My Add

Friday 18 April 2014

Malaysia negara baik untuk pelaburan

 Luis Lopez
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 April, 2014: Malaysia merupakan negara yang baik untuk pelabur asing menanam modal, seterusnya meluaskan perniagaan mereka ke rantau ASEAN.

Kaunselor Perdagangan dan Ekonomi Kedutaan Sepanyol, Luis Lopez berkata, terdapat banyak peluang pelaburan yang ditawarkan di negara ini dan negara rantau ASEAN lain yang sewajarnya direbut oleh pelabur-pelabur asing termasuk dari Sepanyol.

Beliau berkata, pelabur di Sepanyol dan Afrika Utara khususnya digalakkan untuk melihat potensi negara ini dan rantau ASEAN sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi besar, mengambil kira pertumbuhan pesat sedang berlaku di rantau ini.

Beliau mengambil contoh pelaburan syarikat Sepanyol dalam bidang keluli tahan karat di Pasir Gudang, Johor yang disifatkan sebagai petanda baik kepada pelaburan lebih besar dari negara itu pada masa hadapan.

"Pada masa sama, pelabur dari Malaysia juga sewajarnya merebut peluang pelaburan yang terdapat di Sepanyol bagi memasarkan produk mereka ke pasaran global khususnya Eropah dan negara Afrika Utara.

"Banyak peluang yang ada di rantau sana khususnya Sepanyol di mana banyak syarikat sedang mencari rakan kongsi dan peluang-peluang pelaburan baharu yang berpotensi tinggi. Perkembangan ini sangat sesuai untuk pelabur Malaysia menanam modal di sana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Forum EUMCCI 2014 yang dirasmikan oleh Duta Kesatuan Eropah (EU), Luc Vandebon dan turut melancarkan buku EU-Malaysia Business di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi EUMCCI 2014, Fermin Fautsch.

Jumlah dagangan Malaysia dengan Sepanyol tahun lalu adalah sebanyak RM3.316 bilion meningkat 16.1 peratus berbanding RM2.86 bilion pada 2012.

Bagaimanapun, jumlah eksport Malaysia ke negara terbabit menyusut sebanyak 7.3 peratus daripada RM1.567 bilion pada 2012 kepada RM1.453 bilion tahun lalu.

Mengulas lanjut, Lopez menjangkakan jumlah dagangan antara kedua-dua negara akan terus meningkat setiap tahun mengambil kira pasaran dan peluang pelaburan yang ada di kedua-dua negara.

"Bergantung kepada persaingan dan sambutan pasaran di mana pengalaman (syarikat Sepanyol) berniaga di Malaysia sangat baik, lebih mudah berbanding di kebanyakan negara. Bagaimanapun, cabaran bagi syarikat Sepanyol melabur di Malaysia ialah lokasi yang jauh, justeru ia banyak bergantung kepada peluang-peluang yang ada di sini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment