupakan sebuah laman web palsu. - UTUSAN ONLINE 
BN ketengah calon boleh diterima pengundi - Mukhriz

ALOR SETAR, ISNIN, 30 September, 2013: Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan senarai nama calon yang boleh diterima dan disenangi penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau untuk dipertimbangkan mewakili parti pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi berkenaan tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir Mahathir berkata, beliau menerima banyak pandangan mengenai ciri-ciri calon untuk dipertimbangkan seperti anak tempatan dan berlatar belakang agama selain tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan calon yang pernah bertanding pada pilihan raya umum sebelum ini.

Beliau berkata, BN mempunyai ramai calon yang layak diketengahkan dan pihaknya akan menyenarai pendek tiga nama bersama latar belakang mereka untuk diserahkan kepada pucuk kepemimpinan parti membuat keputusan.

''Kita mempertimbangkan setiap pandangan dan segenap sudut. Pada peringkat ini kita sedia menghadapi sebarang kemungkinan, belum tahap menyenarai pendek kerana mempunyai beberapa calon hebat untuk ditonjolkan,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Kedah sempena PRK DUN Sungai Limau di sini malam tadi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada 26 September lalu akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Bekas Menteri Besar Kedah itu memenangi DUN Sungai Limau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dengan majoriti 2,774 undi.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, usaha BN untuk menawan DUN Sungai Limau yang disandang Azizan sejak lima penggal lalu bukan mustahil untuk dilakukan meskipun menyedari hakikat kawasan itu merupakan kubu kuat Pas.

Katanya, BN menawarkan peluang kepada pengundi di kerusi itu supaya bersama-sama berada dalam arus pembangunan perdana Kedah yang sedang dirancang oleh kerajaan negeri ketika ini.

Tambah beliau, persiapan jentera BN terutama dalam DUN berkenaan sudah pun bermula dengan komitmen tinggi diperlihatkan di semua peringkat.

''Kita akan berusaha sedaya mungkin dan lebih kuat untuk meyakinkan rakyat supaya memihak kepada BN pada kali ini. Saya akui ia satu cabaran getir tetapi tidak mustahil dan perlu menerima hakikat kita bukan parti pilihan dalam pilihan raya kecil ini walaupun menguasai kerajaan negeri,'' katanya. - UTUSAN ONLINE
Pindaan PCA untuk perangi jenayah terancang - PM

NEW YORK, ISNIN, 30 September, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang dicadangkan kerajaan adalah lebih khusus untuk memerangi jenayah terancang.

Perdana Menteri berkata ia bukan hendak mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Najib berkata ISA berbeza daripada PCA kerana ISA memberi kuasa begitu luas untuk menahan seseorang individu tanpa proses mahkamah sebaliknya kuasa itu diberikan kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri.

"Tetapi kali ini (di bawah pindaan akta) keputusan akan dibuat oleh pihak hakim, jadi kalau polis menahan sesiapa, ia perlu menyakinkan pihak hakim bahawa individu tertentu ini perlu ditahan," kata Najib pada sidang akhbar sempena berakhir lawatan kerja beliau ke San Francisco dan New York, Amerika Syarikat, dari 22 Sept hingga semalam.

"Dan kita akan pastikan tidak berlaku penganiayaan terhadap sesiapa," katanya sambil menegaskan bahawa seseorang itu tidak ditangkap hanya kerana mempunyai pendirian dan ideologi politik yang berbeza daripada kerajaan.

Najib berkata negara memerlukan undang-undang khusus untuk memerangi jenayah terancang kerana mereka yang terlibat melakukan jenayah secara terbuka.

"Ia telah menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat Malaysia dan jika (kerajaan) tidak bertindak, lebih ramai akan menjadi mangsa dan tahap ketakutan akan lebih tinggi," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau mahu mewujudkan satu keadaan di mana rakyat Malaysia berasa lebih selamat di negara sendiri.

Beliau berkata bagaimanapun usaha itu memerlukan komitmen yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak dan yang diutamakan ialah keadaan negara yang bebas daripada jenayah.

Ditanya mengenai terdapat bangkangan daripada pihak tertentu terhadap pindaan akta itu, Najib berkata kerajaan tidak perlu berunding dengan semua pihak berkepentingan tetapi mereka bebas untuk memberikan pandangan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah berkata bahawa pindaan akta berkenaan bertujuan membolehkan polis melaksanakan tugas membanteras dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan. - BERNAMA 
Pemilihan UMNO perlu dilihat bersih dan sihat - Najib

NEW YORK, ISNIN, 30 September, 2013: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemilihan UMNO pada tahun ini perlu dilihat sebagai satu proses yang bersih dan sihat.

Beliau berkata pemilihan kali ini akan didasarkan kepada kewibaan calon untuk menyandang apa jua jawatan dalam UMNO, sama ada di peringkat nasional ataupun di peringkat bahagian.

Najib, yang juga Perdana Menteri berkata, UMNO telah cuba memperkenalkan perlembagaan baharu yang memberi peluang demokrasi yang lebih terbuka dan lebih luas kepada anggota parti.

Dengan perlembagaan baharu ini, bilangan yang memilih mencecah kira-kira 150,000 orang, kata Najib kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja beliau ke San Francisco dan New York dari 22 September lepas hingga semalam.

"Dengan ini kita cuba untuk melihat keberkesanan sistem pemilihan yang baharu," kata beliau.

Najib berkata setakat ini proses pemilihan UMNO berjalan lancar.

"Saya berharap bukan sahaja semua berjalan lancar tetapi (pemilihan kali ini) dilihat sebagai satu proses yang bersih.

"Ini bererti bahawa ahli-ahli UMNO perlulah memainkan peranan supaya sistem pemilihan ini benar-benar membawa kepada transformasi yang diharapkan oleh parti kita," katanya.

Diminta mengulas cakap-cakap politik yang tersebar kononnya beliau merestui calon tertentu, Najib berkata walau apapun kenyataan beliau mengenai perkara itu, orang tetap akan mentafsirkannya mengikut tafsiran mereka masing-masing.

"Maka, saya fikir lebih baik saya katakan bahawa apa yang penting ialah para perwakilanlah yang akan menentukan barisan kepimpinan parti yang terbaik untuk memperkukuh dan memajukan parti.

"Itulah yang saya harapkan akan berlaku pada pemilihan UMNO kali ini," katanya.

UMNO mula melaksanakan kaedah baharu dalam pemilihan parti Oktober tahun ini selepas membuat pindaan dalam perlembagaannya, yang melibatkan pindaan, penambahan dan pemansuhan beberapa fasal.

Mengikut perangkaan parti, seramai 146,500 perwakilan UMNO dari 191 bahagian di seluruh negara akan memilih pada kali ini. - BERNAMA 
Prabowo hadiri kes amah didakwa bunuh majikan

KOTA BHARU, ISNIN, 30 September, 2013: Pengerusi Parti Gerakan Indonesia Raya, Prabowo Subianto hadir di Mahkamah Tinggi Kota Bharu di sini pagi ini bagi memberi sokongan moral kepada seorang pembantu rumah Indonesia yang didakwa membunuh majikan wanitanya di Pasir Mas tiga tahun lalu.

Prabowo sebelum ini mengumumkan untuk merebut jawatan Presiden Indonesia yang disandang Susilo Bambang Yudhoyono selepas tempoh pemerintahan beliau tamat pada 2014.

Berhubung kes tersebut, Wilfrida Soik, 23, didakwa membunuh Yeap Seok Pen di Kampung Chabang Empat, Tok Ubah pada November 2010.

Kes tersebut bagaimanapun mencetuskan kontroversi di Indonesia apabila media di negara itu melaporkan kenyataan gereja Katolik yang mendakwa Wilfrida adalah mangsa pemerdagangan manusia.

Akhbar Jakarta Post melaporkan gereja Katolik berkata, Wilfrida berumur 17 tahun ketika kejadian namun diubah kepada 20 tahun oleh sindiket yang membawanya masuk ke negara ini pada 2010. - UTUSAN 
Tentera Filipina tembak mati tujuh lagi pemberontak

MANILA, ISNIN, 30 September, 2013: Tentera kerajaan berjaya membunuh tujuh orang saki baki anggota kumpulan bersenjata Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Pasukan tentera dan polis khas semalam berjaya membunuh enam pemberontak yang menyembunyikan diri di sebuah rumah di bandar Zamboanga selepas mereka enggan menyerah diri.

Seorang lagi ditembak mati dalam satu pertempuran yang berlaku di Rio Hondo kelmarin. - Agensi/UTUSAN 
Assad terima resolusi PBB berhubung senjata kimia

ROME, ISNIN, 30 September, 2013: Syria akan menghormati persetujuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung senjata kimia, kata Presiden Bashar al-Assad kepada stesen televisyen Itali RaiNews24.

"Penyertaan kami dalam persetujuan antarabangsa menentang pengambilan dan penggunaan senjata kimia telah berlaku sebelum resolusi ini diluluskan,’’ kata Assad ketika ditanya tentang adakah Syria akan mematuhi resolusi tersebut.

Majlis Keselamatan PBB mencapai satu resolusi Jumaat lalu untuk pemusnahan senjata kimia Syria, tetapi tidak akan mengambil tindakan automatik terhadap kerajaan Assad jika mereka enggan mematuhi resolusi tersebut. - REUTERS/UTUSAN 
Ramalan The Economist tentang Mukhriz 'ancam' Najib dipersoal

PUTRAJAYA, AHAD, 29 September, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoal niat majalah antarabangsa, The Economist meramalkan anaknya, Datuk Mukhriz bakal mengancam kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin nombor satu parti itu sekiranya menang dalam pertandingan parti tersebut bulan depan.

Menurut beliau, anaknya itu tidak mempunyai sebarang niat buruk terhadap Najib atau kepimpinan UMNO yang lain ketika menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

"Mereka (The Economist) tidak boleh mencari atau memperkatakan apa-apa yang baik mengenai orang lain.

"Itu (usaha menjatuhkan Najib) yang akan mereka lakukan jika berada di kedudukan Mukhriz, tetapi di Malaysia, kita tidak akan ada niat seperti itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Dr. Mahathir meluangkan masa melawat Hari Terbuka Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) dan membaca buku cerita kepada kanak-kanak dalam program tersebut.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Sirkit Pancing Putrajaya Siri 3/2013 yang diadakan di tasik YKP.

Majalah antarabangsa itu dalam laporannya kelmarin menyebut kemenangan Mukhriz dijangka menyebabkan masa depan Najib menjadi malap.

Perkara itu berdasarkan pandangan golongan yang menentang Najib akan mendampingi Mukhriz iaitu pemimpin yang dianggap sebagai penyambung kepimpinan Dr. Mahathir.

Selain Mukhriz, jawatan Naib Presiden turut ditandingi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad turut sama bertanding jawatan itu. - UTUSAN 
Gerakan mahu baiki kelemahan

 
JOHOR BAHRU, AHAD, 29 September, 2013: Parti Gerakan sentiasa berusaha mencari mekanisme memperbetulkan kelemahan sekali gus menarik semula sokongan orang ramai.

Pemangku Presidennya, Datuk Chang Ko Youn (gambar) berkata, sokongan ahli yang komited serta masih setia terhadap perjuangan parti itu dijadikan pembakar semangat untuk mereka bangkit memperkuatkan parti.

“Kita mengaku memang ada kelemahan dalam parti, siapa pun akan ada kelemahan. Yang penting kita mengaku dan berusaha mencari jalan penyelesaiannya, ahli juga kena tanya diri mereka sendiri.

“Kalau semua kata tiada masalah, buat kerja macam biasa dan masih dengan cara sama, susahlah begitu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Persidangan Perwakilan PGRM Negeri Johor Tahun 2013, di sini hari ini.

Gerakan akan mengadakan pemilihan parti peringkat Pusat pada 26 Oktober ini selepas semua pemilihan peringkat negeri berakhir 6 Oktober ini dengan PGRM Perak yang terakhir mengadakannya.

Ko Youn berkata, ahli akar umbi juga masih kuat memberi sokongan kepada parti biarpun prestasi Gerakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak memuaskan. - UTUSAN 
Tidak rela Pas jadi 'pak sanggup'

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013: Ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi tidak rela membiarkan parti itu menjadi 'pak sanggup' dalam segala isu dan kecelaruan yang melanda sekutu-sekutunya di dalam pakatan pembangkang.

Ahli Pas Cawangan Kampung Binjai, Kepala Batas Pulau Pinang, Mahzan Zahid, 34, berkata, imej Pas turut terjejas dengan kontroversi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Beliau yang menganggotai Pas sejak 12 tahun lalu memberitahu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga dilanda krisis perebutan kuasa terutama di Selangor.

"Selain itu, kita mempunyai masalah dengan PKR dan DAP di semua negeri khususnya dalam soal pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

"Saya berasa amat malu kerana masalah-masalah yang berlaku itu menunjukkan Pas tidak mempunyai persefahaman dan keserasian dengan DAP serta PKR," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mahzan mengulas saranan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dalam ucaptama Multaqa Ulama Se-Malaysia di Kedah pada 14 September lalu yang mencadangkan jawatankuasa khas ditubuhkan segera bagi mengkaji kemerosotan sokongan pengundi Melayu terhadap Pas serta menilai kembali tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang.

Tambah beliau, saranan tersebut menunjukkan Harun ingin melihat Pas dihormati kawan dan lawan.

Jelasnya, Harun amat mengambil berat dan meneliti cadangan-cadangan yang dibentangkan para ulama pada multaqa tersebut.

"Saya menyokong sepenuhnya saranan Harun agar parti mengkaji semula tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR yang sememangnya perlu dilakukan selepas Pas kehilangan sokongan pada PRU-13," ujarnya. - UTUSAM 
Gagal tarik sokongan pengundi wanita

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013: DAP mengakui masih gagal menarik sokongan pengundi wanita yang disifatkan sebagai sumber kekuatan utama UMNO.

Menyedari hakikat itu, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, parti itu termasuk rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang perlu berusaha gigih menawan hati golongan tersebut terutama mereka yang di luar bandar.

Jelas beliau, kekurangan sokongan itu berpunca daripada program yang ditonjolkan kepada golongan ibu kurang menyerlah justeru sudah tiba masanya lebih banyak peluang diberikan agar persepsi negatif terhadap pakatan pembangkang dapat diubah.

''Kita tidak nafikan golongan wanita sukar ditembusi, maka, kita harus menempa identiti baharu pakatan pembangkang yang turut mementingkan golongan itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Kongres Khas Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, di sini hari ini.

Pemilihan CEC parti itu dilakukan semula berikutan dakwaan terdapat masalah teknikal akibat kesilapan pengiraan undi pada pemilihan sebelum ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Guan Eng berkata, walaupun pakatan pembangkang berjaya menarik golongan muda, parti itu belum berjaya menarik minat golongan wanita.

Katanya, tanpa sokongan golongan itu, pakatan pembangkang tidak boleh terlalu berharap untuk menang melainkan menyediakan program yang sistematik kepada mereka.

''Kita perlu perluaskan peluang kepada wanita, golongan itu paling besar berada di universiti, oleh itu, teramat penting kita berusaha menawan mereka dengan memaparkan dasar-dasar yang dibuat oleh parti,'' katanya. - UTUSAN
Saya tidak akan berundur - Karpal

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan bahawa beliau tidak akan berundur daripada arena politik selagi pakatan pembangkang belum berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.

Karpal yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor percaya setiap orang pasti akan bersara tetapi memberitahu beliau belum bercadang untuk melakukannya dalam masa terdekat ini.

Beliau juga membayangkan kemungkinan untuk terus bertanding pada pilihan raya umum akan datang sekiranya dicalonkan oleh parti.

"Sudah tentu setiap orang akan melalui persaraan, tetapi saya masih belum bercadang mengundur diri dalam waktu terdekat. Saya akan bersara dalam tempoh waktu yang munasabah.

"Saya akan berjuang bersama parti sehingga impian (menawan Putrajaya) tercapai. Pada pilihan raya umum akan datang, pakatan pembangkang berpeluang merebut kuasa daripada kerajaan Pusat," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mengundi sempena pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di sini hari ini.

Pemilihan CEC parti itu dilakukan semula berikutan dakwaan terdapat masalah teknikal akibat kesilapan pengiraan undi pemilihan sebelum ini.

Terdahulu, dalam ucapannya sempena Kongres Ke-16 DAP, Karpal seolah-olah membayangkan bersedia melepaskan jawatannya dan memberi peluang kepada pemimpin muda parti itu.

"Pemimpin seperti 'kita' semakin hari semakin berusia dan sudah tiba masanya golongan muda memimpin parti.

"Apabila saya menyebut pemimpin seperti 'kita', termasuklah juga Penasihat parti, Lim Kit Siang," katanya. - UTUSAN 
Bom kereta gegarkan Peshawar, 33 maut

* SEORANG lelaki mengangkat seorang mangsa yang cedera dalam insiden letupan bom di pasar Kissa Khwani, Peshawar, Pakistan, semalam. - AFP
PESHAWAR, Pakistan, AHAD, 29 Sept.ember, 2013: Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dalam satu insiden letupan bom di barat laut Peshawar, hari ini.

Seorang pegawai kerajaan, Sahebzada Muhammad Anis berkata, letupan itu berlaku di sebuah pasar yang sibuk.

"Letupan itu meragut 33 nyawa dan mencederakan lebih 80 yang lain," katanya.

Jurucakap polis, Shafqat Malik berkata, letupan itu berlaku berhampiran sebuah balai polis, tetapi menolak dakwaan balai itu menjadi sasaran pengganas.

"Hasil siasatan awal mendapati letupan itu berpunca daripada bom kereta," ujarnya.

Serangan itu adalah yang ketiga melanda Peshawar dan beberapa bandar berhampiran sejak seminggu lalu.

Pada Ahad lepas, dua serangan berkembar dilaporkan di sebuah gereja di sini, mengorbankan 82 orang, sekali gus mencetuskan tunjuk perasaan dalam kalangan penduduk Kristian yang menuntut kerajaan menyediakan perlindungan kepada kumpulan minoriti itu.

Kelmarin, sebuah bas membawa pekerja kerajaan turut meletup, menyebabkan 18 orang terbunuh. - AFP/UTUSAN 
Khemah jemaah haji di Mina ditambah

 *PENTADBIRAN Mekah bakal membina lebih banyak khemah di Mina bagi menampung pertambahan jemaah haji tahun ini. - AGENSI
MEKAH, AHAD, 29 September, 2013: Jurucakap pentadbiran Mekah, Sultan al-Dossary berkata, jabatan pentadbiran kerajaan di Mina akan dipindahkan ke kompleks baharu di Muzdalifah tidak lama lagi, sekali gus membolehkan lebih banyak khemah untuk jemaah haji dibina.

Katanya, pemindahan itu bakal mewujudkan 23 peratus kawasan lebihan dan dapat menampung pertambahan 185,000 jemaah haji pada tahun ini.

"Fasa pertama pembinaan komplek pentadbiran baharu itu telah siap dan kebanyakan agensi kerajaan akan dipindahkan dalam tempoh terdekat.

"Gabenor Mekah, Putera Khaled al-Faisal akan memeriksa bangunan baharu itu, yang terletak di sempadan Muzdalifah pada Isnin ini, sebelum kebenaran pindaan dibuat," katanya yang dipetik oleh Saudi Gazette.

Sultan berkata, komplek pentadbiran baharu itu memiliki 13 bangunan, 3,200 ruang pejabat, unit kediaman dan satu tangki air besar.

Lebih 600,000 jemaah telah pun tiba di negara ini untuk menunaikan ibadah haji musim ini yang akan bermula pada 13 Oktober ini.

Lebih dua juta jemaah haji dari seluruh dunia akan membanjiri tanah suci Mekah dan Madinah untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Khaled turut mengarahkan 15 agensi kerajaan mengambil langkah-langkah pencegahan ekoran kemungkinan berlakunya banjir ketika musim haji kali ini.

Jabatan Meteorologi dan Alam Sekitar meramalkan Mekah dan Madinah kemungkinan dilanda musim hujan ketika musim haji ini. - AGENSI/UTUSAN 
Filipina terus buru anggota MNLF

 *DUA askar Filipina memakai topeng muka semasa operasi memburu saki baki anggota kumpulan MNLF itu di Zamboanga, kelmarin. - AGENSI
MANILA, AHAD, 29 September, 2013: Operasi memburu saki baki anggota kumpulan bersenjata Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di bandar Zamboanga diteruskan hari ini, ketika bunyi tembakan masih kedengaran di banyak tempat, sehari selepas tentera mengumumkan berakhirnya konflik itu.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, operasi tersebut yang bertujuan memastikan bandar itu benar-benar bersih daripada anggota MNLF, bagaimanapun telah diambil alih oleh pasukan polis.

Namun, selepas beberapa minit tentera mengumumkan berakhirnya krisis di bandar itu, semalam, pasukan keselamatan berjaya membunuh tiga anggota MNLF dalam satu pertempuran yang menyaksikan enam askar turut cedera.

''Apa yang berlaku bukannya satu serangan terancang, mereka merupakan saki baki anggota MNLF yang cuba melarikan diri sewaktu cuba diberkas.

''Tugas ini telah selesai, kami telah memulihkan ancaman di bandar Zamboanga,'' katanya, sambil menambah kata, hanya segelintir pemberontak yang masih kekal.

Kumpulan pemberontak memasuki kawasan kediaman di bandar itu 20 hari lalu dengan menjadikan penduduk sebagai tebusan serta mencetuskan keganasan sepanjang tempoh itu dalam usaha mereka cuba menggagalkan rundingan damai antara kerajaan dan kumpulan pemisah Islam bagi menamatkan pemberontakan selama 42 tahun di selatan negara ini.

Lebih 10,000 buah kediaman dibakar dan memaksa lebih 100,000 penduduk mendirikan khemah sekitar bandar itu sebagai tempat berlindung sementara dan satu persepuluh penduduk lagi melarikan diri.

Zagala berkata, sejumlah 195 tebusan telah diselamatkan dan tiada lagi penduduk yang dipercayai ditahan kumpulan bersenjata itu. - AFP/UTUSAN 
Medan untuk tembusi pasaran yang lebih besar

 Mohd. Shukri Abdullah
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013: Pameran Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2013 akan dijadikan medan kepada usahawan atau perniagaan desa untuk memasuki pasaran yang lebih besar meliputi seluruh pelosok negara.

Ini kerana menurut pengendali Halfest 2013, Shapers Malaysia Sdn. Bhd. (Shapers), terdapat banyak perniagaan industri desa di negara ini yang produknya hanya tersebar di sekitar daerah atau negeri tertentu sahaja.

Ketua Pengawai Eksekutif Shapers, Mohd. Shukri Abdullah berkata, Halfest menepati hasrat kerajaan yang mahukan ekonomi berkembang di setiap kawasan di negara selain mengukuhkan pendapatan usahawan desa.

"Selain terbuka kepada orang ramai, Halfest turut dihadiri oleh wakil-wakil dari pasar raya-pasar raya utama seperti Tesco, Mydin dan Giant untuk meninjau produk yang berpotensi dipasarkan.

"Ini membuka peluang kepada usahawan-usahawan yang menyertai Halfest untuk mencari slot pemasaran di pasar raya tersebut yang mempunyai rangkaian yang luas," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Penganjuran Halfest sudah memasuki tahun ketiga sejak bermula pada 2011. Kali ini akan diadakan di Pusat Pameran Mines, Seri Kembangan, Selangor, mulai 2 Oktober hingga 6 Oktober depan, dari 10 pagi hingga 9 malam.

Shapers menjangka pameran itu akan disertai oleh 550 peserta perniagaan dengan sasaran pengunjung seramai 50,000 orang.

Jelas Mohd. Shukri, kriteria utama sebagai peserta Halfest adalah perniagaan jenis kecil atau sederhana kecil, industri desa, berstatus halal atau dimiliki sekurang-kurangnya 60 peratus oleh orang Islam.

"Jika tidak mempunyai status halal terutama kepada industri desa, pemilik perniagaan itu wajib menyertai seminar mengenai halal yang akan diadakan di dalam Halfest ini," ujar beliau lagi.

Ruang pameran yang dibuka kepada peniaga adalah secara sewa iaitu serendah RM3,300 bagi saiz biasa untuk sepanjang lima hari pameran.

Jelas Mohd. Shukri lagi, Halfest juga dapat menemukan usahawan-usahawan kecil ini dengan pelbagai agensi kerajaan atau badan-badan penyelidikan yang dapat membantu mereka meningkatkan kualiti produk melalui penyelidikan.

"Peniaga boleh mempelajari gaya pembungkusan moden atau ketahanan produk. Malah, pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan bantuan pemasaran dan pembiayaan turut menyertai Halfest," katanya.

Mohd. Shukri menambah, panganjuran Halfest dua tahun sebelum ini boleh dikatakan membuahkan hasil dengan 62 peratus peserta kembali menyertai pameran itu pada tahun berikutnya.

Kos penganjuran Halfest membabitkan nilai hampir RM5 juta khususnya dengan sokongan serta tajaan oleh CIMB Islamic selain kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pelbagai agensi kerajaan.

Pameran itu turut diserikan dengan jemputan beberapa artis serta selebriti popular tempatan selain pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

"Kami juga melihat kepentingan Halfest adalah bagi mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar-bandar besar. - UTUSAN 
Melaka sasar jadikan tanaman jagung 1Malaysia Melaka (1mmc)

MELAKA, AHAD, 29 September, 2013: Kerajaan negeri Melaka menyasarkan untuk menanam 'Jagung 1Malaysia Melaka' (1MMC) melibatkan kawasan seluas sekurang-kurangnya 404.8 hektar bagi menjadikannya tanaman industri di negeri itu menjelang pertengahan tahun depan.

Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, setakat ini tanaman 1MMC di bawah Program Jagung One Malaysia (JOM) anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) CSR 1Malaysia itu hanya melibatkan keluasan tanah berjumlah 121.4 hektar di beberapa kawasan di Sungai Rambai, Bukit Katil dan Semabok.

Beliau berkata, usaha itu penting kerana tanaman itu mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran tempatan dan luar negara serta mampu membuka peluang pekerjaan dan menjana ekonomi penduduk setempat.

"Setakat ini tanaman 1MMC di negeri ini masih dalam kategori tanaman kontan disebabkan masalah tanah yang menyukarkan ia diperluaskan dalam skala yang besar dalam tempoh masa yang singkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis tinjauan santai Projek 1MMC di Taman Pertam Jaya Semabok sini semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Penasihat Kehormat CSR 1Malaysia, Datuk Andrew E.

Hasan berkata, situasi itu menyebabkan 1MMC hanya mampu dijual di pasaran sekitar negeri itu namun ia masih tidak mencukupi disebabkan permintaan yang tinggi berbanding pengeluaran.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pihak yang mempunyai tanah terbiar termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bagi memperluaskan tanaman berkenaan.

Mengulas lanjut program berkenaan, katanya, 1MMC mampu ditanam empat kali setahun dengan jumlah 36,000 pokok bagi setiap 0.4 hektar tanah, hanya mengambil masa 60 hari untuk dipetik serta tidak mempunyai risiko yang tinggi berbanding tanaman Mangga Delight yang pernah diusahakan sebelum ini di negeri itu.

Katanya, tanaman 1MMC juga kini mendapat permintaan untuk diperluaskan di Johor bagi penghasilan makanan haiwan selain turut mendapat perhatian dari Amerika Syarikat dan China. - BERNAMA 
Tambah rumah mampu milik

 
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), akan membina sebanyak 15,909 unit rumah mampu milik di seluruh negara tahun depan bagi memperbanyakkan lagi kaum bumiputera dalam pemilikan aset bukan kewangan.

Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Sr. Kamarul Rashdan Salleh (gambar) berkata, daripada pembinaan rumah pelbagai kategori itu, 1,640 unit adalah rumah kos rendah, 3,155 unit kos sederhana rendah manakala baki 11,114 unit adalah rumah kos sederhana.

''Kita akan membuat pelaburan besar dalam projek yang dirancang itu dan memastikan perumahan tersebut mengikut jadual yang ditetapkan," katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya agensi pembangunan perumahan kerajaan memperbanyakan pembinaan rumah mampu milik bagi memastikan kaum bumiputera tidak ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan.

Najib sebelum ini berkata, langkah itu akan dilaksanakan di bawah fokus ketiga Strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Malah beliau mengumumkan langkah dan strategi baharu bagi memperkasa ekonomi bumiputera, berpayungkan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), yang akan ditubuhkan tidak lama lagi dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

MEB akan menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dalam melaksanakan lima strategi utama sebagai kelangsungan implementasi agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

Antara strategi itu ialah menangani bumiputera yang masih lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan seperti rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersial.

Kamarul Rashdan berkata, SPNB juga akan memperkenalkan satu program baharu iaitu pembangunan hartanah bercampur di atas tanah milik kerajaan negeri dan rumah-rumah yang dijual berharga di antara RM70,000 hingga RM220,000 seunit.

Katanya, setakat ini, 11 tapak yang berpotensi telah dikenal pasti dan melibatkan perancangan pembangunan sebanyak 2,607 unit.

Beliau berkata, projek atau produk baru ini akan mengutamakan golongan pembeli rumah pertama, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu-ibu tunggal.

''Sebagai permulaan, modal pusingan sebanyak RM250 juta akan diperuntukkan untuk menjayakan program ini," katanya.

Menurutnya, bagi tahun ini pula, SPNB sedang dan akan membina sebanyak 4,652 unit rumah mampu milik di lima lokasi iaitu Apartmen Laguna Biru Fasa 2 Rawang sebanyak 1,224 unit, Taman Sutera Wangi Fasa 2 sebanyak 566 unit, Apartmen Alam Prima Fasa 2 (655 unit), Vista Perdana Fasa 2 dan 3 (1740 unit) termasuk Taman Seri Bayu Fasa 3, Taman Seri Bayu, Tumpat.

Beliau menambah, Apartmen Laguna Biru, Rawang berharga RM120,000 hingga RM220,000 seunit yang dimulakan Jun lalu dan dijangka siap Jun 2015.

Tambahnya, bagi Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka melibatkan 566 unit membabitkan harga antara RM42,000 hingga RM226,934 seunit yang dimulakan bulan lalu dan dijangka siap Ogos 2016.

Kata beliau, Apartmen Alam Prima Shah Alam pula sebanyak 655 unit termasuk sembilan unit kedai berharga antara RM120,000 hingga RM220,000 seunit yang akan dimulakan pada bulan depan dan dijangka siap Oktober 2016.

Di samping itu, Vista Perdana Miri sebanyak 1,740 unit berharga antara RM195,000 hingga RM730,000 seunit bagi rumah kedai dan akan dimulakan Disember ini dan siap dalam tempoh lima tahun.

Sementara Taman Seri Bayu Tumpat sebanyak 467 unit dengan harga RM62,500 seunit akan dimulakan Disember ini dan siap dalam tempoh dua tahun. - UTUSAN 
Lelaki baru kahwin mati lemas ketika selamatkan adik bongsu

LEDANG, AHAD, 29 September, 2013: Tindakan seorang lelaki yang bersungguh-sungguh mengajak isteri yang baru dikahwininya awal bulan ini dan seorang adik lelakinya mandi-manda di Air Terjun Asahan di Jasin, Melaka, berakhir dengan dia mati lemas hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 10.20 pagi itu, mangsa, Mohd. Khidil Ismeet Anuar, 25, lemas ketika cuba menyelamatkan adik bongsunya, Mohd. Aliff Najmi, 13, yang tergelincir ke dalam kawasan air terjun berkenaan.

Menurut Mohd. Aliff, dia bersama abang dan kakak iparnya itu tiba di kawasan tersebut untuk bermandi-manda kira-kira pukul 9 pagi.

"Kami bertiga bersama ayah dan ibu sedang bercuti di kampung halaman di Kampung Bekoh, di sini setelah tiba dari Kuala Lumpur semalam.

"Kira-kira pukul 9 pagi, abang (mangsa) bersungguh-sungguh mengajak saya dan kakak (isteri mangsa) untuk mandi di air terjun itu yang jaraknya tidak jauh dari kampung.

"Saya tidak sangka itu permintaan terakhir abang sebelum dia lemas kerana cuba menyelamatkan saya yang tergelincir dan terjatuh dalam kawasan air terjun itu," katanya ketika ditemui di Hospital Tangkak di sini hari ini.

Jelas Mohd. Aliff, semasa kejadian, dia sedang mandi di kawasan atas air terjun itu dan mahu ke kawasan bawah melalui laluan air yang berbatu tetapi tergelincir dan terjatuh ke kawasan yang airnya dalam.

"Abang yang mengikuti saya dari belakang kemudiannya terjun untuk menyelamatkan saya dengan menolak saya ke tempat air cetek namun dia dibawa arus deras ke kawasan air dalam.

"Selepas menyelamatkan saya, dia terkapai-kapai dan terus tenggelam sebelum orang ramai membantu menghubungi pihak penyelamat," ujarnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Johari Masum berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 10.25 pagi.

"Seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin dan Jasin Bestari serta lapan anggota Unit Skuba dari Jalan Kubu tiba di tempat kejadian pada pukul 11.10 pagi.

"Mangsa berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat pada pukul 12.08 tengah hari di kawasan dia dikatakan lemas itu dan dihantar ke Hospital Ledang untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan kes tersebut. - UTUSAN 
Perogol licik menipu diberkas

Oleh ASLIZA MUSA
 
 *KAWASAN sunyi berhampiran Tanah Adat Mandailing ini menjadi lokasi seorang perogol bersiri memperkosa mangsanya sebelum berjaya diberkas polis di rumahnya di Taman Batu Gajah Perdana, Batu Gajah, semalam.
BATU GAJAH, AHAD, 29 September, 2013: Seorang perogol bersiri yang licik memperdayakan mangsa bagi memuaskan nafsunya, akhirnya tumpas apabila dia diberkas polis, semalam.

Lelaki berusia 27 tahun yang masih bujang itu ditahan di rumahnya di Taman Batu Gajah Perdana di sini pada pukul 3.45 petang.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, modus operandi suspek adalah menyasarkan wanita yang mengalami masalah seperti kemalangan dan tayar motosikal dengan berpura-pura menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Suspek kemudian katanya, akan mempengaruhi mangsa untuk ke sebuah lokasi dengan membonceng motosikal yang ditunggangnya sebelum dibawa ke tempat sunyi berhampiran Tanah Adat Mandailing bagi melampiaskan nafsu.

"Lelaki ini ditahan bagi membantu siasatan dua kes rogol dan dua kes cubaan merogol yang dilaporkan di sekitar pekan ini dari tempoh 11 hingga 28 September lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di sini hari ini.

Shaharon Anuar berkata, pemeriksaan di rumah suspek menemukan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang digunakannya selain jaket hitam, jaket keselamatan polis, sepasang kasut kulit dan sebuah telefon bimbit.

Tambahnya, dalam kejadian pertama pada pukul 9.50 malam, 11 September lalu, seorang pekerja kedai kasut berusia 14 tahun hampir menjadi mangsa rogol suspek.

Beliau berkata, mangsa yang sedang berhenti untuk mengepam angin tayar motosikal di sebuah stesen minyak di Taman Pusing di sini diberitahu suspek kononnya tayar motosikalnya telah bocor dan perlu dibaiki.

"Suspek berpura-pura mahu membantu dan meminta mangsa membonceng motosikalnya untuk mengambil stok tayar baharu di sebuah bengkel membaiki motosikal di Taman Tasek di sini.

"Tetapi mangsa dibawa ke kawasan sunyi di persimpangan ke Tanah Adat Mandailing, gadis tersebut yang mengesyaki sesuatu tidak kena telah bertindak nekad melompat dari motosikal untuk menyelamatkan diri," katanya.

Shaharon Anuar berkata, kejadian kedua pada 21 September lalu melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang diliwat di sebuah kawasan belukar di Kota Bahru, Gopeng di sini.

"Dalam kes ketiga pada pukul 9.30 malam, Rabu lalu pula, suspek merogol seorang pelajar perempuan tingkatan lima juga di Tanah Adat Mandailing," katanya.

Dalam kejadian terakhir semalam pula, Shaharon Anuar berkata, lelaki itu cuba memperkosa seorang wanita berusia 30 tahun yang turut dibawa ke kawasan sunyi berhampiran Tanah Adat Mandailing tetapi gagal.

Shaharon Anuar memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 376, Seksyen 377 (c) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana merogol, melakukan persetubuhan luar tabii tanpa persetujuan dan cubaan memperkosa. - UTUSAN 
Wanita hamil antara tiga maut

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

 *BEBERAPA lelaki melihat keadaan kereta yang merempuh sebuah motosikal yang mengorbankan Mohd. Nor dan Wan Ayuzita (gambar kecil) serta seorang lagi mangsa di Kilometer 23, Jalan Paka-Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, kelmarin.
DUNGUN , AHAD, 29 September, 2013: Impian seorang tukang rumah untuk menatap kelahiran anak keduanya tidak kesampaian selepas isterinya yang sedang sarat mengandung tujuh bulan dan anak sulung mereka maut dalam nahas yang mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 23, Jalan Paka-Al-Muktafi Billah Shah di sini, petang semalam.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.40 petang itu, mangsa terbunuh ialah Wan Ayuzita Wan Jusoh, 23, dan anaknya, Mohd. Amizie Azmi, 18 bulan, dan seorang penunggang motosikal, Mohd. Nor Samat, 57.

Kedua-dua beranak itu menaiki kereta jenis Proton Iswara dipandu suami kepada Wan Ayuzita, Azmi Mohamad, 41. Turut bersama mereka ialah dua anak saudara Azmi yang berusia 11 dan 14 tahun tetapi ketiga-tiga mereka hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Zailani Yaacub memberitahu, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Azmi terbabas semasa melalui lokasi tersebut lalu melanggar penghadang di sebelah kanan jalan.

Katanya, insiden itu menyebabkan keretanya melantun ke kiri dan melanggar motosikal tersebut dari arah bertentangan.

"Berikutan itu penunggang motosikal berkenaan tercampak sejauh 10 meter dan mengalami kecederaan parah di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian.

"Isteri serta anak Azmi yang berada di tempat duduk di sebelah pemandu pula tersepit dan turut maut di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun di sini malam tadi.

Menurut Ahmad Zailani, ketika kejadian, kesemuanya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Lubuk Lesung, Air Putih, Kemaman selepas berkelah di pantai Seberang Pintasan.

Sementara itu, anak kepada Mohd. Nor, Mohammad Keeri, 19, memberitahu, dia dan bapanya baru pulang dari kebun menuju ke rumah mereka di Felda Kerteh 4 dengan menunggang motosikal berasingan.

"Sampai di satu selekoh saya tengok sebuah kereta hilang kawalan menuju ke arah kami dan kami cuba mengelak tetapi kereta itu terus langgar bapa," katanya.

Jelasnya, dia tergamam melihat kejadian dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu kerana ayahnya yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia sejurus selepas kejadian. - UTUSAN 
Tarik balik ugutan heret ROS ke mahkamah

 R. Ramanan
 KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013:engerusi DAP, Karpal Singh disifatkan sebagai seorang yang biadab dan angkuh kerana mengugut untuk mengheret Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke mahkamah jika parti itu terus didesak berhubung pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Aktivis MIC, Datuk R. Ramanan berkata, Karpal ternyata berkelakuan seperti ahli politik murahan apabila memperlihatkan seolah-olah beliau dan pemimpin tertinggi DAP 'kebal' dengan undang- undang.

"Karpal tidak perlu membuat ancaman kepada ROS, sebaliknya beliau perlu kembali semula ke sekolah undang-undang dan belajar tentang Perlembagaan parti DAP terlebih dahulu.

"Setiap rakyat di negara ini perlu menghormati dan mendukung undang-undang. Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang, tetapi seperti biasa Karpal dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng percaya mereka boleh melanggar undang-undang sesuka hati," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Karpal dalam ucapan pada Kongres Ke-16 DAP hari ini memberi amaran kepada ROS bahawa parti itu bersedia membawa isu membabitkan pemilihan CEC ke mahkamah jika terus didesak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut mengingatkan pertubuhan itu supaya tidak 'main-main' dengannya dalam hal berkenaan.

Kongres Ke-16 DAP diadakan berikutan pemilihan semula CEC parti itu yang sebelum ini didakwa berlaku kesilapan teknikal dari segi kiraan undi.

Ramanan berpendapat, tindakan Karpal mengugut ROS adalah bertujuan untuk memancing undi daripada perwakilan.

Sebagai pengamal undang-undang katanya, Karpal tidak harus memalukan diri sendiri dengan menunjukkan sikap emosi dan tidak profesional.

"Hal ini dapat dilihat apabila pada 15 Ogos lalu beliau ada membuat kenyataan bahawa kongres parti memerlukan notis selama 10 minggu tetapi pendiriannya berubah dan seolah-olah tunduk mengikut kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang bertegas menyalahkan ROS.

''Tindakannya yang cuba mengalihkan perhatian perwakilan, secara tidak langsung memberi ilusi palsu kepada ahli-ahli bahawa parti itu akan mengambil alih kerajaan Persekutuan," katanya. -UTUSAN 
Karpal beri amaran kepada ROS

 Karpal Singh
KUALA LUMPUR, 29 September, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh memberi amaran kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa parti itu bersedia membawa isu membabitkan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) ke mahkamah sekiranya terus didesak.

Karpal turut mengingatkan kepada pertubuhan itu supaya tidak 'main- main' dengannya dalam hal berkenaan.

"ROS jangan main- main, ini adalah amaran terakhir kepada mereka. Saya telah memantau ROS sejak Disember lalu.
 AHAD,
"Saya mengikuti apa yang telah mereka katakan dan saya tidak akan melepaskan mereka begitu sahaja," katanya ketika berucap pada Kongres Ke-16 DAP di sini hari ini.

Kongres Ke-16 DAP diadakan berikutan pemilihan semula CEC parti itu yang sebelum ini didakwa berlaku kesilapan teknikal akibat kesilapan pengiraan undi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin membatalkan saman Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, Seremban, A. David Dass bagi menghalang parti itu daripada mengadakan Kongres Khas tersebut.

Hakim Datuk Rosnaini Saub membatalkan saman David dengan kos RM5,000 selepas bersetuju bahawa keputusan yang dibuat oleh sesebuah parti politik tidak boleh dicabar.

David telah memfailkan permohonan injunksi pada 10 September lalu bagi menghalang pemilihan khas CEC parti itu kerana didakwa bertentangan dengan perlembagaan parti berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas isu sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ROS berniat jahat dengan bertindak tidak adil apabila tidak mengiktiraf CEC yang telah dilantik menerusi pemilihan pada Disember lalu.

Beliau yang pada masa sama mengakui berlaku kesilapan sewaktu Kongres Kebangsaan lalu menyatakan telah segera memperbetulkan kesilapan itu dan telah melaporkannya secara terbuka sekali gus turut disahkan oleh sebuah firma perakaunan antarabangsa.

''ROS telah cuba mengeksploitasi kesilapan jujur DAP dengan pertamanya tidak mengiktiraf CEC dan kemudian mengarahkan pemilihan semula diadakan.

''Walaupun wujud 'ketidakadilan begitu jahat', pimpinan DAP memutuskan tidak melawan di mahkamah sebaliknya mematuhi arahan kejam dan tidak adil untuk mengadakan pemilihan semula ini,'' katanya. - UTUSAN 
Kesemua penyandang CEC keka

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM, SYUKRI SHAARI dan BADRUL HAFIZAN MAT ISA

 Liew Chin Tong, Gobind Singh

KUALA LUMPUR, AHAD,  29 September, 2013: Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP yang juga Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong membuat kejutan apabila menduduki tempat pertama dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu di sini hari ini.

Chin Tong mendapat 1,438 daripada 1,725 perwakilan. Pada awalnya, sebanyak 68 calon bertanding bagaimanapun 17 daripadanya menarik diri manakala dua lagi isytihar keluar parti memungkinkan hanya 49 calon disahkan bertanding.

Menarik perhatian, kesemua 20 anggota CEC yang terpilih dalam pemilihan Disember lalu sebelum ia dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), terpilih sekali lagi, walaupun berubah dari segi kedudukan.

Namun begitu kedudukan dalam jawatankuasa kerja tidak berubah apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng biar pun menduduki tempat kelima dengan 1,304 undi dipilih semula sebagai Setiausaha Agung DAP.

Sementara Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Sing kekal sebagai Penasihat manakala Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh dipilih sebagai Pengerusi.

Dalam pemilihan semula tersebut, Kit Siang menduduki tempat kedua dengan 1,436 undi manakala Karpal di tempat ketiga dengan 1,421 undi.

Kejayaan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo memperolehi 1,409 undi melengkapkan penguasaan dua pasangan anak beranak bagi kedudukan kedua hingga kelima.

Malah kemenangan Gobind juga menarik perhatian memandangkan beliau berjaya memperbaiki kedudukannya dalam pemilihan kali ini daripada tempat ketujuh ke tempat kelima.

Seperti diduga, keputusan pemilihan juga dilihat tidak mencerminkan DAP sebuah parti berbilang kaum apabila pemimpin Melayu dan India terus terpinggir. Ia berikutan hanya seorang calon Melayu dan seorang calon India berjaya menduduki kerusi CEC.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari yang menduduki tangga ke-12 dengan 1,132 undi dan Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran yang mendapat 1,088 undi untuk menduduki tempat ke-15.

Daripada 49 calon yang bertanding ia melibatkan penyertaan tujuh calon Melayu dan 11 calon India.

Bagaimanapun kejayaan Zairil sudah diduga memandangkan, dalam pemilihan lalu beliau diisytiharkan menduduki tempat ke-20, selepas DAP secara tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi. Ketika pemilihan asal Zairil menduduki tempat ke-39.

Selain itu, ramai pemerhati politik melihat biar pun Chin Tong menduduki tempat pertama dalam pemilihan kali ini, ia dilihat tidak membawa apa-apa makna dalam usaha menyekat penguasaan ‘Dinasti Lim’ yang dikaitkan dengan Guan Eng dan Kit Siang.

Apatah lagi tiga daripada lima pemimpin yang digelar ‘lima harimau’ yang didakwa tidak senang dengan pucuk pimpinan DAP menduduki tangga tercorot.

Mereka ialah Boo Cheng Hau yang berada di kedudukan 18, Nga Kor Ming (19) dan Ngeh Koo Ham (20). Dua lagi pemimpin yang turut berada dalam kumpulan tersebut ialah Chow Kon Yeow dan Teng Chang Khim.

Kon Yeow yang menduduki tempat ke-13 dalam pemilihan lalu berjaya menduduki tempat kelapan manakala Chang Kim yang sebelum ini berada di kedudukan kesembilan, kini menduduki tempat ke-10.

Isu pemilihan CEC DAP tahun lalu, menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah untuk mengundi dalam pemilihan tersebut. - UTUSAN 
Malaysia tidak pinggirkan golongan OKU

Rohani
 KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013: Golongan orang kurang upaya (OKU) di Malaysia tidak pernah dipinggirkan sebaliknya akan terus diberi perhatian agar mereka dapat menikmati keistimewaan sama seperti insan normal.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, sejak tahun 2007, kerajaan telah menggubal dasar negara dan pelan tindakan secara komprehensif bagi memastikan OKU menikmati hak sama rata dengan masyarakat lain.

Katanya, inisiatif membela golongan itu boleh dilihat apabila kerajaan menggubal dan menguatkuasakan Akta OKU pada tahun 2008.

"Ini menunjukkan kerajaan Malaysia amat komited dalam mempromosi hak-hak OKU di negara ini dan untuk memastikan golongan tersebut sentiasa diberi perhatian dan dibantu, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan rancangan pembangunan yang komprehensif sebagai teras dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015),'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Tertinggi Perhimpunan Agung: Merealisasikan Matlamat Pembangunan dan Persetujuan Antarabangsa Bagi Pembangunan OKU di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Pada masa sama, Rohani memberitahu, kerajaan turut memberi penekanan untuk meningkatkan penyertaan golongan OKU dalam tenaga kerja.

Jelas beliau, pada 1988, kerajaan telah memperkenalkan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam sektor awam bagi OKU.

"Pada tahun 2010, dasar ini dikaji semula dan dipertingkatkan termasuk tindakan efektif bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih berkesan. Hasilnya boleh dilihat pada Disember 2012, terdapat 1,754 golongan itu bekerja di sektor awam berbanding 1,294 pada tahun 2009.

"Selain itu, Jabatan Buruh di bawah Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan pendaftaran pekerjaan secara dalam talian dan 'matching system' yang dikenali sebagai Sistem Penempatan OKU bagi sektor swasta," ujarnya. - UTUSAN 
Hishammuddin selar pihak sanjung Chin Peng

*HISHAMMUDDIN Tun Hussein (tengah) beramah mesra bersama sebahagian veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Membaikpulih Rumah Veteran 1Malaysia di Dewan Masyarakat Papar, semalam. Turut sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (dua dari kanan).
PAPAR, AHADM 29 September, 2013: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas tindakan sesetengah pihak ang masih berusaha mencari jalan membawa masuk abu mayat Chin Peng ke negara ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Khamis lalu yang mengingatkan rakyat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu merupakan petualang negara dan cuba menjadikan negara ini sebagai negara komunis harus dipandang serius semua pihak.

Katanya, amanat Sultan Selangor itu harus menyedarkan masyarakat malah menghentikan kenyataan melampau serta sikap keterlaluan pihak tertentu yang menyanjung dan mengiktiraf Chin Peng.

"Bagi saya, pihak yang menjadikan Chin Peng ikon perjuangan menuntut kemerdekaan perlu menyorot sejarah keganasan komunis yang membunuh ramai anggota keselamatan negara dan mengakibatkan ribuan mengalami kecacatan anggota, selain mengorbankan banyak nyawa tidak berdosa.

"Tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu itu mengguris perasaan anggota tentera dan veteran polis serta ahli keluarga mangsa yang terkorban serta majoriti rakyat Malaysia yang memahami dan menghayati sejarah negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci Program 1Malaysia Veteran Home Repair (1MVHR) kepada dua penerima dan menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 20 veteran Anggota Tentera Malaysia (ATM) yang pernah berkhidmat semasa zaman darurat serta penentangan komunis.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, desakan pihak tertentu supaya abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke negara ini selain supaya kerajaan memaafkan kesalahan pengkhianat negara itu sukar diterima.

Menurutnya, kelompok itu juga bertindak keterlaluan menuduh kerajaan bersikap kejam kerana tidak menghormati Perjanjian Hatyai 1989 serta tidak memberi peluang kepada Chin Peng.

"Harus diingat Chin Peng telah diberi peluang memohon kerakyatan Malaysia pada 1989 dan 1990, namun dia menolaknya. Ini bukti Chin Peng memang tidak berminat menjadi rakyat Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, Chin Peng bukanlah warganegara Malaysia dan tidak ada keperluan membawa pulang abu mayatnya ke negara ini.

Tambahnya, tuntutan membawa pulang abu mayat petualang negara itu seolah-olah mahu mengangkat musuh negara sebagai wira sekali gus menafikan perjuangan dan pengorbanan anggota keselamatan negara yang berjuang ketika zaman darurat. - UTUSAN 
Tingkatkan bidang strategik

Oleh Zulkefli Hamzah

* NAJIB Tun Razak bersama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (kiri) dan Datuk Seri Jamaludin Jarjis ketika mengadakan sidang akhbar kepada media Malaysia di New York, Amerika Syarikat, semalam. - BERNAMA
NEW YORK, AHAD, 29 September, 2013: Lawatan kerja Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) telah berjaya menghubungkan Malaysia dengan komuniti berpengaruh global dalam memastikan perjalanan Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 berjalan lancar.

Lawatan yang menggabungkan pelbagai kepentingan strategik menurut Perdana Menteri, dirancang agar matlamat transformasi nasional dapat dipadankan dengan perkembangan di peringkat global yang memerlukan kerjasama lebih mendalam dan rapat.

“Lawatan ini membawa begitu banyak tujuan dan maksud," katanya dalam sidang akhbar di sini pada akhir lawatannya ke San Fancisco dan New York dari 22 hingga 28 September yang dianggap sebagai padat dan berfokus dengan menggabungkan enam inisiatif dalam satu lawatan.

Di San Francisco, selain mempengerusikan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) dan forum Panel Antarabangsa Bioteknologi, Perdana Menteri turut melawat Lembah Silikon dan berinteraksi dengan komuniti usahawan di hab teknologi dan inovasi terhebat di dunia itu.

Di New York pula, Najib menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mengadakan pertemuan dengan pelabur dan pengurus dana AS selain pertemuan bilateral dengan tokoh politik tempatan dan pemimpin dunia lainnya.

Najib menambah, bagi memastikan Malaysia berjaya dalam perjalanannya menjadi negara maju, bidang-bidang strategik seperti teknologi maklumat, bioteknologi serta inovasi mesti dipertingkatkan melalui hubungan rapat dengan komuniti global.

Komuniti global itu, kata beliau, mengalu-alukan pelan dan agenda transformasi Malaysia yang bersifat terbuka dan global yang membolehkan mereka untuk terlibat sama membuat pelaburan.

“Dalam lawatan ini, saya juga memberi galakan syarikat dari AS untuk menngkatkan pelaburan bukan sahaja kuantiti tetapi aspek kemasukan dan penerapan teknologi baharu yang amat kita perlukan," jelasnya.

Ditanya tentang pengalaman memandu kereta tanpa pemandu Google Car, Najib berkata, kereta masa depan itu beroperasi baik dari segi teknikal tetapi belum boleh dikomersialkan kerana kosnya mahal.

“Sensor mahal, laser sensor sahaja AS$7,000 (RM22,000). Ada tiga sensor iaitu di kamera, radar dan laser yang semuanya disambungkan ke komputer. Kereta ini pun masih diprogram untuk pemanduan di lebuh raya," kata Najib yang turut menguji cermin mata Google dan kereta elektrik Testla yang dijangka dapat dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi.

Lawatan di Lembah Silikon dan interaksi dengan para saintis bioteknologi itu, kata Najib, secara langsung telah menghubungkan Malaysia dengan komuniti inovasi global yang memungkinkan negara ini nantinya dipilih sebagai lokasi pelaburan baharu mereka selain mengembangkan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Mengulas tentang ucapan beliau dalam mesyuarat umum PBB, Perdana Menteri berkata, ucapan itu bukan sahaja dari sudut kepentingan Malaysia tetapi memberi idea ke arah perdamaian dunia khususnya dalam mengatasi konflik di beberapa negara Islam.

“Beberapa negara Islam sedang menghadapi masalah, sebab itu penting untuk pemimpin negara islam menyatakan pendirian apa yang boleh dilakukan bagi mencari punca untuk membawa penyelesaian kepada konflik dunia Islam sekarang," katanya. - UTUSAN 
Tun Dr. M sangkal laporan The Economist mengenai Mukhriz

PUTRAJAYA, AHAD, 29 SeptMBER, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyangkal laporan The Economist bahawa anaknya Datuk Mukhriz akan menjadi ancaman kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya beliau menang dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO kelak.

Dr. Mahathir berkata, majalah kewangan yang berpejabat di London, United Kingdom itu tidak boleh memikirkan sebarang perkara baik untuk ditulis terhadap sesiapa pun.

"Di Malaysia, kita (anggota politik) tidak mengamalkan budaya jahat itu... iaitu menyingkirkan sesiapa," katanya secara ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

The Economist, dilaporkan berkata jika Mukhriz yang juga menteri besar Kedah menang, beliau akan diajak oleh kumpulan anti-Najib sebagai proksi bapanya dan kemudiannya seorang perdana yang lemah boleh digulingkan melalui satu gerakan dalaman.

Ditanya mengenai pandangan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu ceramah baru-baru ini bahawa kerajaan perlu menyemak semula perjanjian dengan Sabah dan Sarawak dalam memastikan kepentingan dua negeri itu dilindungi selepas membantu pembentukan Malaysia, beliau berkata: "Kerajaan telah menguruskan perkara itu."

Bagaimanapun, Dr. Mahathir enggan mengulas lanjut mengenainya.

Terdahulu, beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali membaca buku cerita kepada kanak-kanak di perpustakaan yang terletak di dalam bangunan yayasan itu dan melawat gerai pameran di sana.

Selepas menghadiri hari terbuka Yayasan Kepimpinan Perdana, beliau dan isteri turut menghadiri majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Sirkit Pancing Putrajaya siri ketiga tahun 2013 bersempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia anjuran Perbadanan Putrajaya di Tasik Presint 8 di sini.

Dr. Mahathir menyampaikan hadiah kepada pemenang sirkit pancing itu.

Nik Nazriariffin Nik Hassan, 34, muncul juara dengan memenangi hadiah pertama berjumlah RM7,000 setelah menangkap ikan tenggalan seberat 3.1 kilogram (kg).

Tempat kedua yang menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 dimenangi Mohd Akmal Hashim, 26, dengan tangkapan ikan tenggalan seberat 2.4 kg, manakala tempat ketiga dimenenangi Rosli Chik Mat, 45, yang memenangi hadiah wang tunai RM3,000 selepas menaikkan ikan tenggalan seberat 1.9 kg.

Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat. - BERNAMA 
Jangan persenda pemimpin Wanita berusia - Shahrizat

KUALA TERENGGANU, AHAD, 29 September, 2013: Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta anggota pergerakan itu yang baharu agar tidak mempersenda dan mengetepikan mana-mana pemimpin berusia ke arah memperkasa parti, terutama dalam sayap berkenaan.

Beliau berkata Wanita UMNO, yang kini rata-ratanya diterajui pemimpin muda, harus tidak melupakan jasa dan bakti pemimpin berusia kerana mereka mempunyai idea serta pengalaman lebih luas.

"Saya tidak rela mana-mana pemimpin wanita yang berumur dipersendakan oleh golongan yang lebih muda kerana pengalaman dan jasa mereka terlalu banyak.

Mana-mana yang berpengalaman, berumur pun ada tempat dalam UMNO. Jangan sesekali ketepikan pemimpin yang berumur.

"Ini kerana struktur UMNOmemang sudah sedia cantik, Puteri jaga yang muda, kita (Wanita) jaga yang pertengahan dan berumur," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Merdeka Raya Semarak Kasih di sini hari ini.

Turut hadir isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Nurliza Mahmud; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun; serta Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Wanita UMNO sehingga kini mempunyai keanggotaan 1.4 juta dengan 18,000 cawangan di seluruh negara.

Sementara itu, kesemua lapan bahagian pergerakan Wanita UMNO Terengganu mencapai kata sepakat untuk memberi sokongan penuh kepada Shahrizat, yang berdepan dua pencabar pada pemilihan parti Oktober ini.

Ketua Wanita UMNO Terengganu, Datuk Fatimah Hamat berkata, sokongan padu itu berdasarkan kebolehan dan keberkesanan Shahrizat menerajui pergerakan berkenaan.

"Sepanjang menerajui kepimpinan Wanita UMNO, beliau berjaya mengangkat martabat dan menambah penglibatan wanita meliputi pelbagai aspek serta aliran gerak kerja jentera dan petugas begitu teliti," katanya.

Fatimah, penyandang Ketua Wanita Bahagian Hulu Terengganu, menang tanpa bertanding begitu juga dua lagi iaitu Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang, Senator Zaiton Mat Amin dan Engku Naimah Engku Taib (Besut).

Wanita UMNO Terengganu mempunyai 980 perwakilan dan lima bahagian lagi iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Kemaman serta Setiu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Ketua Wanita bahagian. - BERNAMA
Pemilihan UMNO: Calon usah bertelagah - Ahmad Maslan

KUANTAN, AHAD, 29 September, 2013: Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pemilihan Umno bulan depan perlu berlandaskan prinsip kekeluargaan dan semua calon perlu meletak kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, semua calon yang bertanding jangan sesekali menyalahgunakan kuasa, mengamal politik wang atau menyerang secara peribadi dalam usaha mendapatkan mana-mana jawatan pada pemilihan Umno kali ini.

"Ini adalah pertandingan keluarga, bukannya kita bertanding dengan pembangkang, janganlah sampai memburuk-burukkan orang lain, guna politik wang atau kuasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki AJK UMNO bahagian Paya Besar, Mohd. Bakri Abdul Majid di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota dekat sini hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan itu juga berkata, rakyat ingin melihat UMNO sebagai sebuah parti yang kuat dengan barisan kepimpinan terbaik.

"Kepada pemilih, pilihlah calon yang terbaik, calon yang terbaik akan jadikan parti kita parti yang terbaik, parti yang terbaik yang mempunyai kepimpinan yang terbaik akan menjadi pilihan rakyat," katanya.

Anak Mohd Bakri iaitu Mohamad Afiq, 23, seorang jurutera, melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya, Afiqah Yahya, 23 tahun. - BERNAMA 

Sunday 29 September 2013

Polis jumpa kenderaan kes rompak kedai emas di Raub

RAUB, AHAD, 29 September, 2013: Sebuah kereta jenis Toyota Camry berwarna perak dengan nombor pendaftaran WKP 7933 dipercayai ditinggalkan perompak yang terlibat dalam kes rompakan sebuah kedai emas di bandar Raub dua hari lepas, ditemui di sebuah kebun getah semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Raub, Deputi Supritendan Azhar Abdul Rahman berkata, kereta itu dijumpai seorang pekebun di kebun getah itu kira-kira lapan kilometer menghala ke Jalan Cheroh, Raub pukul 9 pagi semalam.

"Sebaik dimaklumkan, polis bergegas ke ladang itu dan menemui sebuah dulang kosong dan beberapa sarung tangan serta topeng muka di dalam kereta berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Polis, katanya, percaya kumpulan perompak terbabit melarikan diri dengan menaiki kenderaan lain dan meninggalkan kenderaan itu di situ.

"Pihak forensik sedang menjalankan pemeriksaan ke atas kereta itu termasuk nombor enjin dan tiada laporan tentang kehilangan kereta terbabit diterima setakat ini," katanya.

Jumaat lepas lima lelaki bersenjatakan sepucuk pistol merompak sebuah kedai emas di Jalan Tun Razak di bandar Raub pada pukul 1.04 petang dan mereka menggunakan kenderaan itu untuk melarikan diri. - BERNAMA 
Cadangan agihan BR1M dua kali tahun depan - Ahmad Husni

IPOH, AHAD, 29 September, 2013: Kerajaan bercadang melaksanakan agihan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak dua kali pada tahun depan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, selain itu kaedah penyaluran BR1M juga mungkin dibuat melalui transaksi kepada akaun bank penerima.

Sungguhpun begitu, beliau berkata, nilai BR1M hanya akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 25 Okt ini.

"Kita telah menyediakan draf pertama yang telah dibentangkan kepada perdana menteri, jadi sekarang kita sedang memperkukuhkan lagi pemberian BR1M.

"Nilai sebenar masih belum dipastikan lagi, tetapi ia lebih daripada RM500 yang diberi sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Rakyat Ehsaniah di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan II, Gugusan Manjoi di sini hari ini.

Katanya, kaedah agihan BR1M sebanyak dua kali ini membolehkan penerima menggunakannya secara berhemat berbanding pemberian sekaligus.

Ahmad Husni berkata, apabila dasar rasionalisasi subsidi dilaksanakan, kerajaan juga sedang meneliti model bantuan terbaik bagi membantu golongan yang mempunyai pendapatan keluarga RM4,000 sehingga RM5,000.

"Kerajaan juga melihat bagaimana mahu membantu golongan ini. Ia lebih kepada konteks apabila kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi, kita juga menyatakan kerajaan akan terus membantu, tetapi kita bantu mereka ini dalam bentuk yang lain, yang ini perinciannya saya tidak boleh beritahu, kita tunggu pembentangan belanjawan nanti," katanya.

Agihan BR1M 1.0 kepada golongan yang layak mula dilaksanakan oleh kerajaan pada 2012.

Bagi BR1M 2.0 yang terkandung dalam pembentangan Belanjawan 2013 oleh Najib di Parlimen pada 28 Sept 2012, bantuan tunai RM500 diberi kepada rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan sementara individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM2,000 sebulan layak menerima bantuan RM250. - BERNAMA 
PRK Sungai Limau: SPR mesyuarat Khamis

PUTRAJAYA, AHAD, 29 September, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis depan (3 Okt) di ibu pejabatnya di sini untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, di Kedah.

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata SPR menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi DUN N.20 Sungai Limau daripada Dewan Undangan Negeri Kedah awal hari ini.

"Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan mempengerusikan mesyuarat khas yang akan membincangkan tarikh seperti hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian biasa dan daftar pemilih yang akan digunakan.

"Selepas itu akan diikuti dengan satu sidang media oleh Pengerusi SPR," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak Khamis lepas.

Azizan, bekas Menteri Besar Kedah meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai.

Allahyarham menjalani rawatan lebih empat bulan berikutan masalah kesihatan yang serius. - BERNAMA 
Suspek kes bunuh pengasas AmBank disambung reman

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013: Suspek utama kes pembunuhan pengasas AmBank, Hussain Ahmad Najadi disambung reman tujuh hari bermula hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, suspek utama terbabit dibawa dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk meneruskan soal siasat. - UTUSAN ONLINE 
Kilang proses minyak masak terbakar, kerugian RM50,000

BUKIT KAYU HITAM, AHAD, 29 September, 2013: Sebuah kilang memproses minyak masak di kawasan perindustrian di sini terbakar dalam kejadian lewat malam tadi, dengan kerugian dianggarkan lebih RM50,000.

Kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas dan terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, M. Pathmanathan berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.32 tengah malam dan sampai di tempat kejadian empat minit kemudian.

Beliau berkata, empat jentera dengan kekuatan 22 anggota dapat mengawal kebakaran pada pukul 5.04 pagi ini.

Katanya punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. - BERNAMA 
Jemaah Malaysia keempat meninggal akibat serangan jantung

MAKKAH, AHAD, 29 September, 2013: Seorang lagi jemaah haji Malaysia, Shafei Othman, 63, meninggal dunia akibat serangan jantung di sini malam tadi.

Pengarah Operasi Media Tabung Haji (TH), Anis Zuhani Ahmad berkata, Shafie adalah jemaah keempat yang meninggal dunia akibat serangan jantung di tanah suci.

Beliau dilaporkan meninggal dunia pukul 9.30 malam ketika berada dalam bilik penginapan di Maktab Disyarah Al Mawadah di sini.

Shafie berasal dari Felda Tenam, Jertih, Terengganu datang ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji bersama isterinya Rafidah Mat Husin pada 26 Sept lepas.

Jenazah Shafie diurus oleh TH dan akan dikebumikan selepas solat subuh di tanah perkuburan Syara'ek.

Sebelum ini, tiga jemaah warga emas dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Madinah dan Makkah. - BERNAMA 
16 rakyat Malaysia bina Mahtab Masjidil Haram

MAKKAH, AHAD, 29 September, 2013: Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa 16 anak muda Malaysia terlibat dalam projek pembesaran dan menaik taraf Masjidil Haram di sini.

Sebenarnya, mereka adalah tenaga profesional yang dipilih sebuah syarikat kejuteraan antarabangsa, Premier Composite Technologies yang mendapat tawaran kerja projek di Masjidil Haram.

Projek terbesar dalam sejarah pembinaan Masjdil Haram itu ialah untuk memperluas ruang solat kepada lebih 300,000 meter persegi dan mampu menampung sekurang-kurangnya 700,000 jemaah pada satu-satu masa.

Syarikat milik usahawan seorang rakyat Jerman beragama Islam berpangkalan di Dubai itu memilih anak-anak muda Malaysia untuk menyelia projek pembinaan Mahtab iaitu ruang tawaf bertingkat di sekeling Kaabah.

Pengurus tapak projek itu, Hairul Nizam Baharuddin, 36, berkata, beliau bertanggungjawab untuk mengurus projek dan menyelia lebih 100 pekerja termasuk 15 rakyat Malaysia yang berjawatan penyelia tapak dan projek.

"Pada asalnya kami bekerja dengan syarikat Premier Composite semasa satu projek di Melaka dan kemudiannya apabila syarikat ini mendapat tawaran projek di Masjidil Haram, kami ditawarkan untuk bekerja di sini," kata anak muda dari Melaka itu kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, sebelum ini rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi juga tidak mengetahui pembabitan anak Malaysia dalam kerja-kerja pembinaan di Masjidil Haram.

Bagaimanapun, baru-baru ini mereka bertemu dengan seorang ahli perniagaan Malaysia di sini yang mahu dikenali sebagai Pak Arshad dan melayan mereka seperti anak angkat.

"Pak Arshad yang mengetahui bahawa kami telah bekerja di sini kemudiannya membawa kami berkenalan dengan beberapa rakyat Malaysia yang tinggal di Arab Saudi," kata beliau.

Mereka mula bertugas di Makkah semasa projek pembinaan jam besar pada tahun 2010 dan terus berada di Arab Saudi setelah majikan mereka mendapat projek-projek lain di sekitar Masjidil Haram.

"Pembinaan Mahtab bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan tenaga pakar dengan teknologi terkini untuk menampung jutaan umat Islam berjalan di atasnya," katanya.

Mahtab bertingkat setinggi 13 meter dan selebar 13 meter itu dijangka siap dalam selepas musim haji tahun ini sebelum disambung dengan projek pembesaran masjid pula.

"Kami bekerja secara syif 24 jam sehari dan saya diberi tanggungjawab untuk menguruskan pekerja di tapak projek manakala rakan lain adalah penyelia projek," kata beliau.

Katanya, mereka mungkin berada di tanah suci itu selama enam tahun lagi berikutan masih banyak kerja-kerja tambahan akan dilakukan di kawasan masjid berkenaan.

Beliau berkata, tugas mereka begitu mencabar kerana terpaksa menyelia pekerja-pekeeja binaan yang datang dari serata dunia dan kebanyakannya adalah dari Bangladesh, Pakistan, Syria dan Mesir.

"Selain itu, waktu bekerja pula terhenti-henti kerana semua kerja terpaksa dihentikan sejam sebelum masuk waktu solat dan disambung semula selepas solat dan waktu bekerja kami terpaksa dipanjangkan sehingga malam," kata beliau.

Bagi penyelia tapak, Nursham Ibrahim, 40, beliau menganggap peluangnya untuk bekerja di tanah suci adalah satu rahmat kerana selain mendapat rezeki lumayan, mereka juga dapat menyumbang tenaga membina projek terbesar dalam sejarah di Masjdil Haram.

"Bagi saya ini adalah kemuncak kejayaan dalam karier, apa lagi yang boleh dibanggakan oleh kita sebagai umat Islam selain dari terlibat dalam pembinaan Masjdil Haram," kata beliau yang juga berasal dari Melaka.

Mengenai perancangan mereka setelah pulang ke tanah air kelak, Nursham berkata mereka bercita-cita membentuk satu pasukan profesional bagi membuat satu projek yang bertaraf antarabangsa apabila pulang ke tanah air kelak.

"Ini baru setakat idea, kami belum boleh nyatakan apakah rancangan kami apabila pulang ke tanah air kelak setelah kerja-kerja projek di Masjidil Haram ini siap sepenuhnya kelak," katanya. - BERNAMA 
Karpal tak bersara selagi pembangkang tidak memerintah

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 September, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan bahawa beliau tidak akan berundur daripada arena politik selagi pakatan pembangkang belum berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.

Karpal yang merupakan Ahli Parlimen Gelugor berkata, beliau percaya setiap orang pasti akan bersara tetapi memberitahu belum bercadang untuk melakukannya dalam masa terdekat ini.

Beliau juga membayangkan kemungkinan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum yang akan datang sekiranya dicalonkan oleh parti. - UTUSAN ONLINE 
Bumbung masjid runtuh lagi

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB

KUALA TERENGGANU, AHAD, 29 September, 2013: Insiden runtuhan bumbung terus berlaku di negeri ini dan terbaharu melibatkan ruang solat kedua masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal dekat sini awal pagi ini.

Insiden yang disedari berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu menjejaskan kira-kira 40 peratus bahagian masjid bernilai kira-kira RM6 juta yang baru siap dan digunakan kira-kira dua tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika diminta mengulas berkata, ia suatu lagi insiden yang sangat dikesali dan memalukan serta meminta pihak Jabatan Kerja Raya membuat penjelasan.

Sementara itu, bilal masjid, Man Mat, 61, memberitahu, dia merupakan orang pertama yang pergi ke masjid, kira-kira pukul 5 pagi dan terkejut melibat bumbung ruang solat kedua sudah roboh seolah-olah kena bom.

"Saya tanya penduduk yang tinggal paling hampir dengan masjid ini dan mereka beritahu ada bunyi dentuman kuat kira-kira pukul 4 pagi tadi (semalam)," katanya ketika ditemui.

Jelasnya, dia dan jemaah lain bernasib baik kerana insiden itu berlaku pada awal pagi dan tidak ada sesiapa berada di dalam masjid yang boleh memuatkan 1,000 jemaah itu ketika kejadian.

"Masjid ini baru dua tahun digunakan dan sepanjang tempoh ini tidak ada tanda atau bunyi pelik melainkan sedikit kebocoran tetapi ia tidak serius," katanya.

Pada 20 Mei lalu, 12 jemaah masjid yang baru sahaja menyelesaikan solat isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan masjid di Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu runtuh.

Manakala pada 3 Oktober 2009, bumbung bahagian hadapan Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman juga runtuh menyebabkan tiga mangsa cedera.

Selain itu, pada 2 Jun 2009, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menelan belanja RM292.9 juta telah siap dibina pada Mei 2008 dan digunakan dalam penganjuran Sukan Malaysia turut roboh.

Sebahagian struktur bumbung stadium berkenaan sekali lagi roboh pada berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi pada 20 Februari lalu yang menyebabkan tiga pekerja parah manakala dua lagi pekerja cedera ringan. - UTUSAN ONLINE 

4 juta kertas undi diguna pemilihan UMNO 12, 19 Oktober


BENTONG, AHAD, 29 September, 2013: Pemilihan terbesar dalam sejarah UMNO pada 12 dan 19 Oktober ini akan menyaksikan kira-kira empat juta kertas undi digunakan.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusof berkata, jumlah kertas undi yang besar itu disebabkan perwakilan seramai 146,000 dan didarab dengan bilangan jawatan dipertandingkan termasuk bahagian, sayap dan pusat. - UTUSAN ONLINE 
Kedah tetapkan pembangunan ICT agenda transformasi

KULIM, AHAD, 29 September, 2013: Kerajaan Kedah menetapkan pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sebagai satu daripada agenda Transformasi Kerajaan Negeri Kedah, berikutan kedudukan negeri itu yang berada di tangga ketiga terbawah dalam aspek kadar penembusan jalur lebar.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kadar penembusan jalur lebar isi rumah di Kedah hanya mencapai 53.7 peratus berbanding 67.1 peratus di peringkat nasional.

Katanya, Makmal Transformasi Teknolgi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Negeri Kedah yang bermula sejak awal September lepas telah banyak membincangkan secara terperinci berkaitan status semasa, isu-isu dan cabaran serta mekanisme pelaksanaan bagi pembangunan ICT di Kedah.

"Input-input yang diberikan amat berguna bagi perancangan peningkatan kadar penembusan jalur lebar Negeri Kedah di samping mentransformasikan Negeri Kedah menjadi negeri maju berpendapatan tinggi. Ia juga turut mengambil kira inisiatif-inisiatif di bawah (Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi) NKEA - Kandungan dan Infrastruktur Komunikasi.

" ICT akan bertindak sebagai pemboleh kepada sektor-sektor utama negeri seperti pertanian, pelancongan, industri, usahawan dan lain-lain lagi," katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Karnival Jalur Lebar 1Malaysia peringkat negeri Kedah di Padang Umum Kulim di sini semalam.

Teks ucapan Mukriz dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi Norsabrina Mohd Noor yang mewakili beliau merasmikan majlis itu. - BERNAMA
DUN Sungai Limau: Speaker serah notis kepada SPR

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

ALOR SETAR, AHAD, 29 September, 2013: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Md Rozai Shafian hari ini menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Limau kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandang, Tan Sri Azizan Abdul Razak, Khamis lepas.

Notis bersama dokumen lain seperti sijil kematian bekas Menteri Besar Kedah itu diserahkan kepada Pengarah SPR Kedah, Juhari Abdul Rahman di pejabatnya di Wisma Darul Aman dekat sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian Azizan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Dalam pada itu menurut Md. Rozai, pihaknya memberi sedikit masa kepada keluarga Allahyarham untuk menyerahkan dokumen lengkap berkaitan kematian Azizan kerana menghormati mereka yang bersedih.

''Penyerahan notis itu adalah mengikut perkara 53 Fasal Kecil 5 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang perlu memaklumkan kekosongan kerusi DUN kepada SPR supaya pilihan raya kecil dapat diadakan dalam tempoh 60 hari,'' katanya.

Dalam pada itu menurut Juhari, beliau akan menyerahkan notis itu kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof hari ini bagi membolehkan suruhanjaya itu mengadakan mesyuarat menentukan tarikh pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.

Bekas Menteri Besar Kedah itu memenangi DUN Sungai Limau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dengan majoriti 2,774 undi.

Allahyarham memperoleh undi sebanyak 13,294 undi berbanding calon Barisan Nasional, Mohd Fazillah Mohd Ali 10,520 undi.

PRK yang dijangka diadakan nanti merupakan pilihan raya kecil kedua selepas DUN Kuala Besut Terengganu yang diadakan pada 24 Julai lalu berikutan kematian penyandangnya Dr. A Rahman Mokhtar. - UTUSAN ONLINE 
Pengebom berani mati serang kem tentera Mali

MALI, AHAD, 29 September, 2013: Sebuah kem tentera di bandar Timbuktu di sini hari ini diserang oleh dua orang pengebom berani mati sehingga mengakibatkan dua orang awam terbunuh.

“Pengebom berani mati meletupkan kereta yang mereka naiki berhampiran kem tentera.

“Dua orang awam mati di tempat kejadian dan tentera kini berada dalam situasi berjaga-jaga,’’ kata jurucakap tentera Mali. - AFP/UTUSAN
Parti pemerintah Tunisia setuju undur, bincang

TUNIS, AHAD, 29 September, 2013: Parti pemerintah Tunisia, Parti Ennahda bersetuju untuk berundur dan melepaskan kuasa bagi mengadakan perbincangan dengan pembangkang minggu depan.

Jurucakap kesatuan buruh berkata, persetujuan itu dicapai selepas berbulan-bulan berunding dengan kerajaan pimpinan pergerakan Islam itu.

Persetujuan tersebut akan memberi laluan kepada pembentukan kerajaan sementara sebelum pilihan raya baharu diadakan. - AGENSI/UTUSAN 
Halang tindakan keganasan

Zulkefli Hamzah
 *NAJIB Tun Razak berucap pada Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-68 di New York, Amerika Syarikat, semalam. - REUTERS
NEW YORK, SABTU, 28 September, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru semua negara untuk menggunakan jalan kesederhanaan bagi menghalang tindakan keganasan di dunia Islam daripada berpanjangan yang sehingga kini telah menyebabkan hilangnya banyak nyawa dan kebebasan.

Menyifatkan keganasan dalam skala sekarang sebagai jarang-jarang berlaku dalam sejarah ummah, Perdana Menteri menegaskan, tiba masanya untuk menghentikan pembunuhan, dan sebaliknya bersungguh-sungguh menumpukan usaha bersama ke arah keamanan dan kemakmuran.

"Ini adalah beban berat yang tidak boleh lagi kita biarkan. Inilah masanya untuk kita menghentikan pembunuhan," katanya semasa berucap pada sesi Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang ke-68 di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Mesyuarat badan dunia yang mengumpulkan 193 buah negara itu, kali ini berlangsung dalam suasana banyak negara Islam dilanda konflik terutamanya antara pengikut Sunni dan Syiah.

Konflik Syria semakin memburuk, pergolakan di Mesir akibat Arab Spring terus menjadikan negara Islam itu tidak stabil manakala pembunuhan daripada pengebom berani mati masih berleluasa di Pakistan dan Lebanon sedangkan masalah utama di Palestin jauh daripada diselesaikan.

Dalam ucapan pertama Perdana Menteri di mesyuarat yang sama pada 2010, beliau mengumumkan inisiatif Gerakan Kesederhanaan Global yang kini selepas tiga tahun telah diterima oleh masyarakat antarabangsa sebagai gerakan untuk memerangi ekstremisme.

Dalam menghadapi cabaran dunia Islam sekarang dalam konteks pendekatan kesederhanaan, Najib mencadangkan dua langkah iaitu menggunakan suara majoriti umat Islam dan menyelesaikan semua masalah politik bermula dengan Syria.

Menurut beliau, wasatiyyah atau kesederhanaan adalah salah satu alat paling berkuasa untuk menghalang ekstremisme yang menggunakan agama Islam sebagai alasan untuk melakukan keganasan.

"Tugas kita (majoriti umat Islam) ialah memulihkan semula keyakinan, dengan menerangkan tentang Islam yang sebenar iaitu agama yang menganjurkan keamanan, kesederhanaan dan toleransi.

"Kita mesti sampaikan mesej itu dengan jelas agar semua orang dapat mendengarnya dan berdiri teguh menentang kumpulan minoriti yang menggunakan Islam untuk melanjutkan tindakan ganas dan ketidakadilan," jelasnya.

Dasar-dasar kesederhanaan dengan mengambil Malaysia sebagai contoh, kata Najib, boleh diamalkan di peringat nasional, serantau dan antarabangsa.

Jelas Najib, di peringkat serantau Malaysia telah mengambil usaha terhadap keamanan di selatan Filipina dan Thailand, manakala ASEAN telah membuat komitmen untuk mengambil jalan rundingan bagi menyelesaikan isu tuntutan bertindih sempadan.

"Dan di peringkat antarabangsa, kesederhanaan boleh memandu pendekatan kita untuk menghadapi cabaran besar iaitu ekstremisme, pembangunan mampan dan pertumbuhan saksama," katanya.

Untuk langkah menyelesaikan masalah politik di dunia Islam bermula dengan Syria, Najib menekankan pendirian Malaysia agar masalah di negara itu diselesaikan secara bersama melibatkan semua pihak berkepentingan.

"Kita mengalu-alukan langkah Perjanjian Rangka Kerja Amerika Syarikat-Rusia, tanpa sangsi mengecam penggunaan senjata kimia dan menyeru masyarakat antarabangsa meningkatkan usaha bagi meneroka segala pilihan diplomatik di bawah PBB untuk mengembalikan keamanan," katanya.

Bagi isu Palestin, jelas Najib, semua negara mesti bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah di kawasan bergolak itu kerana hanya dengan keamanan dapat membangun dan mengembalikan semula maruah rakyat Palestin.

Menurutnya, semua negara harus meneruskan usaha untuk membangunkan masyarakat yang lebih makmur dan kuat, yakin terhadap amalan undang-undang dan demokrasi.

Menyentuh tentang Arab Spring yang menunjukkan dunia Islam mahukan perubahan, kata Najib, kerajaan mesti menjawabnya dengan menyediakan tadbir urus yang baik untuk memerangi rasuah, mencipta peluang pekerjaan bagi mengatasi kemiskinan dan mewujudkan pertumbuhan mampan yang memberi peluang kepada setiap rakyat. - UTUSAN 
Permata Kurnia bekerjasama dengan autism speaks

 
*ROSMAH Mansor berucap pada majlis The Sixth Annual World Focus on Autism di Hotel Hilton Midtown New York, kelmarin. - BERNAMA

NEW YORK, SABTU, 28 September, 2013: Permata Kurnia, program intervensi awal untuk kanak-kanak penghidap autisme dan keluarga mereka, akan berkerjasama dengan Austism Speak, sebuah pertubuhan sains, kesedaran dan nasihat autisme terkemuka dunia, yang berpangkalan di New York City.

Kerjasama itu dijangka membantu dalam mendidik orang ramai dan meningkatkan sensitiviti masyarakat ke arah membantu individu autisme serta menyokong keperluan keluarga mereka.

Penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga isteri Perdana Menteri, berkata, Autism Speaks bersedia untuk memberi khidmat nasihat kepada Permata Kurnia.

Pusat Permata Kurnia untuk kira-kira 100 kanak-kanak yang menghidap autisme dijadual dibuka di Kuala Lumpur pada 2015.

''Kami bentangkan perancangan, pendekatan dan program yang bakal dijalankan untuk memastikan ia selari dengan standard antarabangsa,'' katanya kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri The Sixth Annual World Focus on Autism di Hotel Hilton Midtown New York di sini, semalam.

Rosmah adalah seorang daripada penceramah jemputan pada majlis itu.

Autism Speaks diasaskan oleh Suzzane dan Bob Wright, datuk dan nenek kepada kanak-kanak autisme pada Februari 2005. Bob Wright merupakan bekas Naib Presiden General Electric dan Ketua Pegawai Eksekutif NBC dan NBC Universal.

Sejak penubuhannya, Autism Speaks membelanjakan lebih AS$200 juta untuk penyelidikan dan pembangunan sumber inovatif untuk keluarga.

Di peringkat global, Autism Speaks telah mewujudkan perkongsian pintar dan aktiviti berkaitan di lebih 40 negara di lima benua untuk menjalankan kajian, perkhidmatan dan memupuk kesedaran di peringkat antarabangsa.

''Autism Speaks sudah ke beberapa negara di Selatan Amerika, dan beberapa negara di Asia, tetapi belum lagi ke Malaysia. Jadi kami amat gembira kerana mereka mahu menjalinkan kerjasama dalam merealisasikan penubuhan pusat Autisme di Malaysia.

''Mereka juga setuju untuk menghadiri persidangan antarabangsa mengenai autisme yang bakal dianjurkan oleh Malaysia pada April tahun depan,'' kata Rosmah.

Terdahulu dalam ucapannya, Rosmah menerangkan mengenai Permata Kurnia, sebuah pusat autisme dan berkata, arkitek yang mereka cipta pusat itu merupakan ibu kepada kanak-kanak autisme.

Sementara itu, Rosmah turut menghadiri acara tahunan Fashion 4 Development (F4D), majlis jamuan tengah hari wanita pertama, diplomat, pemimpin industri fesyen dan golongan berpengaruh dari seluruh dunia di sebuah hotel di sini, yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Sesi ke-68.

Majlis itu dihos Evie Evangelou, yang juga presiden dan pengasas F4D. - BERNAMA