My Add

Thursday 24 April 2014

PlaTCOM pemangkin PKS

Oleh THOMAS CHONG
 
 * NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin dan Mustapa Mohamed (lima dari kanan) bersama peggerak PlaTCOM ketika menghadiri majlis pelancaran PlaTCOM Ventures Sdn. Bhd., di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA, RABU, 23 April, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan PlaTCOM Ventures Sdn. Bhd., (PlaTCOM) iaitu anak syarikat milik penuh Agensi Inovasi Malaysia (AIM) yang ditubuhkan dengan kerjasama SME Corporation (SME Corp.).

Entiti baharu tersebut berperanan sebagai pemangkin inovasi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta membantu memastikan konsep inovasi dikomersialkan secara sepenuhnya.

Najib berkata, pelancaran PlaTCOM merupakan batu penanda penting dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju inovasi di rantau ini.

Beliau berkata, PlaTCOM merupakan hasil adunan dua inisiatif kebangsaan iaitu Peluang Perniagaan Inovasi (IBO) daripada AIM dan Program Berimpak Tinggi 2 - Platform Pengkomersialan Teknologi (HIP2-TCP), Pelan Induk IKS di bawah SME Corp.

“AIM selama ini telah mempromosi hak intelek yang dibangunkan oleh dunia akademik dan institut penyelidikan awam manakala Pelan Induk PKS membantu menghubungkan PKS dengan ekosistem inovatif.

“Pengadunan IBO dan HIP2-TCP akan memperluaskan lagi kerjasama antara industri dan dunia akademik untuk mengkomersialkan hak intelek Malaysia, usaha ini akan diterajui oleh PlaTCOM," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran entiti baharu tersebut di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Najib berkata, walaupun usaha telah diwujudkan untuk mempromosikan inovasi tetapi inisiatif berkenaan tidak dihubungkan antara satu sama lain sehingga timbul jurang antara aspek kewangan, akses kepada kemudahan, pensijilan, bantuan teknikal dan khidmat nasihat.

“PlaTCOM direka untuk menghubungkan inisiatif-inisiatif sedia ada di bawah satu platform," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan bahawa AIM sedang bekerjasama dengan Steinbeis iaitu sebuah institusi dari Jerman yang berperanan membantu perniagaan ke arah inovasi.

“AIM telah bekerjasama dengan Steinbeis Malaysia dalam beberapa projek perintis di mana salah satunya ialah kerjasama antara sebuah syarikat dari Bintulu dengan saintis Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Kerjasama ini dijalankan untuk mengoptimumkan hasil tuaian rumput gajah bagi digunakan untuk menghasilkan bahan kimia dan bahan api," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PlaTCOM, Dr. Viraj Perera berkata, PlaTCOM akan menyediakan perkhidmatan yang merangkumi membantu PKS merangka pelan perniagaan, pembangunan dan pemasaran produk serta memudah cara dari segi sumber pembiayaan.

“Kita akan menapis apa yang ditawarkan oleh PKS di mana buat permulaan sebanyak 10 hingga 15 PKS akan dipilih. PKS terpilih akan dibantu secara menyeluruh sehingga mereka mampu memasarkan produk mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment