My Add

Tuesday 31 December 2013

Lagi pemimpin tertinggi PKR Sabah keluar parti

KOTA KINABALU, ISNIN, 30 Disember, 2013: Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah terus menerima tamparan hebat apabila Timbalan Ketua Penerangan parti negeri, Musli Oli mengambil tindakan keluar parti berkuat kuasa hari ini.

Tindakan itu diambil Musli selepas hilang keyakinan dan kepercayaan ke atas pendekatan PKR dalam menangani masalah negara.

Beliau berkata, PKR dan pakatan pembangkang dilihat mengamalkan langkah penyelesaian berbentuk konfrontasi selain satu 'kewajipan' bagi mereka menggunakan kekerasan menentang kerajaan berbanding menggunakan pendekatan perbincangan atau rundingan.

"Apa yang PKR buat sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah menentang kerajaan secara agresif dengan mempergunakan rakyat selain memainkan sentimen kebencian yang melampau.

"Jika mereka benar-benar mahu membela rakyat, pembangkang boleh menggunakan pendekatan diplomatik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 26 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan para pemimpin utama daripada 11 cabang parti di negeri ini mengisytiharkan keluar parti sekali gus menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Musli yang juga bekas Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri berkata, beliau seakan-akan terjaga daripada mimpi apabila penglibatannya dalam politik PKR tidak membuahkan hasil sebaliknya lebih terpengaruh kepada janji-janji manis parti tersebut dengan kandungan Buku Jingga.

Katanya, antara janji manis PKR dalam Buku Jingga adalah mengembalikan beberapa perkara yang anggap wajar dikembalikan kepada rakyat dan negeri Sabah, khususnya mengenai Perkara 20, royalti minyak (2 peratus), Cabotage Policy dan soal autonomi yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 jika Pakatan Rakyat mengambil-alih Putrajaya sukar untuk dicapai. - UTUSAN 
Jawatankuasa khas rangka prosedur hadapi bencana ditubuh

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Disember, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuh bagi merangka prosedur tindakan kecemasan dalam berhadapan bencana alam.

Perdana Menteri berkata, penubuhan itu sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghadadapi bencana alam seperti banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Tanpa menyatakan nama jawatankuasa itu, Najib dalam catatan di laman Facebooknya hari ini turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Kepada mangsa bencana banjir di Sarawak, beliau mendoakan agar beban yang dihadapi mereka diringankan oleh Allah.

"Saya doakan agar Allah SWT memudahkan dan meringankan beban keluarga yang terlibat dalam bencana banjir di Bintulu, Miri, Sarikei serta kawasan-kawasan lain," katanya.

Keadaan hujan berterusan sejak hampir seminggu menyebabkan empat bahagian di Sarawak dilanda banjir, melibatkan beberapa kawasan di bahagian Miri, Bintulu, Betong dan Sri Aman yang dinaiki air antara 0.5 meter dan satu meter.

Setakat hari ini, dilaporkan 261 mangsa banjir melibatkan 60 keluarga di Miri dan Bintulu telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.

Daripada jumlah itu, 222 orang di Bintulu manakala 34 orang di Niah dan lima di Marudi, masing-masing daerah kecil di Miri. - BERNAMA
PM umum 11 langkah kurang perbelanjaan sektor awam

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Disember, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Januari.

"Tindakan itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun depan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengurangkan elaun keraian sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.

"Selain itu, kemudahan tol pegawai kanan kerajaan gred itu juga akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau sebanyak 30 peratus," katanya dalam kenyataan dua muka surat itu.

Najib berkata, kerajaan juga akan meminda kelayakan Tiket Penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi penjawat awam iaitu kelayakan penerbangan sektor domestik bagi Gred Jusa C ke bawah ialah Kelas Ekonomi.

Selain itu, kerajaan juga akan mengurangan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan, selain membekukan permohonan baharu bagi pengubahsuaian ruang pejabat kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memutuskan untuk mengoptimakan penggunaan ruang pejabat sedia ada bagi mengurangkan sewaan premis pejabat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga akan mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek-projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan.

Beliau berkata, cadangan pelantikan hendaklah dikemukakan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk kelulusan.

Kerajaan juga akan mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara atau 'event management' serta pemberian saguhati (door gifts) atau cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan yang melibatkan anggota pentadbiran dan penjawat awam, katanya.

Najib berkata, kerajaan juga akan mengurangkan penyediaan makanan dan minuman serta mengurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

Kerajaan juga akan mengaplikasi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimakan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan-kemudahan di institusi-institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar dan bengkel, katanya. - BERNAMA 
ATM siap sedia hadapi gelombang kedua banjir di Kelantan

KOTA BHARU, ISNIN, 30 Disember, 2013: Lebih 400 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi gelombang kedua banjir di Kelantan yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.

Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Shukuri Ahmad berkata, anggota terbabit ditempatkan di beberapa jajahan yang sering ditenggelami banjir antaranya Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Kuala Krai.

"Selain anggota, peralatan lain seperti bot juga ditempatkan di kawasan tersebut dan akan digerakkan jika banjir melanda dan akan membantu pihak berkuasa tempatan memindahkan mangsa banjir.

"Selain Kelantan, ATM turut menempatkan anggota di negeri-negeri lain yang terlibat dalam bencana itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada perwira Op Daulat Lahad Datu di Wisma Perwira Markas 8 Briged di sini hari ini.

Pada majlis yang turut dihadiri Panglima Briged Kelapan Infantri, Brig Jen Datuk Mohamad Zaki Hamzah itu, Mohd Shukuri menyerahkan sumbangan RM30,000 daripada kerajaan negeri Pulau Pinang, masing-masing kepada keluarga Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan.

Difahamkan, kerajaan negeri Pulau Pinang turut menyerahkan sumbangan yang sama kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam operasi yang sama.

Mengulas mengenai perwira yang terkorban dalam Op Daulat dan operasi lain, Mohd Shukuri berkata ATM akan 'menganak-angkatkan' pusara mereka yang gugur itu dengan memeliharanya sebaik mungkin.

"Kami akan sentiasa membantu keluarga perwira yang gugur mempertahankan kedaulatan negara. Jika ada masalah, datang berjumpa kami kerana kami sentiasa terbuka untuk membantu setakat mana yang mampu," katanya. - BERNAMA 
Pejabat Mahkamah Syariah Kelantan dipecah masuk

KOTA BHARU, ISNIN, 30 Disember, 2013: Pejabat di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan di Jalan Pasir Mas-Salor di sini dipecah masuk dipercayai untuk mencari maklumat sulit, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supritendan Idris Abd. Rafar.

Beliau berkata, kejadian itu disedari seorang pembantu tadbir yang berkhidmat di bangunan berkenaan kira-kira 7.30 pagi semalam ketika mahu memulakan tugas.

"Ketika pengadu masuk kerja di Mahkamah Syariah tersebut mendapati pejabat di aras dua, lima dan enam telah dipecah masuk dengan beberapa bilik dan almari fail di aras berkenaan turut diselongkar.

"Selain itu, kamar Ketua Hakim dan Bilik Pegawai Penyelidik di aras enam turut diselongkar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Idris berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai masuk melalui tingkap di aras dua dengan menggunakan tangga yang ditinggalkan kontraktor di tempat kejadian.

"Terdapat kesan umpilan di beberapa pintu di aras dua, lima dan enam dan suspek dipercayai menyelongkar almari yang mengandungi fail, bagaimanapun tidak mengambil barang berharga.

"Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak membantu kerana hanya menampakkan kelibat sahaja berikutan pencahayaan yang kurang. Siasatan juga tidak dapat menimbulkan cap jari yang sempurna di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, pada hari kejadian pengawal keselamatan ada membuat rondaan setiap dua jam sekali bermula pukul 12 malam dengan rondaan terakhir adalah pada pukul 5 pagi. - BERNAMA
Guling kerajaan: NGO pro-BN turun Dataran Merdeka

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Disember, 2013: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-kerajaan Barisan Nasional (BN) akan turun ke Dataran Merdeka bagi menyambut kedatangan Tahun Baharu 2014.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, kehadiran kumpulan NGO pada malam sambutan itu juga bagi melihat gelagat peserta Himpunan Guling Kerajaan yang dianjurkan oleh kumpulan pro-parti pembangkang.

"Kami akan turun beramai-ramai dengan memakai pakaian seragam NGO masing-masing bagi menunjukkan bahawa kerajaan juga mempunyai penyokongnya sendiri.

"Kita tidak akan menghalang mereka untuk membuat perhimpunan haram kerana ia bukan kerja kami tetapi kerja pihak berkuasa. Kita hanya akan melihat gelagat kumpulan ini," kata Abdul Rani.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar yang turut disertai oleh kepimpinan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dan Penyokong Kuat Aspirasi Najib (Pekan) di Dataran Merdeka hari ini.

Sementara itu, Presiden PVTM, Mohd. Ali Baharom berkata, kumpulan pro-pembangkang jangan berselindung dengan menyatakan bahawa perhimpunan haram yang dirancang pada malam ambang tahun baharu itu adalah perhimpunan membantah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

"Kenapa mereka memilih untuk.berhimpun pada malam perayaan sambutan tahun baru tidak hari-hari lain? Kenapa mereka memilih Dataran Merdeka tidak di tempat-tempat lain?

"Sebelum ini mereka juga berhimpun pada malam sambutan hari kemerdekaan. Ini semua mempunyai simbolik tertentu," tegas Mohd. Ali.

Beliau turut menyelar Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat kononnya perhimpunan tersebut sebagai berlandaskan demokrasi dan mengikut lunas Perlembagaan.

"Kalau dia kata perhimpunan ini adalah mengikut peraturan undang-undang jelas sekali beliau salah.

"Perhimpunan ini tidak mendapat permit dan tidak mendapat kebenaran daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur. Bagaimana beliau boleh berkata perhimpunan ini mengikut lunas undang-undang? Soal Mohd. Ali.

Jelas beliau malam sambutan Tahun Baharu 2014 di Dataran Merdeka nanti pastinya menjadi tumpuan pelancong.

"Siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kekacauan pada malam itu sehingga menyebabkan kecederaan kepada pelancong? Pasti akhirnya mereka sekali lagi akan menunding jadi kepada pihak berkuasa," kata Mohd. Ali. - UTUSAN ONLINE
Schumacher kritikal, kemalangan ski

PARIS, ISNIN, 30 Disember, 2013: Legenda Formula Satu (F1), Michael Schumacher kini berada dalam keadaan kritikal dan baharu menjalani pembedahan otak selepas terlibat dalam kemalangan ketika bermain ski ais di Perancis, semalam.

Schumacher, 44, yang berada dalam keadaan koma kini dirawat di Hospital Mountain Gendarmerie, Perancis.

Pengurus Schumacher, Sabine Kehm bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keadaan bekas juara dunia dari Jerman itu, sebaliknya meminta orang ramai mendoakan agar dia cepat sembuh.

Schumacher bersara dari dunia F1 pada 2006, namun selepas empat tahun dia membuat kepulangan semula dan beraksi bersama pasukan Mercedes, sebelum mengu mumkan persaraan buat kali kedua tahun lalu selepas tidak berjaya bersama pasukan barunya. - AP/UTUSAN
2,000 individu diperiksa dalam Ops Bersepadu di Tawau

TAWAU, ISNIN, 30 Disember, 2013: Polis memeriksa 2,624 individu dalam Op Bersepadu membabitkan sekatan jalan raya di dua lokasi iaitu di Jambatan Putih dan Batu 4, Jalan Apas di sini awal pagi semalam.

Operasi secara berperingkat, yang bermula pukul 1 pagi hingga 11 malam itu, turut menyaksikan 1,094 kenderaan diperiksa termasuk 124 motosikal.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata, seorang lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun ditahan mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) manakala 46 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, tujuan operasi adalah bagi memantau dan mencegah jenayah di daerah ini selain memastikan semua kenderaan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Lebih 30 anggota dari pelbagai cawangan dikerah untuk menjayakan operasi yang setakat ini berjaya mencapai objektif yang digariskan," katanya sambil menambah operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kadar jenayah di daerah ini terkawal dan ketenteraman awam sentiasa terjaga. - BERNAMA

Iklan pinjaman palsu: Agrobank buat laporan polis

KUANTAN, ISNIN, 30 Disember, 2013: Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) membuat laporan polis berhubung tawaran pinjaman palsu yang menggunakan nama dan logo bank berkenaan.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Agrobank, Zamberi Baharin berkata, Khamis lepas pihaknya mengesan sehelai kain rentang digantung di satu lokasi dalam bandar Kuantan dengan butiran tawaran pinjaman Agrobank yang palsu.

"Nombor telefon dan laman sesawang yang tertera pada kain rentang berkenaan adalah palsu dan Agrobank tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang tengah untuk berurusan dengan orang ramai mengenai pembiayaan kewangan Agrobank," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, Agrobank telah menurunkan kain rentang itu dan laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Jumaat lepas dan menurutnya penipuan seperti itu merupakan kes yang pertama dikesan setakat ini.

Katanya, untuk mendapatkan maklumat yang sah mengenai pembiayaan Agrobank orang ramai dminta menghubungi talian 03-27311600 atau melayari www.agrobank.com.my. - BERNAMA 
Guling Kerajaan: Persatuan teksi, PPIM mahu polis bertegas

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Diisember, 2013: Himpunan Guling Kerajaan anjuran kumpulan pro-pembangkang yang dijadual berlangsung menjelang ambang Tahun Baharu 2014 pada 31 Disember nanti terus mendapat tentangan keras.

Terbaharu, Gabungan Persatuan dan Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (Gubungan) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mendesak agar polis mengambil tindakan keras terhadap kumpulan terbabit yang didakwa mampu menjejaskan keamanan dan ekonomi negara.

Timbalan Presiden Gabungan, Datuk Mohd. Alias Abdul berkata, perhimpunan haram itu dikhuatiri menjejaskan mata pencarian lebih 25,000 pemandu teksi di Lembah Kelang.

"Bantahan dan protes ini adalah kerana himpunan haram akan menyebabkan lalu lintas tersekat dan mengakibatkan huru hara sekaligus menjejaskan perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur.

"Himpunan ini akan menyebabkan para pemandu teksi enggan ke tempat terbabit menyebabkan pendapatan pemandu teksi terjejas," tegas Mohd. Alias.

Beliau berkata, himpunan itu yang diadakan serentak dengan kedatangan Tahun Melawat Malaysia 2014 boleh menjejaskan imej negara di mata pelancong asing.

"Tindakan mereka pastinya menjejaskan imej negara. Kita sayangkan negara kita, kita mahukan keamanan dan kita benci tindakan ganas seperti ini," jelas Mohd. Alias.

Sementara itu, Aktivis Pengguna PPIM, Mohd. Mustafa Hamzah berkata, sejarah perhimpunan haram yang dilakukan oleh kumpulan yang sama menunjukkan ia tidak pernah berakhir dengan aman.

"Pelbagai kekecohan berlaku setiap kali perhimpunan haram berlangsung. Peniaga-peniaga kecil terjejas.

"Penganjur perhimpunan haram ini sepatutnya memikirkan hak-hak asasi kumpulan yang terjejas akibat tindakan mereka," tegas Mohd. Mustafa.

Kedua-dua NGO terbabit mengesa agar penganjur menggunakan sistem demokrasi melalui pilihan raya dalam meraih kuasa dan bukannya mengunakan demonstrasi haram untuk mengulingkan kerajaan sedia ada. - UTUSAN ONLINE. 
Pemerdagangan: 35 wanita asing diselamatkan dari pusat urut

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Disember, 2013: Seramai 35 wanita pelbagai warganegara yang dipercayai menjadi mangsa kegiatan pemerdagangan manusia diselamatkan polis dalam operasi serentak di tiga pusat urut di Platinum Walk, Setapak di sini, Khamis lepas.

Dalam serbuan pukul 8 malam itu, tiga wanita warga Vietnam, 10 wanita warga China, 12 wanita warga Thailand dan 10 wanita warga Filipina berusia lingkungan 20 dan 30 tahun diselamatkan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat(D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, SAC Roslee Chik berkata hasil siasatan mendapati wanita berkenaan dipercayai masuk ke negara ini menggunakan laluan darat dan udara.

"Kesemua wanita berkenaan memasuki negara ini sejak lima bulan lalu dengan menggunakan visa lawatan sosial, visa pelajar serta visa pembantu rumah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan enam suspek iaitu empat lelaki tempatan, seorang lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga Filipina yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memperdagangkan wanita berkenaan.

"Modus operandi mereka (suspek) adalah memperdaya mangsa dengan menawarkan kerja urut tetapi akhirnya paksa mangsa lakukan pelacuran... Ada mangsa yang dikenakan ikatan hutang antara RM5,000 hingga RM13,000, di mana mangsa terpaksa melakukan kegiatan tidak bermoral itu untuk melangsaikan hutang ejen". Roslee berkata polis turut merampas wang tunai sebanyak RM3,720 serta paket-paket kondom, buku daftar dan pasport di lokasi berkenaan.

"Ketiga-tiga pusat itu yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah, mengenakan kadar bayaran RM100 hingga RM200 untuk perkhidmatan mengurut serta seks," katanya.

Roslee berkata, kesemua enam suspek kini ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.

Kesemua mangsa ditempatkan di rumah perlindungan sehingga 9 Jan, katanya. - BERNAMA
Fama sasar wujud 1,000 pasar tani 2015

PENDANG, ISNIN, 30 Disember, 2013: Lembaga Pemasaran Persekutuan (Fama) menyasar sebanyak 1,000 pasar tani moden beroperasi di seluruh negara menjelang 2015.

Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, sasaran itu mungkin tercapai lebih awal dengan kerjasama majlis daerah kerajaan tempatan menaik taraf pasar malam menjadi pasar tani.

"Sasaran 1,000 pasar tani ini adalah selaras dengan strategi Fama untuk menggalakan lebih ramai orang membeli barang keperluan harian di pasar tani dan agrobazar yang harga barang jualannya dikawal oleh Fama.

"Strategi ini juga bertujuan melahirkan ramai usahawan bagi menghadapi kesan kenaikan harga barang dalam pasaran," katanya kepada pemberita pada kursus pemantapan peserta pasar tani daerah Pendang di sini hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini, seramai 22,800 orang menjalankan perniagaan di 589 pasar tani di seluruh negara dengan nilai jualan mencecah hampir RM800 juta.

Badruddin berkata, nilai jualan oleh usahawan Fama termasuk di pusat jualannya dan yang menggunakan motosikal roda tiga serta karavan dijangka mencecah RM1.5 bilion tahun ini.

"Fama mempunyai lebih 2,000 jenis barang dan purata dijual 15 peratus lebih rendah dari harga pasaran. Lebih banyak pusat jualan dan pasar tani dibuka akan lebih ramai rakyat dapat menjimatkan perbelanjaan mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Koperasi Usahawan Fama yang didaftarkan November lepas bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 17 Februari tahun depan. - BERNAMA 
Polis tembak mati 8 pengganas di Xinjiang, China

BEIJING, ISNIN, 30 Disember, 2013: Polis di daerah Xinjiang di wilayah barat China menembak mati lapan orang ketika kejadian 'serangan pengganas' hari ini, kata kerajaan tempatan.

Insiden itu berlaku di Yarkand berdekatan Laluan Sutera lama di bandar Kashgar dekat selatan Xinjiang, kata kerajaan tempatan Xinjiang dalam kenyataan di laman web rasmi www.ts.cn. - REUTERS//UTUSAN 
2 anggota pengaman ditembak ketika rondaan

AMMAN, ISNIN, 30 Disember, 2013: Dua anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditembak ketika mengadakan rondaan di Darfur, menurut kenyataan Lembaga Pengarah Keselamatan Awam Jordan semalam.

Dalam kenyataan tersebut, anggota pengaman yang terbunuh merupakan Mejar Talal Rjub dari Jordan, manakala seorang lagi merupakan anggota dari Senegal.

Ini menjadikan jumlah anggota pengaman yang terkorban sebanyak 12 orang sepanjang tempoh lima bulan dalam operasi yang dilaksanakan bagi mengawal keadaan di Sudan. - AFP/UTUSAN 
517 korban serangan udara di Wilayah Aleppo

DAMSYIK, AHAD, 30 Disember, 2013: Serangan tentera udara di utara wilayah Aleppo mengorbankan sekurang-kurangnya 517 orang, termasuk 151 kanak-kanak sejak 15 Disember lalu, menurut laporan pemerhati semalam.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, serangan yang menggunakan tong-tong berisi bahan letupan itu turut menyebabkan 46 wanita terbunuh.

Sekurang-kurangnya, 46 penentang kerajaan turut terkorban dalam serangan tersebut, walau bagaimanapun kebanyakan mangsa merupakan orang awam. - AFP/UTUSAN 

Monday 30 December 2013

Malaysia hasilkan 3.4 juta tan padi pada 2020

PUTRAJAYA, ISNIN, 30 Disember, 2013: Negara mampu mengeluarkan 3.4 juta tan metrik padi setahun menjelang 2020 dengan purata pengeluaran 10 tan sehektar, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya, keyakinan itu berasaskan pengeluaran sekarang yang mencecah 1.7 juta tan setahun dengan purata 5.4 tan sehektar.

"Walaupun tanah sawah terhad, pengeluaran boleh dioptimumkan menerusi teknologi moden dan penggunaan benih berkualiti tinggi serta kaedah pengairan yang baik," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kumpulan Pengguna Air di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini permintaan beras negara ialah sekitar 2.6 juta tan dengan sebahagiannya ditampung menerusi import.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian kementerian, Syed Abdul Hamid Syed Shuib berkata, Kumpulan Pengguna Air (KPA) diwujudkan bagi membantu pihak pembekal air mengagihkan air secara baik, sekali gus membolehkan semua petani bertanam padi dua musim setahun atau lebih.

"Harapan kementerian adalah supaya setiap petani ataupun pemilik sawah bersatu dalam satu KPA, mini estet, syarikat tujuan khas (SPV) dan sebagainya dalam mengusahakan penanaman padi secara besar-besaran," katanya dalam sidang akhbar sama.

Konvensyen kali ini disertai 150 anggota jawatankuasa KPA dan 50 pegawai dari jabatan dan agensi kementerian berkenaan yang terlibat dengan penanaman padi. -BERNAMA 
Guling Kerajaan: Persatuan teksi, PPIM mahu polis bertegas

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Disember, 2013: Himpunan Guling Kerajaan anjuran kumpulan pro-pembangkang yang dijadual berlangsung menjelang ambang Tahun Baharu 2014 pada 31 Disember nanti terus mendapat tentangan keras.

Terbaharu, Gabungan Persatuan dan Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (Gubungan) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mendesak agar polis mengambil tindakan keras terhadap kumpulan terbabit yang didakwa mampu menjejaskan keamanan dan ekonomi negara.

Timbalan Presiden Gabungan, Datuk Mohd. Alias Abdul berkata, perhimpunan haram itu dikhuatiri menjejaskan mata pencarian lebih 25,000 pemandu teksi di Lembah Kelang.

"Bantahan dan protes ini adalah kerana himpunan haram akan menyebabkan lalu lintas tersekat dan mengakibatkan huru hara sekaligus menjejaskan perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur.

"Himpunan ini akan menyebabkan para pemandu teksi enggan ke tempat terbabit menyebabkan pendapatan pemandu teksi terjejas," tegas Mohd. Alias.

Beliau berkata, himpunan itu yang diadakan serentak dengan kedatangan Tahun Melawat Malaysia 2014 boleh menjejaskan imej negara di mata pelancong asing.

"Tindakan mereka pastinya menjejaskan imej negara. Kita sayangkan negara kita, kita mahukan keamanan dan kita benci tindakan ganas seperti ini," jelas Mohd. Alias.

Sementara itu, Aktivis Pengguna PPIM, Mohd. Mustafa Hamzah berkata, sejarah perhimpunan haram yang dilakukan oleh kumpulan yang sama menunjukkan ia tidak pernah berakhir dengan aman.

"Pelbagai kekecohan berlaku setiap kali perhimpunan haram berlangsung. Peniaga-peniaga kecil terjejas.

"Penganjur perhimpunan haram ini sepatutnya memikirkan hak-hak asasi kumpulan yang terjejas akibat tindakan mereka," tegas Mohd. Mustafa.

Kedua-dua NGO terbabit mengesa agar penganjur menggunakan sistem demokrasi melalui pilihan raya dalam meraih kuasa dan bukannya mengunakan demonstrasi haram untuk mengulingkan kerajaan sedia ada. - UTUSAN ONLINE. 
KDN diminta bertindak tegas terhadap dalang

BUKIT MERTAJAM, AHAD, 29 Disember, 2013: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi agensinya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan tegas mendakwa dalang yang mahu mencetuskan huru-hara menerusi Himpunan Guling Kerajaan yang dirancang Selasa ini.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, tindakan itu perlu kerana perhimpunan itu dilihat mampu menggugat keamanan dan keharmonian negara.

"Kerajaan menerusi KDN dan PDRM perlu bertindak menggunakan undang-undang sedia ada untuk mendakwa dalang yang mahu menganjurkan perhimpunan itu.

"Kita juga minta kerajaan jangan tunduk kepada sebarang tekanan kerana sekiranya perhimpunan itu tetap berlangsung, kerajaan kelak dipersalahkan oleh rakyat kerana tidak bertindak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Pakaian Seragam Sekolah kepada 200 murid di Taman Seri Kijang Alma dekat sini semalam.

Sementara itu, di SEREMBAN, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) akan mengambil tindakan tegas termasuk menyingkir mana-mana ahli yang terlibat dalam perhimpunan haram itu.

Presidennya, Senator Datuk Syed Ibrahim Kader berkata, mana-mana ahli yang menerima sebarang bantuan juga tidak terkecuali berdepan tindakan sekiranya masih berani mencabar undang-undang di negara ini dengan menyertai perhimpunan tersebut.

"Sejak awal lagi kita telah maklumkan kepada ahli Kimma di seluruh negara untuk tidak menyertai perhimpunan haram ini. Jika ada ahli Kimma yang dikesan terlibat kita akan ambil tindakan tegas.

"Kimma adalah organisasi yang menyokong Barisan Nasional (BN) dan kita harap tiada seorang pun ahli termasuk anak-anak mereka terlibat dalam perhimpunan haram itu," katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Pelajar India Muslim sesi 2014 di Dewan Wisma UMNO Seremban hari ini.

Di BATU PAHAT, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta KDN mengambil tindakan tegas termasuk menangkap dan mendakwa dalang perhimpunan itu.

Beliau berkata, tindakan segera perlu diambil sebelum berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini sekali gus membawa kemusnahan besar kepada semua pihak.

"Kelewatan pihak berkuasa bertindak hanya menyebabkan majoriti rakyat negara ini kecewa," katanya selepas majlis penerangan isu-isu semasa dan penyerahan bantuan beg sekolah kepada mangsa banjir hari ini.

Di KUALA LUMPUR, Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjuran perhimpunan itu kerana akan mencetuskan huru-hara.

"Kalau kita tidak berpuas hati tentang perkara-perkara yang menjejaskan ekonomi atau rakyat, kita perlulah mengadakan perbincangan mengenai permasalahan terbabit," katanya selepas merasmikan Karnival Sepakat Komuniti 1Malaysia Peringkat Parlimen Batu dan Kepong di Perumahan Awam Seri Negeri Sembilan, Bandar Baru Sentul. - UTUSAN 
Melayu jangan terperangkap permainan kotor pembangkang

 * KETUA Penerangan Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia (PSCSPSM), Ismail Hassan (empat dari kanan), bersama ahli persatuan itu selepas membuat laporan polis mengenai perhimpunan haram pihak pembangkang pada malam 31 Disember ini di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Disember, 2013: Rakyat terutama masyarakat Melayu diminta sedar dan tidak terperangkap dengan permainan kotor pembangkang yang menggunakan isu kenaikan harga barang untuk mempengaruhi mereka supaya turun ke jalan raya membuat bantahan.

Pengerusi NGO-NGO Selangor, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, penganjur perhimpunan yang dipercayai didalangi pemimpin-pemimpin pembangkang itu sengaja memperbodoh-bodohkan rakyat dengan meniupkan fakta yang salah agar boleh memesongkan pemikiran mereka untuk membenci kerajaan.

"Rakyat perlu sedar lebih 70 peratus sektor perniagaan di negara ini dikuasai masyarakat Cina yang diketahui telah menolak kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu telah mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan langkah pengurangan subsidi oleh kerajaan.

"Orang Melayu perlu sedar perkara itu kerana kita percaya kebanyakan yang akan turun pada perhimpunan itu nanti adalah golongan Melayu.

"Mereka perlu berfikiran rasional terhadap pengurangan subsidi kerajaan tidak terlalu menjejaskan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tetapi lebih disasarkan kepada golongan berpendapatan tinggi, industri perniagaan, perkilangan dan sebagainya demi memberi keadilan kepada semua peringkat rakyat," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Jamal, rakyat telah ditiupkan dengan fakta yang salah, maka mereka tidak perlu terpedaya dengan seruan pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mahu memperbodohkan masyarakat untuk turun ke jalan raya yang pastinya tidak mencapai apa-apa matlamat melainkan hanya mendatangkan kerugian.

Sementara itu, mengulas kenyataan Father Lawrence Andrew yang mahu terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan bahasa Melayu, Jamal berkata, Pengarang mingguan Katolik, Herald itu diberi masa seminggu untuk menarik balik kenyataan tersebut sekali gus memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam di negara ini khususnya di Selangor.

Kata beliau, isu kalimah Allah telah diputuskan di mahkamah yang memberi hak kepada umat Islam dan selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang agama lain daripada menggunakan kalimah itu.

"Kami percaya isu ini ditimbulkan semula semata-mata mahu mencetuskan keadaan tidak baik di negara ini selain mempunyai maksud tersirat supaya orang Melayu dan Islam bangun membantah.

"Sekiranya beliau tidak menarik balik kenyataan itu, kami bercadang mengadakan protes di hadapan gereja pada 31 Disember ini kerana kita tidak mahu orang Melayu Islam berterusan dicabar maruah, akidah dan kedudukan Melayu di negara ini," katanya. - UTUSAN  
Tindakan pembangkang pengecut dan terdesak

MUAR, AHAD, 29 Disember, 2013: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim menyifatkan rancangan pembangkang untuk menjatuhkan pemerintah melalui Penganjuran Himpunan Guling Kerajaan Selasa ini sebagai pengecut dan tindakan terdesak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tindakan tersebut juga hanya akan menyebabkan pihak luar takut untuk melabur kerana pembangkang yang bertopengkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggambarkan negara ini tidak stabil.

"Jika berjaya juga menggulingkan kerajaan, akan diadakan pilihan raya umum yang baharu tapi belum tentu lagi pembangkang boleh menang. Kalau rakyat termakan ajakan mereka, negara kita akan menjadi seperti sebuah negara di utara tanah air yang tiada kestabilan politik.

"Kita memerlukan kestabilan politik untuk membangunkan negara dan wang rakyat tidak perlu dibazirkan untuk menangani ketidakstabilan dalam negara jika berlaku huru hara," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Kempen Tabung Hari Pahlawan Peringkat Daerah 2013 dan Penyampaian Pingat Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Hotel Pelangi, di sini hari ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sembilan, Sazali Ismail dan Ketua PBTM Cawangan Muar, Shamsudin Rais.

Razali berkata, pembangkang tidak pernah mengiktiraf pembangunan yang dibawakan kerajaan kerana mereka melihatnya dalam konteks politik semata-mata sekali gus menafikan segala kebaikan termasuk manfaat yang mereka sendiri peroleh.

Dalam pada itu, beliau mengajak bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat supaya mengembalikan budaya menghargai perjuangan pasukan keselamatan yang sanggup menggadai nyawa mempertahan negara daripada ancaman musuh.

Usaha tersebut penting setelah segelintir masyarakat terutama golongan muda terpengaruh dengan budaya maki hamun terhadap pasukan tersebut yang dipelopori oleh pemimpin pembangkang. - UTUSAN 
Polis ada bukti kukuh

 * KETUA UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo (depan, tiga dari kiri) dan Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah (tiga dari kanan) bersama ahli UMNO dan NGO prokerajaan membuat laporan polis membantah Himpunan Guling Kerajaan di IPD Ampang Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Disember, 2013: Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh tidak gentar dengan ugutan saman daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) propembangkang yang dikenal pasti terlibat sebagai dalang utama perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Selasa ini.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai bukti yang kukuh dan ugutan saman itu tidak akan menghentikan siasatan yang dilakukan.

"Itu (saman) hak mereka... Tetapi mereka harus ingat polis juga mempunyai bukti berdasarkan siasatan yang telah dibuat," kata Amar Singh ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini petang ini.

Amar Singh berkata demikiaan ketika diminta mengulas tindakan saman RM100 juta terhadap beliau yang bakal dilakukan oleh oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Turut menyatakan akan mengambil tindakan saman ialah Jingga 13.

Semalam dalam sidang akhbarnya, selain SAMM dan Jingga 13, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) turut didedahkan Amar Singh sebagai empat NGO yang menjadi dalang utama perhimpunan Selasa ini.

Dalam pada itu Amar menjelaskan, beliau tidak menyebut perancangan mengebom itu dilakukan oleh NGO terbabit tetapi risiko itu mungkin dibuat oleh individu lain yang menyertai perhimpunan itu.

"Ketika sidang akhbar, saya menyebut tentang empat NGO itu dikenal pasti akan hadir dan berhimpun di situ. Perhimpunan itu pula salah di sisi undang-undang dan mereka tidak dibenarkan berhimpun kerana tidak memohon sebarang permit.

"Kenyataan saya tentang ancaman bom dan senjata berbahaya itu tidak menjurus kepada NGO terbabit sebaliknya berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh individu di laman Facebook, sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Cikgu Bard dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan itu dan akan memulakan proses saman sebanyak RM100 juta terhadap Amar Singh.

Menurutnya, kenyataan Amar Singh semalam adalah amat mengejutkan kerana mengaitkan dirinya dan SAMM dengan tuduhan menganjur himpunan menggulingkan kerajaan.

Timbalan Koordinator Jingga 13 Malaysia, Amirzudin Ahmat pula berkata, pihaknya telah melantik peguam dan tidak teragak-agak untuk memfailkan saman terhadap PDRM dan beberapa media lain.

"Jingga 13 menyangkal dan membantah serta menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat Amar Singh bahawa kami akan menimbulkan kekacauan serta membawa pelbagai senjata termasuk bom tangan bagi melakukan kekecohan di perhimpunan itu," katanya. - UTUSAN 
Kebakaran Universiti Al-Azhar angkara samseng

 * AKIBAT terhasut dengan propaganda pihak tertentu untuk menentang pemerintah, sebahagian daripada penuntut Universiti Al-Azhar yang menyokong pertubuhan Ikhwanul Muslimin dan bekas Presiden Mesir, Mohamed Mursi mengadakan demonstrasi di kampus universiti itu, semalam. Kumpulan samseng mengambil kesempatan dalam kekecohan yang berlaku kelmarin dengan membakar dua bangunan universiti tersebut. - REUTERS
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Disember, 2013: Kebakaran di dua bangunan Universiti Al-Azhar semalam didakwa dicetuskan oleh satu kumpulan samseng yang mengganggu demonstrasi aman pelajar.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Perubatan Cawangan Al-Azhar (PCA), Nur Hanisah Naspu berkata, beliau tidak dapat memastikan sama ada kumpulan samseng itu prokerajaan atau menyebelahi penuntut.

"Kami bersyukur tidak ada perkara buruk yang berlaku dalam kalangan pelajar Malaysia dan pegawai pejabat kedutaan negara di Mesir sering memantau serta memastikan keselamatan kami terjaga," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, seorang maut, empat cedera dan dua buah bangunan Universiti Al-Azhar terbakar selepas pelajar institusi pengajian tinggi yang menyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin itu didakwa bertempur dengan polis.

Nur Hanisah berkata, penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar berada dalam keadaan selamat dan terkawal selepas satu pertempuran tersebut.

"Penuntut Malaysia tidak terlibat dalam sebarang rusuhan mahu pun demonstrasi jalanan yang diadakan oleh mahasiswa universiti itu,'' katanya.

Tambah Nur Hanisah, terdapat kira-kira 1,000 pelajar Malaysia di fakulti perubatan universiti itu yang kebanyakannya tinggal di luar kawasan kampus dan sedang menghadapi peperiksaan pertengahan semester serta cuti belajar.

"Kami yang menetap di kawasan luar kampus sering bekerjasama menjaga antara satu sama lain bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk.

"Setakat ini, tiada masalah untuk kami mendapatkan bekalan makanan dan barangan harian, namun kami sentiasa mengambil langkah berwaspada dan mengelak daripada terlibat dalam sebarang rusuhan," katanya.

Sementara itu, Nur Hanisah berkata, pelajar perempuan Malaysia telah dinasihatkan supaya tidak memakai niqab wanita Arab kerana ditakuti akan disoal siasat dan dikasari oleh polis tempatan.

Ini kerana, jelasnya, terdapat kejadian pihak penguasa yang bertindak mencederakan pelajar perempuan dalam usaha untuk meleraikan rusuhan yang berlaku di sana. - UTUSAN 
Tuanku Hajah Haminah akan terus bela anak yatim

 * TUANKU Hajah Haminah (kiri) beramah mesra dengan salah seorang anak yatim sewaktu berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai, baucar pembelian keperluan sekolah dan hamper sumbangan Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah kepada anak yatim dari empat daerah di Alor Setar, semalam. - BERNAMA
ALOR SETAR, AHAD, 29 Disember, 2013: Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah bertitah, baginda dan Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah akan sentiasa memastikan nasib anak-anak yatim terbela.

Sehubungan itu, baginda berpesan agar anak-anak yatim belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Ingatlah ketiadaan ibu atau bapa bukanlah penghalang untuk mengecapi kejayaan. Anak-anak sekalian perlu membuktikan mampu memperoleh kejayaan cemerlang seperti anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa," titah baginda.

Tuanku Hajah Haminah bertitah demikian dalam Majlis Penyampaian Bantuan dan Sumbangan Persekolahan oleh Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah di TH Hotel di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, baginda berkenan menyampaikan wang tunai, baucar pembelian keperluan sekolah dan hamper kepada 400 anak yatim sekolah rendah dan menengah dari daerah Kubang Pasu, Pokok Sena, Kota Setar serta Kuala Muda.

Tuanku Hajah Haminah melahirkan rasa syukur kerana kemurahan hati penyumbang yang membolehkan yayasan itu mengumpul dana untuk menjalankan aktiviti dan bantuan kebajikan.

“Beta berbangga kerana hasil sumbangan tersebut membolehkan yayasan akan mempunyai pejabat sendiri tidak lama lagi yang dilengkapi pelbagai infrastruktur bagi menguruskan anak-anak yatim secara lebih tersusun.

“Yayasan ini begitu unik kerana berjaya menuju hala tuju ditetapkan iaitu bersama-sama membantu membela kanak-kanak khususnya yang kehilangan ibu bapa dan amat memerlukan bantuan pendidikan serta bimbingan untuk menjadi insan beriman, berilmu dan berguna kepada negeri dan negara," titah baginda.

Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan penghargaan kepada penderma yang tidak putus-putus membantu yayasan dalam membela nasib insan kurang bernasib baik.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha memperjuang dan membela nasib anak-anak yatim dengan mencemar duli ke sambutan ulang tahun yayasan tahun ini," titah baginda. - BERNAMA 
SPRM sedia siasat harta berlebihan

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Disember, 2013: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mempertimbangkan cadangan penyiasatan terhadap isu pemilikan harta berlebihan yang tidak relevan dengan pendapatan seseorang individu.

SPRM dalam kenyataannya berkata, pihaknya pernah mengusulkan cadangan tersebut dan telah disokong oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatan Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

"Laporan terbaharu JKMR antara lain menyebut, Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 perlu dipinda bagi membolehkan seseorang individu mengisytiharkan kewangan atau harta benda tanpa ada siasatan awal dibuat terlebih dahulu.

"JKMR dan semua pihak melihat isu tersebut sebagai satu kekangan kepada kerajaan dan SPRM dalam usaha membanteras rasuah kerana terdapat sesetengah penjawat awam yang memiliki harta kekayaan berlebihan dan tidak sepadan dengan pendapatan yang diperoleh," jelas kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, walaupun siasatan pemilikan harta bukanlah fungsi SPRM sepenuhnya, namun perkara tersebut wajar disenaraikan dalam pindaan Akta SPRM 2009 yang bakal dibawa ke Parlimen tahun hadapan. - UTUSAN 
Tidak pernah bermaksud Perkasa dibela UMNO

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Disember, 2013: Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, beliau tidak pernah bermaksud yang Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dibela oleh UMNO seperti yang disiarkan akhbar sebelum ini.

Sebaliknya jelas beliau, maksud kenyataannya itu merujuk kepada bekas pemimpin-pemimpin UMNO yang kini merupakan pemimpin Perkasa.

Hakikatnya kata Mohd. Isa, pemimpin-pemimpin Perkasa yang dahulunya adalah bekas pemimpin UMNO merupakan golongan yang pernah menerima nikmat daripada parti berkenaan.

"Kalau mereka kata tidak ada tidak apalah, cuma apa yang saya maksudkan ialah pemimpin-pemimpin Perkasa yang sebelum ini pernah menjadi pemimpin UMNO.

"Mereka ini pernah mendapat nikmat daripada UMNO sebelum ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar yang Perkasa tidak pernah menerima sebarang peruntukan khas bagi menunjukkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dibela oleh UMNO.

Abdul Rahman berkata, NGO yang mempunyai lebih 500,000 ahli di seluruh negara itu selama ini bergerak dengan bantuan pelbagai pihak termasuklah individu perseorangan.

Menurut Mohd. Isa, beliau mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai reaksi kepada soalan yang telah dikemukakan oleh seorang wartawan sama ada Perkasa mampu menggantikan UMNO dalam usaha membela nasib orang Melayu. - UTUSAN 
Chong Eng dicabar tampil selar Guan Eng

PULAU PINANG 29 Disember, 2013: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng dicabar untuk tampil mengutuk keceluparan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang menggelar Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Jahara Hamid sebagai 'nenek rasis' sekiranya beliau benar-benar memperjuangkan hak wanita.

Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Aminah Abdullah berkata, perkara itu penting bagi membuktikan kesungguhan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga, Komuniti da, AHAD,n Kesenian negeri itu dalam memartabatkan peranan wanita seperti yang digembar-gemburkan.

Aminah berkata, sehingga kini, tiada sebarang bantahan dibuat oleh Chong Eng berhubung kenyataan ketuanya itu yang secara jelas menjatuhkan martabat seorang wanita.

"Jika benar Chong Eng memperjuangkan wanita, mengapa dia tidak berani tampil menegur tindakan biadab ketuanya yang jelas menghina seorang wanita yang bangkit menyuarakan hak rakyat?.

"Di mana maruah Chong Eng sebagai wanita apabila langsung tidak bangkit mempertahankan Jahara dalam isu ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Chong Eng yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) menerusi artikel 'Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang sayangi wanita' yang disiarkan Buletin Mutiara edisi 16 - 31 Disember baru-baru ini.

Aminah dalam pada itu menambah, Chong Eng sepatutnya sedar bahawa pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak pernah menyelar mana-mana pemimpin wanita di negara ini dengan pelbagai gelaran yang tidak sepatutnya.

"Tindakan biadab Guan Eng ini amat keterlaluan dan beliau dilihat seolah-olah terlupa bahawa kemenangannya dalam pilihan raya banyak dibantu oleh wanita yang merupakan pengundi majoriti di negara ini.

"Jika benar Chong Eng mahu memartabatkan peranan wanita, dia harus tampil dan memberi respons terhadap 'celaan' yang dilakukan Guan Eng," katanya. - UTUSAN 
Ketua Dewan Ulama Pas anggap amat sukar gulingkan kerajaan sedia ada

KUALA TERENGGANU, AHAD, 29 Disember, 2013: Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berpendapat, kerajaan negara ini amat sukar untuk digulingkan mana-mana pihak apatah lagi proses rampasan kuasa itu berlaku secara kekerasan dan huru-hara.

Ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada dan juga akan datang merupakan pemerintah yang cukup teguh dengan kekuatan pasukan keselamatan yang sentiasa mantap dan cekap.

"Atas sebab itu saya masih berpendapat bahawa tidak mudah untuk gulingkan kerajaan (Malaysia) dan saya juga berpendapat lambat lagi nak berlaku macam itu (guling kerajaan).

"Malah saya juga tak fikir akan berlaku keadaan huru-hara pada himpunan itu nanti (Himpunan Guling Kerajaan)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai desakan pelbagai pihak yang kian memuncak membantah Himpunan Guling Kerajaan pada malam sambutan tahun baharu di Dataran Merdeka Selasa ini.

Semalam, polis mendedahkan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang sebagai dalang utama merancang mengadakan himpunan itu bagi menimbulkan huru-hara semasa sambutan ambang tahun baharu tersebut.

Harun tidak menolak kemungkinan berlaku kekecohan dan huru-hara pada malam sambutan itu nanti sekiranya pihak kerajaan sendiri melakukan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

"Kata nak guling kerajaan itu sebenarnya pihak kerajaan cakap saja, tapi kalau kerajaan bertindak luar biasa mungkin juga berlaku huru-hara," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa himpunan itu diadakan bukan bertujuan menimbulkan huru-hara dan untuk menggulingkan kerajaan seperti mana didakwa banyak pihak.

Sebaliknya kata Harun, perhimpunan ini sekadar untuk menyatakan rasa tidak puas hati rakyat terhadap dasar kerajaan terutama berkaitan isu kenaikan harga barang, cukai dan sebagainya sehingga membebankan mereka.

"Hanya mereka yang berani cakap saja yang akan bersuara dalam himpunan itu sedangkan kerajaan tak susah apa pun dengan kenaikan harga barang sebab mereka ada pendapatan tetap.

"Kalau Selangor lainlah sebab wakil-wakil rakyatnya naik gaji, tak apalah," katanya berseloroh. - UTUSAN 
Surat C For Chaos disiasat, polis panggil Rafizi

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Disember, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius penyebaran e-mel yang didakwa dihantar oleh seorang individu bernama Abdul Rahim Ghouse kepada Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, baru-baru ini.

Surat itu antara lain mengandungi rancangan letupan di beberapa kawasan sempena sambutan Tahun Baru pada 31 Disember ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, pihaknya telah memanggil Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati keamanan dan ketenteraman di negara ini di samping menyambut kedatangan tahun baharu," katanya dalam kenyataan di laman rasmi Facebook PDRM hari ini.

Dalam kenyataan itu juga, Hadi Ho memberitahu, sebanyak 1,151 laporan polis diterima dari seluruh negara terhadap bantahan penganjuran perhimpunan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam seperti yang disebarkan melalui media sosial sebelum ini.

Sementara itu, Rafizi ketika ditemui pemberita memberitahu, beliau tidak mempunyai kaitan atau terlibat dengan surat berkenaan.

"Saya tidak tahu kenapa saya dipanggil ke sini kerana saya tiada kena mengena dengan e-mel palsu itu.

"Sebelum polis memanggil saya, mereka seharusnya menyiasat dahulu kesahihan e-mel itu dengan memanggil blog-blog yang menyebarkan e-mel berkenaan," katanya selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.

Beliau dilihat hadir dan memasuki perkarangan IPD Dang Wangi sekitar pukul 11.35 pagi ini dengan ditemani peguam N. Surendran dan Latheefa Koya.

Akhbar semalam melaporkan mengenai penyebaran sepucuk surat yang didakwa dihantar oleh Abdul Rahim yang juga rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Rafizi berhubung rancangan mencetuskan huru-hara pada perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini.

Dalam surat yang bertajuk C For Chaos (C Untuk Huru-hara) itu, Abdul Rahim didakwa meminta Rafizi dan kepemimpinan pembangkang mengeksploitasi kebanjiran orang ramai menyambut malam ambang tahun baharu untuk 'bertindak seperti yang dirancang pada mesyuarat sebelum ini'.

Mengulas lanjut, Rafizi memberitahu, beliau akan membuat laporan polis berhubung penyebaran surat itu dan bersedia untuk mengheret sesiapa yang bertanggungjawab ke muka pengadilan bagi menghentikan dakwaan fitnah itu.

Terdahulu, Surendran berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap PDRM dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana mengaitkan Rafizi dengan tuduhan tidak berasas. - UTUSAN
Pemuda nyaris maut ditembak perompak

Oleh KAMARUDIN HAMZAH

 * NOR Hasmadi Mohd. Noor menunjukkan luka kecil di perutnya akibat terkena tembakan lelaki yang merompak sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Kampung Seberang Kastam, Kuala Besut, Terengganu, semalam.
BESUT, AHAD, 29 Disember, 2013: Seorang pemuda nyaris maut ditembak ketika cuba menghalang dua penjenayah melarikan sejumlah telefon bimbit dari sebuah kedai menjual alatan komunikasi di Kampung Seberang Kastam dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 petang itu, pemuda berkenaan, Nor Hasmadi Mohd. Noor, 29, bernasib baik apabila tembakan yang dilepaskan oleh suspek tersasar dan terkena sedikit di bahagian perutnya yang mengakibatkan luka kecil.

Difahamkan, sebelum kejadian Nor Hasmadi berada di kedai makan miliknya yang terletak berhampiran kedai alatan komunikasi itu.

Kemudian pemuda itu ternampak dua suspek yang memakai topi keledar merah sedang berlari keluar dari kedai telefon bimbit tersebut menuju ke arah motosikal jenis Honda EX-5 yang diletakkan di luar dalam keadaan mencurigakan.

Norhasmadi bertindak berani dan terus meluru ke arah kedua suspek untuk mengetahui apa yang berlaku. Tetapi salah seorang suspek terus mengacukan pistol ke arahnya dan melepaskan satu das tembakan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd Zakaria yang mengesahkan kejadian dan memberitahu, ketika kejadian terdapat tiga pekerja di dalam kedai.

Beliau berkata, suspek yang bersenjatakan pistol telah mengarahkan pekerja untuk memasukkan telefon bimbit yang dipamerkan ke dalam beg plastik sebelum melarikan diri.

"Berdasarkan siasatan, suspek yang mengacukan pistol berbadan kecil, kurus, berkulit gelap dan ketinggian dianggarkan 165 sentimeter selain memakai cermin mata hitam.

"Seorang lagi suspek memakai baju T hitam dan berseluar jeans warna biru, kurus, berkulit gelap dan ketinggian dianggarkan 178 sentimeter berperanan memasukkan telefon bimbit ke dalam plastik beg," katanya

Tambah Kamarudin, tempat kejadian merupakan bangunan rumah kedai satu tingkat dan terdapat kamera litar tertutup. Jumlah kerugian yang dialami pemilik kedai telefon sedang disiasat. - UTUSAN 
Prestasi terus cemerlang

Oleh FADZIL ZAINOL

 
KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Disember, 2013: Pengumuman mengenai status beberapa projek mega pada 2014 nanti dilihat menjadi kunci penting yang bakal meneruskan trend peningkatan prestasi Bursa Malaysia yang bermula sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Mei lalu.

Kerajaan dijangka memuktamadkan status beberapa projek mega seperti Transit Aliran Massa Lembah Klang Kedua (KVMRT 2) antara Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, projek Kereta api Laju Kuala Lumpur-Singapura serta projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) milik Petronas di Pengerang, Johor.

Menurut nota penyelidikan JF Apex, jangkaan aktiviti penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) beberapa syarikat berprofil tinggi pada tahun depan juga menjadi faktor penting yang akan merancakkan Bursa Malaysia.

Antara syarikat yang dijangka disenaraikan ialah IOI Properties, Iskandar Waterfront Holdings, Medini Iskandar, Malakoff, Icon Offshore, aset tenaga 1MDB serta menara telekomunikasi Axiata.

Jelas nota itu lagi, perkembangan tersebut dikatakan mampu menambah sedikit perisa kepada Bursa Malaysia yang setakat ini, telah mencatatkan prestasi terbaik dalam sejarahnya sehingga mengatasi bursa-bursa utama lain di peringkat serantau.

"Kestabilan politik selepas berakhirnya PRU-13, berjaya menggalakkan aktiviti dalam sektor hartanah dan pembinaan dan juga minyak dan gas.

"Pengenalan projek-projek baharu atau pelaksanaan aktiviti dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) pasti akan terus menawarkan prospek positif ke atas saham tempatan," jelas nota itu.

Sehingga Jumaat lalu, KLCI Bursa Malaysia menutup sesi dagangannya pada paras tertinggi dengan 1,861.06 mata, iaitu kenaikan hampir 200 mata daripada 1674.72 mata yang dicatatkan pada 2 Januari 2013 lalu.

Momentum Bursa Malaysia berjaya dicipta pada 6 Mei lalu dengan lonjakan dagangan 57.25 mata selepas Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan penguasaan di Parlimen.

Prestasi yang kukuh itu meletakkan KLCI mengatasi Bursa Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan, Indonesia, Singapura dan China.

Bursa itu hanya berada di belakang Jepun dan Amerika Syarikat (AS), itu pun selepas kerajaan dua negara tersebut memperkenalkan pelbagai dasar untuk menaikkan keyakinan pelabur ke atas pasaran masing-masing.

Jelas nota penyelidikan itu lagi, dengan berakhirnya spekulasi berhubung pengurangan perbelanjaan kerajaan AS awal bulan ini, pasaran kembali stabil dan berjaya menutup spekulasi berterusan yang boleh menjejaskan saham tempatan. - UTUSAN 
GST: Perniaga tunggu dan lihat

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Disember, 2013: Ramai kalangan perniagaan di Malaysia mengambil sikap 'tunggu dan lihat' dalam persiapan mereka menghadapi pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Pengarah Eksekutif bagi Percukaian Crowe Horwath Malaysia, Fennie Lim berkata, sektor perniagaan perlu mengetahui kedudukan mereka memandangkan GST bukan semata-mata isu percukaian dan kewangan.

"Ini memberi kesan kepada semua bahagian operasi perniagaan, bermula daripada sistem teknologi maklumat, perolehan, jualan dan pemasaran, jabatan penetapan harga, hubungan dengan pembekal, hubungan dengan pelanggan, sehinggalah kepada aliran tunai.

"Kesemua mereka mesti mengetahui mengenai GST dan kesannya ke atas peniagaan mereka dalam tempoh peralihan ini," katanya di sini.

Crowe Horwath Malaysia ialah firma perakaunan kelima terbesar di negara ini dan merupakan ahli Crowe Horwath International, rangkaian 10 firma perakaunan global terkemuka dunia.

"Enam belas bulan dari sekarang bukan merupakan tempoh yang panjang untuk membuat persediaan perlu. Sekarang adalah masa yang sangat baik untuk memulakan perancangan," kata Lim.

Beliau mencadangkan semua jabatan dalam syarikat supaya membuat senarai semak dan menilai tahap pengetahuan mereka tentang GST dan bagaimana ia akan memberi kesan terhadap harga masing-masing.

"Mereka kemudiannya boleh membuat semakan menggunakan sistem perakaunan untuk menentukan sama ada semua maklumat dirakam.

"Memang senang untuk membuat silap jika mereka semata-mata bergantung kepada tenaga manusia," katanya.

Sementara itu, Eksekutif GST Crowe Horwath Australia, Chan Wai Choong berkata, perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh sektor perniagaan dalam melaksanakan GST ialah membuat perancangan awal dan menggunakan kaedah berstruktur.

"Senaraikan aktiviti yang perlu dilakukan, secepat yang boleh. Dari situ anda boleh melaksanakan rancangan itu dan bersedia untuk percubaan. Ada pepatah mengatakan jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal," kata Wai Choong.

Crowe Horwath Malaysia kini membantu kebanyakan pelanggan untuk melakukan kajian pelaksanaan awal GST bagi menentukan kesan GST ke atas aliran tunai dan harga mereka.

"Kami melakukan analisis transaksi, dan dari sini kami akan dapat melihat kedudukan dan sejauh mana mereka sudah bersedia melaksanakan GST.

"Kami juga akan mengkaji perkara yang mereka perlu masukan, jenis sistem dan banyak penambahbaikan perlu untuk memastikan mereka bersedia.

Ini akan menjadi asas yang baik jika mereka mahu membuat sebarang pelarasan harga, kata Lim.

Beliau berkata banyak pelanggan dan bukan pelanggan telah mengikuti sesi taklimat, latihan dan seminar.

"Kami menerima banyak pertanyaan, mereka berminat untuk mengetahui lebih lanjut. Kebanyakan perniagaan bersikap positif selepas memahami GST memandangkan mereka boleh menuntut cukai input," kata Lim. - BERNAMA 
18 maut letupan pengganas

* SEDUTAN rakaman kamera litar tertutup (CCTV), menunjukkan api menjulang tinggi di bahagian dalam sebuah stesen kereta api dipercayai akibat letupan berani mati di Volgograd, Caucacus Utara, Rusia, semalam. - REUTERS
MOSCOW 29 Dis. - Sekurang-kurangnya 18 orang terkorban dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila seorang penyerang berani mati wanita meletupkan dirinya di sebuah stesen kereta api di bandar Volgograd, Caucacus Utara, Rusia, hari ini.

Pegawai tempatan berkata, penyerang tersebut memasang suis berhampiran pengesan logam di laluan masuk stesen utama kereta api itu ketika ia sesak dengan pengunjung.

Rakaman televisyen tempatan menunjukkan serpihan kaca tingkap bertaburan di bangunan dua tingkat tersebut dan beberapa buah ambulans dikerah ke pintu masuk stesen berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, letupan itu dilakukan oleh pengebom berani mati wanita," jelas Jawatankuasa Antikeganasan Kebangsaan dalam satu kenyataan.

Jurucakap Jawatankuasa Penyiasat Rusia, Vladimir Markin berkata, letupan itu disiasat sebagai satu 'perlakuan keganasan'.

Sementara itu, jurucakap kerajaan tempatan memberitahu agensi berita RIA Novosti, lebih 40 orang turut cedera dalam serangan tersebut.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Kesihatan Persekutuan pula memberitahu agensi berita tempatan, jumlah mangsa yang cedera meningkat melebihi 50 orang.

Bandar Volgograd yang juga dikenali sebagai Stalingrad ketika era Soviet, pernah diserang oleh seorang pengebom berani mati pada Oktober lalu.

Serangan pada 21 Oktober lalu mengorbankan enam orang penumpang sebuah bas yang padat, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung soal keselamatan menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk yang bermula pada 4 Februari sehingga 23 Februari depan di Sochi. - AFP/UTUSAN 
25 maut serangan baharu di Aleppo

 * SEORANG  kanak-kanak diselamatkan daripada runtuhan sebuah bangunan yang berpunca daripada bedilan tentera kerajaan di kawasan perumahan Maysar, Aleppo, Syria, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT, AHAD, 29 Disember, 2013: Tentera Syria melancarkan dua serangan udara ke atas sebuah pasar dan hospital di utara bandar Aleppo semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang termasuk kanak-kanak.

Sepanjang dua minggu lalu, jet pejuang dan helikopter tentera memperhebatkan serangan di kawasan dikuasai penentang kerajaan itu dengan kumpulan aktivis menganggarkan, sebanyak 517 orang telah terbunuh sejak kempen tersebut bermula 15 Disember lalu.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria dalam kenyataannya menjelaskan, mereka yang terbunuh termasuk dua wanita, empat kanak-kanak, seorang remaja dan seorang aktivis media.

"Jumlah itu dijangka terus meningkat kerana beberapa orang lagi yang cedera berada dalam keadaan kritikal,'' kata kumpulan tersebut yang beribu pejabat di Britain.

Seorang aktivis dari Pusat Media Aleppo, Hassoun Abu Faisal berkata, serangan udara itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan di pasar yang penuh sesak di kawasan perumahan Tariq al-Bab.

"Banyak kereta musnah, serpihan dan runtuhan bangunan terdapat di mana-mana.

"Kebanyakan yang cedera kehilangan anggota badan mereka,'' katanya menerusi laman sosial Skype. - AFP/AGENSI/UTUSAN 

Sunday 29 December 2013

Individu rosakkan kenderaan polis diminta serah diri

KUANTAN, AHAD, 29 Disember, 2013: Pihak polis meminta individu yang merosakkan kenderaan polis di Teluk Cempedak di sini pada Selasa lepas agar menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, gambar mereka yang sedang melakukan jenayah itu telah tersiar dalam beberapa akhbar.

"Kesemua individu terbabit dinasihatkan supaya menyerah diri secara sukarela di IPD Kuantan sebelum pihak polis bertindak mengesan mereka," katanya.

Sekumpulan remaja yang dipercayai berkumpul untuk meraikan sambutan malam Krismas telah bertindak liar dengan melakukan khianat ke atas kenderaan awam termasuk sebuah kereta peronda polis yang berada di Pantai Teluk Cempedak.

Tiga daripada mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Jumaat lepas. - BERNAMA 
Kawalan di sempadan tetap terkawal - Panglima Dua Divisyen

PASIR MAS, AHAD, 29 Disember, 2013: Keadaan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand adalah terkawal walaupun berlaku beberapa kejadian termasuk letupan bom di selatan Thailand baru-baru ini.

Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Shukuri Ahmad berkata, anggota pasukan keselamatan Malaysia tetap bersiap sedia menangani keadaan.

Beliau hari ini melawat kawasan sempadan di Jeram Perdah, Rantau Panjang di sini.

Turut hadir ialah Panglima Briged Kelapan Infantri, Brig Jen Datuk Mohd Zaki Hamzah dan Panglima Briged Sempadan, Brig Jen Hasagaya Abdullah.

Mohd Shukuri juga berkata, sejak berlaku siri letupan bom di Danok pada 22 Dis lalu, jumlah rakyat Malaysia yang mengunjungi selatan Thailand dilaporkan semakin berkurangan. - BERNAMA 
Peniaga cedera ditembak perompak di Kuala Besut

BESUT, AHAD, 29 Disember, 2013: Seorang peniaga nyaris maut akibat ditembak dua lelaki yang merompak sebuah kedai menjual telefon bimbit di Kampung Seberang Kastam, Kuala Besut semalam.

Mangsa hanya luka di perut dan keadaannya dilapor tidak membimbangkan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Kamaruddin Mohd Zakaria berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 2.55 petang apabila suspek yang menaiki motosikal menyerbu premis tersebut.

Katanya, mereka mengacukan pistol ke arah tiga pembantu kedai dan mengarahkan ketiga-tiga wanita berkenaan memasukkan telefon yang dipamer di premis itu ke dalam beg plastik yang dibawa para perompak. - BERNAMA 
3 pemuda maut, 2 parah nahas di Kuala Nerang

PADANG TERAP, AHAD, 29 Disember, 2013: Tiga pemuda maut manakala dua lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga motorsikal dan sebuah lori di Kilometer 8, Jalan Kuala Nerang-Jitra dekat Kampung Padang Balai, di sini malam tadi.

Dalam kemalangan pada pukul 9.10 malam itu, Muhammad Syahid Salim, 22, dan Mohd. Akbar Sanusi, 18, dari Kampung Nai Teh serta Muhamad Amirul Akbar Jaafar, 20, dari Kampung Paya Terap Perik maut di tempat kejadian.

Dua lagi rakan mereka iaitu Mohd. Fikri Abdul Rahman, 16, dan Mohd. Fahmi Razi, 21, yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang (HKN) untuk rawatan lanjut.

Kejadian tersebut berlaku semasa kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dari pasar malam di Bukit Nyamuk. - UTUSAN 
Petronas tidak abaikan syarikat bumiputera - MOGSC

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Disember, 2013: Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) menyifatkan dakwaan syarikat-syarikat bumiputera telah diabaikan atau diketepikan oleh Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) adalah tidak berasas sama sekali.

Majlis itu menyifatkan dakwaan seumpama itu sebagai provokasi semata-mata daripada mereka yang tidak faham bagaimana industri itu dilaksanakan.

Presiden MOGSC, Sofiyan Yahya berkata, persepsi itu juga amat menjengkelkan kerana ia seolah-olah menafikan penyertaan bumiputera dalam industri penyumbang terbesar kepada pendapatan Malaysia itu.

Beliau berkata Petronas telah menyatakan dengan jelas syarat yang syarikat perlu memenuhi pegangan kepentingan bumiputera tertentu sebelum sebarang lesen diluluskan.

Jelas beliau, pemegang kepentingan itu pelbagai dalam setiap bidang kerja, dengan minimum 30 peratus penyertaan bumiputera sehinggalah ke 100 peratus.

"Komuniti Bumiputera mempunyai penyertaan sihat dalam industri minyak dan gas (O&G) dan ramai dalam kalangan kami turut serta. Sehubungan itu, adalah tidak wajar untuk memperkecilkan sumbangan bumiputera dalam sektor ini. Tiada industri O&G Malaysia tanpa peserta bumiputera," katanya. - BERNAMA 
Penjawat awam jadi mangsa banjir boleh buat tuntutan insurans-PM

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Disember, 2013: Penjawat awam yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan dan merupakan mangsa banjir baru-baru ini, boleh membuat tuntutan insurans, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Penjawat awam yang menjadi mangsa banjir boleh hubungi @MOFmalaysia untuk mendapatkan maklumat tentang tuntutan insurans," kata Perdana Menteri.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam akaun Twitternya hari ini bagi mengulas pautan twitter Bernama bertajuk ’Banjir: Penjawat Awam Digesa Kemuka Tuntutan Insurans Bencana Alam’. - BERNAMA 
Polis pandang serius e-mel rancangan letupan tahun baharu

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Disember, 2013: Polis memandang serius penyebaran e-mel yang didakwa dihantar oleh rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Rahim Ghouse, kepada Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli berhubung rancangan letupan di beberapa kawasan strategik sempena sambutan tahun baharu Selasa ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah berkata Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan, telah dipanggil bagi membantu siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati keamanan dan ketenteraman di negara ini di samping menyambut kedatangan tahun baharu," katanya dalam laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia.

Beliau berkata, sehingga hari ini sejumlah 1,151 laporan polis diterima dari seluruh negara terhadap bantahan penganjuran perhimpunan memudaratkan ketenteraman awam yang disebarkan melalui media sosial sebelum ini.

Sementara itu, Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Abdul Rahim menafikan yang beliau menulis surat tersebut dan percaya ada orang lain telah menggunakan namanya. - BERNAMA 
1,400 mayat mangsa Taufan Haiyan masih belum ditanam

TACLOBAN, Filipina, AHAD, 29 Disember, 2013: Lebih daripada seribu mayat mangsa kejadian Taufan Haiyan masih lagi tidak ditanam sehingga semalam, selepas tujuh minggu kejadian yang disifatkan sebagai `ribut paling dasyat’ pernah melanda negara ini berlaku.

Kira-kira 1,400 mayat yang dibungkus dengan plastik terbaring di atas padang berlumpur sambil dihinggapi lalat di San Isidro, perkampungan pertanian yang terletak di pinggir bandar Tacloban.

"Bau busuk yang terhasil daripada mayat tersebut menganggu kehidupan, sehingga memaksa kami menggunakan topeng muka ketika mahu tidur,’’ kata seorang penduduk tempatan, Maritess Pedrosa.

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan melaporkan, angka korban Taufan Haiyan setakat ini berjumlah 6,111 orang dengan 1,779 orang lagi masih hilang. - AFP/UTUSAN 
Tokoh veteran UMNO meninggal dunia

MELAKA, AHAD, 29 Disember, 2013: Tokoh veteran UMNO dan pejuang kemerdekaan, Datuk Borhan Mat Yaman, 85, meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur kira-kira pukul 7.30 pagi ini.

Jenazah dibawa pulang ke kediaman Allahyarham di Klebang Kechil dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klebang selepas waktu zuhur. - UTUSAN ONLINE
Tokong, jirat tempat pembiakan aedes

Oleh Zulhisham Isahak

MUAR, SABTU, 28 Disember, 2013: Bekas kecil yang diletakkan di tokong serta jirat Cina adalah antara tempat pembiakan utama nyamuk aedes yang menyumbang kepada bertambahnya bilangan pesakit itu di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, air bertakung di kawasan yang tidak didiami menyebabkan nyamuk aedes cepat membiak, dibantu oleh faktor cuaca di negara ini.

"Di tokong dan tanah perkuburan Cina pada kebiasaannya ada bekas kecil ditinggalkan untuk upacara keagamaan, terbiar serta air bertakung di dalamnya tidak dibuang. Ini merupakan salah satu punca utama nyamuk cepat membiak.

"Selain dua tempat itu, rumah tidak didiami tetapi mempunyai tangki air turut menjadi lokasi utama pembiakan nyamuk aedes," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ketua- ketua Kampung Peringkat Daerah Muar 2013 di Bangunan UMNO Bahagian Muar, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 41,226 kes denggi dilaporkan di seluruh negara sehingga 21 Disember lalu iaitu peningkatan 19,782 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Terdapat 12 negeri dikenal pasti menunjukkan peningkatan kes denggi berbanding tahun sebelumnya manakala sebanyak 88 kematian dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 151 peratus berbanding 35 kematian pada tahun lalu dalam tempoh sama.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, bagi daerah itu, satu kes demam denggi dicatatkan di Bukit Pasir dipercayai akibat nyamuk membiak di tokong dan tanah perkuburan Cina.

Justeru, beliau meminta Jabatan Kesihatan memberikan tumpuan kepada operasi untuk menghapuskan nyamuk di kawasan berkenaan, selain kawasan biasa di sekitar rumah. - UTUSAN 
Gerakkan semangat kepenggunaan

Oleh SOFIAN BAHAROM
 
* NADZRIM Johan dan Radziah Hussein pada taklimat PPIM di Agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SABTU, 28 Disember, 2013: Rakyat negara ini diseru untuk menggerakkan semangat kepenggunaan bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

Semangat itu, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, lebih bermakna daripada terlibat dengan perhimpunan haram yang membawa kehancuran kepada negara.

Katanya, permuafakatan semangat antara rakyat dan persatuan pengguna sebagai sebuah entiti kuasa yang kuat dalam mencorak harga pasaran penting bagi menjamin untuk tidak menerima kesan daripada peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, kaedah tersebut sekali gus membendung sebarang kenaikan harga melampau, penindasan terhadap hak pengguna serta kebarangkalian muflis.

"Saya juga berharap rakyat melihat perkara ini (peningkatan kos hidup) sebagai satu cabaran kepada diri untuk mencari alternatif lain dalam menjana pendapatan sampingan. Inilah seruan bagi kita untuk bekerja dengan lebih keras dan jangan membantah semata-mata.

"Takkan kita hendak membantah kenaikan harga tol selama-lamanya? Takkan kita hendak bergantung dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sahaja? Kita perlu keluar dari kepompong keselesaan dan 'gigit peluru yang mendatang'.

"Kita perlu produktif dan tidak boleh duduk sahaja mengharapkan jasa baik pihak lain, jangan pula pada satu tahap terpaksa bergantung kepada ah long atau peraduan gores dan menang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Penerangan Isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Subsidi, Muflis dan Ah Long di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung PPIM, Sheikh Abd. Kareem S. Khadaied dan bekas individu yang muflis RM84 juta, Radziah Hussein.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, persatuan-persatuan pengguna sebagai platform memperjuangkan hak kepenggunaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak terutama ketika wujud kecenderungan oleh para peniaga untuk mengeksploitasi harga barang.

Jelas beliau, solidariti rakyat di bawah payung persatuan pengguna adalah satu kaedah penyelesaian berkesan yang membawa kepada kesedaran dalam memberi tekanan kepada peniaga untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga.

Dalam masa sama, kata beliau, pihak kerajaan perlu meningkatkan keberkesanan tadbir urus negara terutama dengan mengurangkan kos berbanding menaikkan harga barang dalam usaha merasionalisasikan subsidi seperti dinasihati bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"PPIM turut meminta kerajaan meningkatkan gaji pasukan keselamatan terutama polis, askar dan imigresen yang kita lihat mendapat sekitar RM1,200 hingga RM1,300 sahaja. Pemberian ini dilihat dapat meningkatkan moral mereka untuk berkhidmat," katanya. - UTUSAN 
Tiga kematian tiada kaitan Lynas

 * MASHAL Ahmad (kanan) dan isteri, Datin Siti Mariam Ramli beramah mesra dengan murid yang bakal menduduki tahun satu dalam majlis penyampaian pakaian seragam sekolah di Kuantan, Pahang, semalam. - BERNAMA
KUANTAN, SABTU, 28 Disember, 2013: Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) menafikan tiga kematian yang berlaku di kilang berkenaan dalam tempoh enam bulan lepas mempunyai kaitan dengan operasi yang dijalankan oleh kilang nadir bumi itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Mashal Ahmad berkata, sebaliknya dua daripada insiden kematian itu berpunca faktor kesihatan manakala satu lagi akibat kemalangan jalan raya.

Katanya, insiden pertama pada Julai lepas melibatkan seorang bakal pekerja yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika proses temu duga.

Pada November lalu, katanya, seorang kakitangan kilang itu maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Seorang jurutera kita yang meninggal dunia awal bulan ini pula disahkan mengalami serangan jantung secara tiba-tiba sebelum terjatuh ke dalam kolam takungan. Ketika kejadian, mangsa sedang melakukan rutin harian mengambil sampel air untuk ujian sebelum tidak sedarkan diri akibat serangan jantung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian pakaian seragam sekolah di pekarangan kilang Lynas, di sini hari ini.

Pada majlis itu, 200 pelajar sekitar kawasan Balok menerima pakaian seragam, beg dan peralatan sekolah sumbangan Lynas di bawah program tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.

Mashal dalam pada itu berkata, Lynas tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, termasuk tindakan mahkamah terhadap mana-mana pihak yang terus menabur fitnah ke atas kilang berkenaan.

"Sikap mereka ini menyukarkan kami dan tindakan kumpulan ini menyebarkan pelbagai fitnah secara berterusan jelas membuktikan mereka berniat jahat.

"Berilah peluang kepada Lynas menumpukan perhatian kepada operasi daripada melayan tohmahan tidak berasas ini," katanya.

Mashal berkata, dakwaan pihak tertentu berhubung kejadian banjir di loji kilang berkenaan awal bulan lalu tidak benar dan tidak masuk akal.

Katanya, tapak kilang itu dibina selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk ancaman banjir dan bencana alam lain.

"Kilang ini dibina selepas kita melakukan kajian berdasarkan paras air (banjir) paling buruk sejak 100 tahun lalu. Selepas mendapat data itu, barulah kita bina tapak kilang dan loji memproses nadir bumi.

"Selain itu, kilang ini juga terletak kira-kira sembilan meter dari punca mata air, sekali gus kami boleh memberi jaminan bahawa ancaman banjir tidak akan memberi kesan kepada operasi kilang ini," katanya. - BERNAMA 
Amaran pelajar terlibat perhimpunan

 * AHLI Pergerakan Puteri UMNO Hulu Terengganu membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan guling kerajaan di IPD Hulu Terengganu, semalam.
KUALA LUMPUR, SABTU, 28 Disember, 2013: Beberapa universiti awam tempatan memberi amaran kepada para pelajarnya agar tidak terlibat dalam sebarang perhimpunan haram yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini.

Pihak pengurusan universiti terbabit ketika dihubungi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajarnya yang berdegil.

Malah menurut Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menyingkirkan pelajar universiti itu jika terlibat dalam perhimpunan haram tersebut.

Tindakan itu perlu kerana jelasnya, universiti merupakan tempat untuk golongan terpelajar yang menghormati Perlembagaan dan undang-undang negara, bukannya bagi mereka yang cetek akal dan mencabar Perlembagaan.

"Mengapa perhimpunan ini harus diadakan? Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang memberi peluang kepada rakyat kebebasan untuk bersuara. Tapi bukan dengan cara mengadakan perhimpunan haram.

"Perhimpunan ini akan memberi kesan kepada keamanan negara, justeru, rakyat harus berfikir sedalam-dalamnya sama ada untuk merelakan perkara ini ataupun mahu melihat keharmonian dikecapi negara selama ini tergugat," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menahan beberapa lagi individu didapati terlibat menjadi dalang Himpunan Guling Kerajaan yang bakal diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Zakaria Kasa turut memberitahu, tindakan dibuang dari universiti berkenaan akan diambil terhadap pelajar yang menyertai perhimpunan tersebut.

Walau bagaimanapun menurutnya, siasatan menyeluruh akan dijalankan terlebih dahulu sebelum pelajar terbabit dibicarakan bagi membuktikan kesahihan penglibatan mereka.

"Kita akan jalankan siasatan secara terperinci mengenai penglibatan pelajar UPSI dalam perhimpunan itu. Jika mereka didapati bersalah dengan membahayakan orang awam dan negara dalam perhimpunan itu, pihak pentadbiran UPSI akan menyingkirkan mereka dari universiti.

"Penglibatan mereka akan menyebabkan imej universiti tercalar," jelasnya.

Bagi Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pelajar yang terlibat dalam perhimpunan itu dengan mengikuti prosedur-prosedur tatatertib universiti.

"Perhimpunan ini akan mengundang bahaya kepada orang awam. Jika terdapat bukti kukuh pelajar kami terlibat dengan perhimpunan haram ini, tindakan akan diambil terhadap mereka mengikuti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 Kaedah-Kaedah Universiti Kebangsaan Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999," jelasnya. - UTUSAN 
Jejak dalang - NGO

 Irmohizam Ibrahim, Jais Abdul Karim
KUALA LUMPUR, SABTU, 28 Disember, 2013: Perhimpunan haram menggulingkan kerajaan yang dirancang pihak tertentu pada 31 Disember ini terus mendapat tentangan hebat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu kerajaan menjejaki dan bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat.

Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, tindakan yang disifatkan tidak bertamadun itu juga dilihat sebagai satu cubaan untuk merosakkan nama baik Malaysia.

“Ini kerana ketika 2014 diisytiharkan Tahun Melawat Malaysia, wujud pula anasir-anasir yang mahu merosakkan imej Malaysia serta menjatuhkan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rancangan perhimpunan haram di ambang tahun baharu itu sebelum ini mendapat bantahan ramai dengan lebih 600 laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak termasuk NGO di seluruh negara.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor dalam pada itu turut menasihati rakyat terutama golongan muda di Selangor agar tidak terpedaya dan diperkudakan oleh hasutan pihak-pihak tertentu untuk terbabit dalam perhimpunan itu.

“Kita harus yakin kepada pucuk pimpinan kerajaan yang kini dalam usaha meringankan beban kehidupan rakyat. Kita juga perlu menghormati sistem demokrasi dan sifat negara Malaysia," katanya.

Menurut beliau, MBS menyokong segala tindakan dan usaha kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menghalang sebarang perhimpunan haram yang boleh mengganggu ketenteraman awam pada tarikh itu.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Gabungan Melayu Islam Malaysia, Razak Dahaman turut menggesa kerajaan agar bertindak tegas mencari serta mendakwa dalang yang merancang dan menghasut rakyat untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tetapi bakal memberi kesan buruk kepada masa depan negara.

“Provokasi dan tindakan radikal seperti ini adalah satu pengkhianatan kepada negara dan mereka yang terlibat wajar dihukum dengan setimpal.

“Kami NGO yang mewakili rakyat amat berharap kerajaan segera tegas untuk membasmi ancaman terhadap keselamatan dan ketenteraman negara," katanya.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim yang turut senada dengan desakan itu berpendirian bahawa golongan belia terutama mahasiswa tidak perlu terlibat dalam perhimpunan itu.

Katanya, perhimpunan itu jelas hanya mengeksploitasi orang muda selain menjejaskan fokus utama mahasiswa terhadap pengajian.

“Pihak yang tidak berpuas hati ini harus menggunakan pendekatan lebih bijak dan rasional dalam menangani isu-isu yang mendatang termasuk kenaikan harga bukan dengan menghasut rakyat agar menentang kerajaan.

“GPMS sendiri sedang berusaha melakukan perbincangan dengan pihak tertentu bagi menangani masalah kenaikan kos sara hidup ini. Banyak medium yang telah disediakan oleh kerajaan sekarang ini," katanya. - UTUSAN 
Yayasan Sultan Azlan Shah sumbang RM1.6 juta

 * SuULTAN Perak Sultan Azlan Shah (dua, kanan) berkenan menyampaikan sumbangan cek bernilai RM1 juta kepada Institut Jantung Negara (IJN) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan IJN, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari (kiri) di Kuala Lumpur, semalam. Turut berangkat menyaksikan, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun (kanan) dan disaksikan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah (dua, kiri). - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SABTU, 28 Disember, 2013: Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) berjumlah RM1.6 juta kepada Institut Jantung Negara (IJN) dan dua badan bukan kerajaan bagi membiayai aktiviti badan berkenaan.

Baginda menyampaikan sumbangan masing-masing sebanyak RM1 juta kepada IJN, RM500,000 kepada Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun (PKKTB) dan RM100,000 kepada Persatuan Diabetis Malaysia.

Turut berangkat pada majlis yang berlangsung di IJN, di sini ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Pemangku Raja Perak Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Tuanku Zara Salim.

Sumbangan kepada IJN, yang merupakan tanda bangga baginda terhadap pencapaian serta usaha yang dijalankan institut perubatan itu dalam menyediakan rawatan kardiovaskular dan torasik kepada pesakit jantung, diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari.

Sumbangan YSAS itu bertujuan menyokong usaha berterusan IJN dalam meningkatkan standard perubatan dengan melibatkan pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan, skim latihan sokongan dan kerjasama dengan pertubuhan perubatan antarabangsa.

Sultan Azlan Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan untuk PKKTB kepada anakanda baginda, Raja Datuk Seri Azureen, yang merupakan pengerusi pusat itu.

PKKTB yang dinaungi Tuanku Bainun merupakan pusat yang dibangunkan bagi membolehkan kanak-kanak mendapat pendidikan amali melalui pengalaman langsung daripada pelbagai aktiviti yang disediakan secara percuma, khusus bagi kanak-kanak lingkungan umur enam hingga 16 tahun, termasuk kanak-kanak kurang upaya.

Sumbangan untuk Persatuan Diabetes pula diterima presidennya, Profesor Datuk Dr. Ikram Shah Ismail. - BERNAMA 
MRA bantu persiapan sekolah, golongan OKU

KUALA LUMPUR, SABTU, 28 Disember, 2013: Malaysian Relief Agency (MRA) meneruskan misi bantuannya kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan pelajar sekolah di Kuantan, Pahang.

Pengarah Eksekutif MRA, Mohd. Shahrulzilan Said berkata, pihaknya melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah penduduk OKU di Kuantan pada hari ini dan esok.

"Di sini sudah banyak bantuan yang dihulurkan oleh organisasi lain dan buat masa ini kita memberi fokus bantuan kepada penduduk OKU.

"Kita memberikan bantuan kepada mereka untuk menjana pendapatan dan mencari rezeki selepas berlakunya musibah banjir ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Shahrulzilan berkata, pihaknya juga akan membantu pelajar sekolah membuat persiapan bagi menghadapi sesi persekolahan yang akan bermula 2 Januari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kutipan Tabung Bencana Banjir MRA-Utusan kini sudah mencecah RM674,132.22.

"Kutipan tabung masih diteruskan dan orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 5640-9820-6365 atas nama Malaysian Relief Agency," jelasnya. - UTUSAN 
Skuad Muda 1JPJ mula tugas awal 2014

KUALA LUMPUR, SABTU, 28 Disember, 2013: Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ) yang dianggotai sukarelawan bagi membantu petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya, bakal melaksanakan tugasan pertama mereka awal tahun depan, kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad.

"SM1JPJ akan mencatat kelajuan serta mengambil gambar menggunakan kamera bertelefon.

"Laporan akan terus ke pusat kawalan atau mereka akan melaporkan kepada anggota penguat kuasa JPJ yang turut bersama sepanjang operasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran SM1JPJ peringkat Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Beliau berkata, penyertaan SM1JPJ akan membabitkan pelbagai kaum kerana semua bangsa memperjuang isu kemalangan.

Seramai 22,000 sukarelawan mendaftar untuk menjadi menganggotai SM1JPJ sejak ia diperkenal Ogos lepas.

Wilayah Persekutuan merupakan negeri ketujuh yang melancarkan SM1JPJ selepas Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

Pelancaran di Perak akan berlangsung esok, Selangor (11 Januari) dan Pulau Pinang (22 Januari). - BERNAMA 
3,000 SRS mampu bendung jenayah

PASIR PUTEH, SABTU, 28 Disember, 2013: Penubuhan 3,961 unit Ski Rondaan Sukarela (SRS) terutama di kawasan perumahan di seluruh negara, berupaya membendung kegiatan jenayah seperti peras ugut dan pecah rumah, kata Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.

“Mereka berkorban mengawal kawasan perumahan masing-masing sehingga larut malam menyebabkan penjenayah tiada peluang melakukan kegiatan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program perhimpunan pemuafakatan SRS/Polis di Selising hari ini.

Lebih 300 anggota SRS menyertai program itu, yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Selising Zulkifli Ali.

Azman berkata, mengikut bancian, 93 peratus kawasan yang mewujudkan skim itu terselamat daripada ancaman penjenayah termasuk pengedaran dadah dalam kalangan belia.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha mengurangkan lagi gejala itu sehingga ke angka ’sifar’ menjelang tahun 2020 dengan kerjasama lebih erat antara anggota SRS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi tujuan itu, katanya, beberapa aspek kemudahan asas terutama peralatan komunikasi dan pejabat akan ditambah nilai agar anggota SRS dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Azman juga berkata, pihaknya bercadang membelanjakan peruntukan RM10 juta bagi membina pusat kawalan SRS dan pejabat Kawasan Rukun Tetangga di seluruh negara pada tahun depan untuk memberi keselesaan kepada anggota melakukan aktiviti di kawasan masing-masing. - BERNAMA