MH370: Bluefin-21 hadapi masalah teknikal buat kali kedua
PERTH, sabtu, 26 April, 2014: Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 menghadapi masalah teknikal buat kali kedua pada Jumaat sejak pertama kali menjalankan misi dalam air bagi mencari lokasi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), yang menyelia operasi mencari, berkata kenderaan automatik itu sekali lagi dinaikkan ke permukaan air semasa dalam proses untuk melakukan misi ke-13 pada Jumaat berikutan menghadapi masalah pada set perisian yang perlu diset semula.
Menurutnya peralatan teknikal pada AUV amat canggih dan masalah perisian perlu diset semula merupakan perkara biasa dan masalah teknikal itu telah dapat diselesaikan malam tadi oleh juruteknik.
Sementara itu, misi ke-14 sedang dijalankan, menurut agensi itu dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada 16 April, Bluefin-21, yang melakukan misi kedua telah menghadapi masalah teknikal yang memaksanya menghentikan misi itu dan naik ke permukaan air.
Bagaimanapun, ia kemudiannya dikerahkan semula untuk meneruskan misi pencarian dalam air pada hari yang sama selepas masalah itu diatasi. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment