Saturday, 22 March 2014

Yakin petunjuk dari Australia

 * HISHAMMUDDIN Tun Hussein menjawab soalan wartawan sambil diperhatikan oleh Azharuddin Abdul Rahman (kiri), Ong Ka Ting (dua dari kanan) dan Ahmad Jauhari Yahya di Hotel Sama-Sama, Sepang, semalam. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED
SEPANG, JUMAAT, 21 Mac, 2014: Biarpun belum mendapat sebarang pengesahan terkini berhubung penemuan dua objek yang dipercayai serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi, kerajaan tetap yakin penemuan tersebut adalah petunjuk terbaik dan paling penting setakat ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sehingga saat ini pihaknya menunggu maklum balas daripada Australia bagi mengesahkan sama ada objek tersebut adalah milik pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Berikutan itu, beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat akan difokuskan di kawasan tersebut dengan segala aset penting telah dan sedang dibawa ke sana.

"Kawasan pencarian di bahagian koridor selatan sangat mencabar dan kita perlu memberi fokus sepenuhnya. Maklumat diterima daripada Australia semalam mempunyai petunjuk paling penting dan mesti menjadi tumpuan kita setakat ini.

"Kalau kita dapat pastikan objek itu memang benar milik pesawat MH370, kawasan Lautan Hindi yang begitu luas dapat dikecilkan serta dapat difokuskan kepada usaha yang lain," katanya dalam sidang akhbar mengenai insiden pesawat MH370 hilang di Pusat Media Hotel Sama-Sama di sini hari ini.

Yang hadir sama, Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Menurut Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, operasi di kawasan sejauh 2,500 kilometer dari Perth telah digiatkan sebaik sahaja menerima laporan dari Australia semalam dengan beberapa aset utama dalam operasi mencari dan menyelamat seperti kapal, HMAS Success dijangka tiba di kawasan tersebut esok.

Malah katanya, China turut menghantar lima buah kapal dan tiga helikopter ke kawasan selatan koridor itu untuk mengesan lokasi pesawat.

Pada masa sama katanya, tiga pesawat dari China iaitu dua jenis Ilyushin IL-76s dan sebuah Shaanxi Y-8 yang tiba di Malaysia pukul 11 pagi tadi akan menyertai operasi tersebut di koridor selatan.

Katanya, Jepun juga mengerahkan aset miliknya iaitu dua pesawat P-3C Orions ke Perth untuk membantu Australia dalam operasi tersebut.

"Pagi tadi saya bercakap dengan pihak Pesuruhjaya Tinggi dari United Kingdom (UK) yang telah mengesahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bercakap dengan Perdana Menteri, David Cameron bahawa kapal, HMS Echo sedang menuju ke selatan Lautan Hindi bagi menyertai operasi ini.

"Beliau juga mengesahkan UK akan menyediakan pelbagai aset lain yang boleh membantu operasi tersebut sekiranya diperlukan dan pada masa sama, pihaknya juga bersedia untuk menghantar pakar bagi membantu operasi itu sekiranya nasib pesawat MH370 telah diketahui," katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata, Perancis juga telah menyatakan persetujuan untuk memberikan kepakaran dan pengalaman termasuk menghantar seorang pakar yang mengetuai siasatan terhadap tragedi pesawat AirFrance yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009.

Beliau juga akan menghubungi Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Chuck Hagel pada pukul 9.15 malam ini untuk mendapatkan bantuan dari segi aset khusus dalam operasi tersebut termasuk kenderaan kawalan jauh untuk operasi mencari di lautan dalam. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment