![]() |
| * UMAT Islam yang menunaikan umrah atau haji berpeluang mendekati unta apabila mengunjungi Jabal Rahmah, berhampiran Arafah, di luar kota Mekah. - GAMBAR HIASAN |
BUTTERWORTH, SABTU, 26 April, 2014: Penyebaran wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV), jangkitan respiratori yang disebabkan oleh virus korona, disyaki berpunca daripada unta di Arab Saudi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata, pemeriksaan terhadap darah unta di negara itu mendapati tahap antibodi haiwan berkenaan sama dengan virus itu.
"Ada kemungkinan virus itu ada pada unta. Mungkin daripada situ ia telah menular dan merebak kepada manusia...ia (virus) bukan boleh merebak dengan mudah, perlu berada dekat atau bersentuhan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesihatan Masyarakat MySihat India 1Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Dr. Subramaniam berkata, tiada kes jangkitan terbaharu MERS-CoV di negara ini, sejak kes kematian seorang lelaki akibat pneumonia teruk susulan jangkitan virus itu pada 13 April lepas.
Lelaki berusia 54 tahun dari Batu Pahat, Johor itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail selepas mengadu demam, batuk dan kesukaran bernafas, kira-kira 10 hari selepas kembali daripada mengerjakan umrah pada 29 Mac. Kes itu merupakan yang pertama dilapor di rantau ini. - BERNAMA

No comments:
Post a Comment