My Add

Saturday 19 April 2014

Penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu ditangguh

ALOR GAJAH, SABTU, 19 April, 2014: Penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu yang dirancang dilaksanakan pada 1 April terpaksa ditangguhkan kepada pertengahan tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob berkata, ia berikutan masalah teknikal melibatkan percetakan buku Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang sepatutnya diedarkan bermula Mac lepas.

``Kita mempunyai masalah proses pencetakan sehingga menyebabkan buku itu gagal disiapkan mengikut jadual,'' katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) bagi Dewan Undangan Negeri Gadek di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Pay Chee di sini, hari ini.

Katanya, pencetakan buku KPP memerlukan penelitian rapi kerana ia melibatkan pengenalan kurikulum baharu.

Beliau berkata, buku yang akan dicetak 600,000 naskah setiap tahun itu dilengkapi dua silibus iaitu kurikulum bagi pengguna kereta manual dan juga automatik.

``Buku ini dijangka diedarkan pada Mei kepada semua institusi memandu sebelum ujian bagi kereta automatik dilaksanakan sepenuhnya pada Jun depan,'' katanya.

Dalam pada itu, Yusoff berkata semua tenaga pengajar institusi memandu di negara ini sedang menjalani kursus secara berperingkat untuk mengendalikan sesi pembelajaran kereta automatik kepada pelajar institusi masing-masing.

Terdahulu, 321 penunggang motosikal dari seluruh negeri Melaka menerima lesen B2 di bawah program SKSJ yang disampaikan Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan Melaka Datuk M.S. Mahadevan.

Sehingga kini 2,182 rakyat Melaka memperoleh lesen B2 sejak program SKSJ dilaksanakan di negeri itu pada 2009. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment