Kehadiran Obama ke Cyberjaya tingkat imej bandar itu
CYBERJAYA, sabtu, 26 April, 2014: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Cyberjaya bagi melancarkan Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC), yang dijadualkan esok, akan mengharumkan lagi imej dan peranannya sebagai antara bandar pintar terunggul di dunia.
Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd Faris Yahaya berkata Cyberjaya yang dibangunkan sejak 1997, kini bukan sahaja berperanan sebagai hab global untuk pembangunan industri teknologi maklumat, bahkan juga sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R(amp)D) di rantau ini.
"Kehadiran Presiden Obama sudah pasti meletakkan Cyberjaya antara hab global teknologi penting di pentas dunia dan melonjakkan nama Cyberjaya sebagai tempat berprofil tinggi di global," katanya selepas menyertai Magic Ride bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di sini hari ini.
Faris yakin selepas kehadiran bersejarah itu, lebih banyak syarikat antarabangsa berteraskan ICT dan R&D terutamanya dari Amerika Syarikat akan memilih Cyberjaya sebagai pangkalan operasi mereka.
Katanya, ketika ini Cyberjaya menjadi pilihan kepada lebih 800 syarikat termasuk 43 syarikat multinasional berteraskan ICT tersohor menempatkan pangkalan operasi mereka di sini, sekali gus membantu mencetuskan persekitaran inovatif dan kreatif. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment