My Add

Saturday 19 April 2014

Fasa ketiga banteras PATI semakin sukar

 * AHMAD Zahid Hamidi turun padang dalam Ops Bersepadu memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) Fasa ketiga di sebuah pusat hiburan sekitar Ipoh, malam semalam. - BERNAMA
IPOH, JUMAAT, 18 April, 2014: Fasa ketiga pembanterasan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bermula 21 Januari lalu membabitkan pusat hiburan dan rumah urut diakui agak sukar kerana pemilik premis mempunyai rangkaian jaringan perhubungan yang cukup meluas bagi mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, operasi bersepadu yang disertai oleh Jabatan Imigresen serta beberapa agensi penguatkuasaan lain di bawah kementerian itu bagaimanapun akan tetap dite­ruskan walaupun pihak berkenaan berupaya mengetahui operasi yang akan dijalankan.

'Hal ini bukan soal kebocoran maklumat dalam kalangan pegawai-pegawai, tetapi saya fikir mereka telah tercium bau operasi dijalankan. Fasa ketiga ini bukan mudah, tetapi saya sudah memberi semangat kepada pegawai dan unit-unit penguatkuasaan.

'Tujuan kita bukan untuk menzalimi mahupun menganiaya mana-mana pihak tetapi untuk menguatkuasakan undang-undang kerana tidak mahu mereka yang menggunakan pas lawatan sosial melakukan kerja bertentangan dengan undang-undang di negara ini,' katanya kepada pemberita selepas turut sama menyer­tai operasi bersepadu itu yang pertama kali bermula di negeri ini dan tertumpu di sekitar Lembah Kinta di sini malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat dan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa, Zahari Abdul Aziz serta Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Ahmad Syam Che Kub @ Ab. Rasid.

Fasa pertama dan kedua penguatkuasaan PATI sebelum ini masing-masing menyasarkan pekerja dalam sektor pembinaan dan perkilangan serta perniagaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sejak fasa ketiga itu bermula sehingga 16 April lalu, sebanyak 10,399 PATI telah ditangkap melibatkan 156 majikan dalam 1,644 operasi yang dijalankan.

Beliau berkata, tujuh premis utama dijadikan sasaran termasuklah rumah kongsi dan tapak pembinaan, rumah kediaman dan perniagaan, restoran, kilang, rumah urut serta pusat perjudian.

'Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,914 PATI warga Indonesia telah ditangkap, diikuti Myan­mar (1,621), Bangladesh (1,307) serta beberapa warganegara lain termasuk Filipina dan Nepal.

'Johor mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 3,914 orang diikuti Wilayah Persekutuan (1,327) dan Selangor (1,055),' katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika melawat Depoh Tahanan Imigresen Langkap di Teluk Intan berkata, seramai 19,222 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah diusir dari negara ini di bawah operasi bersepadu yang dijalankan sejak Januari lalu hingga 16 April lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment