Wednesday, 5 February 2014

Permintaan kereta import dijangka naik 45 peratus

KUALA LUMPUR, SELASA, 04 Februari, 2014: Penjual kereta import baharu dan terpakai, IBM Automobiles Sdn. Bhd. (IBM Automobiles) mengunjurkan permintaan kereta import tumbuh sehingga 45 peratus berikutan pemulihan ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, IBM Automobiles optimis untuk menjual sehingga 500 buah kereta pada tahun ini berikutan peningkatan trend pembelian kereta mewah sejak suku kedua 2013.

Bagaimanapun katanya, sasaran jualan itu bergantung kepada kajian mendalam yang sedang dilakukan oleh kerajaan terhadap Permit Import (AP) bagi menilai impak penamatan penyertaan bumiputera dalam industri automotif.

"Syarikat berharap AP boleh diteruskan dan ditambah baik agar berupaya meningkatkan prestasi ekonomi negara serta memberi impak positif kepada rakyat.

"Ini kerana AP bukan sahaja bermanfaat kepada 98 syarikat Melayu dan bumiputera dalam industri berkenaan malah 8,000 pekerja terlibat turut merasainya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

IBM Automobiles yang meletakkan penanda aras untuk menjual sebuah kereta sehari percaya sasaran itu dapat dicapai sekali gus mengukuhkan prestasi kedudukan syarikat.

Menurut Jamal, pihaknya telah berjaya melepasi sasaran jualan pada 2013 iaitu dengan menjual lebih 400 buah kereta pelbagai model dan jenama.

Ujarnya lagi, IBM Automobiles turut merancang untuk membawa masuk pelbagai model kereta mewah baharu yang berpotensi bagi memenuhi permintaan pembeli di dalam negara.

"Model baharu kereta ini adalah sebagai tambahan kepada jenama dan model sedia ada yang sering menjadi pilihan pembeli seperti jenama Toyota, BMW dan Mercedes Benz.

"Kami sangat mementingkan kualiti dalam setiap model kereta yang dibawa masuk ke pasaran tempatan terutamanya dari segi jenama, model dan berkeadaan baik," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment