My Add

Wednesday 23 April 2014

Penjelajah Greenland diingatkan kerjasama berpasukan

REYKJAVÍK, Iceland, RABU, 23 April, 2014: Kerjasama berpasukan akan menjadi kunci kepada kejayaan Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) Felda Greenland 2014 sekiranya ia diterapkan dari awal hingga akhir dalam misi penuh mencabar itu.

Penasihat Ekspedisi, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, walaupun sedang berdepan apa juga cabaran, para penjelajah diingatkan supaya tidak berpecah sebaliknya perlu saling membantu antara satu sama lain.

"Ini adalah ekspedisi berkumpulan, kekuatan dan keupayaan kesemua para penjelajah perlu diambil kira. Jika ada antara rakan kita yang moralnya jatuh, rakan lain harus membantu menaikkannya semula.

"Peserta perlu ingat ekspedisi ini tidak akan berjaya jika hanya individu tertentu sahaja yang menyempurnakannya,'' katanya ketika memberi amanat kepada para penjelajah ekspedisi di pusat latihan ski Bláfjöll dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Ekspedisi, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin merangkap Presiden KE7B; Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi dan Pembangunan Generasi Baharu Felda, Amir Hamdan Yusof; dan Pengurus Jabatan Pengajian Tinggi dan Pembangunan Generasi Baharu Felda, Abd. Kahar Daud.

Terdahulu, kelapan-lapan penjelajah iaitu Muhamad Shaiful Hisyam Abd. Aziz, 25; Yanizam Mohamad Supiah, 29; Abdul Rahman Abu Hassan, 31; Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid, 25; Mohd. Akasyah Jamaludin, 25; Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 34; Muhammad Musaddiq Samsudin, 25; dan Muhd. Hafizuddin Abdul Muthalib, 25, melakukan aktiviti memanaskan badan bermain ski dan menarik `sledge'.

Akmar Hisham yang juga Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri berkata, beliau optimis ekspedisi itu mampu disempurnakan lebih awal berbanding jadual asal berdasarkan persiapan dan semangat para penjelajah.

Sementara itu, Amir Hamdan yang mewakili Felda sebagai penaja utama ekspedisi tersebut berkata, soal kejayaan menyempurnakan misi itu adalah perkara kedua, namun apa yang penjelajah perlu titik beratkan adalah soal keselamatan.

"Kita mahu mereka semua selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air. Saya berharap peserta tidak patah semangat dan terus cekal untuk menempuh sebarang cabaran yang bakal ditempuh.

"Syabas saya ucapkan kerana anda adalah rakyat Malaysia yang terpilih untuk menyempurnakan misi ini. Pergilah sahut cabaran di luar sana dan harumkan nama negara,'' katanya.

Penjelajah ekspedisi yang turut mendapat penajaan daripada kerajaan negeri Kedah dan RHB Bank itu akan berlepas ke Greenland hari ini sebelum memulakan cabaran pada lusa.

Misi penjelajah di Greenland adalah merentasi pulau terbesar di dunia itu yang 80 peratus permukaannya diliputi ais sejauh 540 kilometer dengan berjalan kaki dan menggunakan ski selama lebih kurang 35 hari.

Antara cabaran yang bakal ditempuhi penjalajah adalah cuaca tidak menentu seperti ribut berkelajuan 300 kilometer sejam, ancaman beruang kutub dan penyakit yang disebabkan oleh suhu ekstrem iaitu semaksimum -41 darjah celsius.

Jika berjaya disempurnakan, ekspedisi itu bakal menyaksikan kumpulan rakyat Malaysia pertama menjelajah Greenland. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment