Tangani kos sara hidup rakyat
KUALA LUMPUR, SELASA, 04 Februari, 2014: Rakyat diharap dapat bersabar dan memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan amat serius untuk menangani perkara tersebut dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri telah mengetuai Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menangani hal itu.
Jadi kita berharap rakyat akan sabar dan memberikan kepercayaan kepada komitmen kerajaan untuk menangani isu ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat kilang Linatex Rubber Products Sdn. Bhd., di Batu Caves dekat sini hari ini.
Sementara itu, Mustapa berkata, walaupun kerajaan tidak mampu untuk menangani 100 peratus kenaikan kos sara hidup berikutan sesetengah kenaikan harga berada di luar kawalan mereka, namun terdapat beberapa langkah yang diambil telah menunjukkan kesan positif.
Kita dapati langkah-langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan telah menunjukkan kesan. Contohnya, langkah mengadakan diskaun di pasar raya besar.
Langkah yang diambil kerajaan melalui Timbalan Perdana Menteri telah menunjukkan hasil dan rakyat harus bersyukur pada perkara ini," ujarnya.
Pada 15 Januari lalu, Muhyiddin mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup yang bertujuan menangani setiap isu berkaitan kenaikan kos hidup rakyat ketika ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan kempen penurunan harga barang antara 15 hingga 70 peratus secara serentak di seluruh negara pada minggu lalu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment