My Add

Sunday 20 April 2014

Program Sarana beri kesan positif - TPM

KUALA LUMPUR, SABTU, 19 April, 2014: Inisiatif Kementerian Pendidikan mewujudkan program Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah telah berjaya menunjukkan perkembangan positif dalam perkongsian ilmu antara kedua-dua pihak berkepentingan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program Sarana yang diwujudkan setahun lalu itu telah memberi kesan baik kepada situasi pembelajaran anak-anak serta pengajaran guru di sekolah.

Kata beliau, Sarana berkenaan yang diperluaskan dengan penubuhan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) itu telah mampu memastikan interaksi ibu bapa dengan anak-anak berada pada tahap maksimum sekali gus memberi peluang kepada ibu bapa menyumbang idea, tenaga, kepakaran dan kewangan kepada sekolah.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, sehingga kini sebanyak 62.3 peratus KSIB ditubuhkan di sekolah menengah manakala 60.3 peratus di sekolah rendah di seluruh negara telah berjaya mewujudkan hubungan sinergi padu antara ibu bapa dan pihak sekolah sekali gus mampu melonjakkan keberhasilan yang memberi manfaat bersama.

"Elemen utama yang ditekankan dalam sarana tersebut adalah suasana pembelajaran, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

"Melalui KSIB ini telah banyak membantu pihak sekolah melaksanakan aktiviti sokongan pengajaran dan pembelajaran selain menjadi pengantara antara ibu bapa dengan pihak pentadbir sekolah untuk menangani isu permasalahan murid dalam menjalani proses pembelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvensyen dan Anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sini hari ini.

Sarana Ibu bapa dan Sarana Sekolah yang dilancarkan pada Februari 2013 merupakan inisiatif untuk menyatukan setiap pihak berkepentingan bagi memberi tumpuan kepada modal insan demi membantu masa depan 5.14 juta murid di lebih 10,000 sekolah menengah dan rendah seluruh negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, antara perkembangan positif di bawah program Sarana itu ialah apabila terdapat ibu bapa yang prihatin datang melawat bilik darjah, meninjau secara dekat perkembangan anak-anak mereka dan melihat keperluan yang masih kurang di sekolah.

Terdahulu, pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan Anugerah PIBG Cemerlang Terbaik Keseluruhan kepada Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 selain lapan lagi anugerah berkaitan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment