My Add

Sunday, 11 May 2014

Pastikan perjuangan ikut perubahan zaman

 * MOHD. Shafie Apdal (tiga dari kiri) diiringi Azizan Md. Rais (dua dari kiri) memotong reben sebagai gimik merasmikan rumah mampu milik di Kampung Tuan Seh, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor, semalam.
KOTA TINGGI, SABTU, 10 Mei, 2014: UMNO perlu memastikan kandungan perjuangan parti mengikut perubahan zaman sekali gus perlu ada pemikiran yang boleh meningkatkan daya upaya untuk mencurahkan perkhidmatan kepada rakyat dan bukan sekadar mendengar keluhan sahaja.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pemikiran seumpama itu perlu kerana sudah jelas cabaran yang dihadapi masa kini jauh berbeza daripada dahulu dan jelas perubahan ke arah itu perlu dilakukan.

Menurutnya, ahli UMNO pasti sedar dan tahu banyak sumbangan dan jasa parti sudah dicurahkan kepada bangsa dan negara dan ia tidak boleh dinafikan, namun sekarang ini jelas UMNO tidak boleh lagi bergantung atas landasan itu sahaja.

"Perubahan perlu dilakukan bukan hanya dari segi pendekatan, tetapi pemikiran kita selaku ahli UMNO bahawa cabaran yang mendatang ini jauh berbeza daripada dahulu yang memerlukan cara berlainan untuk menambat hati rakyat.

"Kita sedar bukan semua kehendak ahli UMNO dapat dipenuhi, namun UMNO perlu ada pemikiran betul supaya khidmat kepada masyarakat dapat terus dipertingkatkan," katanya ketika mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir yang mengingatkan UMNO supaya mendengar suara rakyat sekiranya parti itu mahu terus bertahan sebagai tunjang kepada pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negara ini.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah dan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Fasa Tiga Kampung Tersusun Tuan Seh, Tanjung Sedili, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Datuk Azizan Md. Rais.

Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyeru supaya kempen daftar pengundi BN dipertingkatkan dengan menjadikan usaha tersebut di peringkat bahagian sebagai keutamaan.

Sementara itu, ditanya adakah transformasi yang dijalankan sekarang mengikut kehendak presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata, ia sememangnya berjalan mengikut perancangan sekali gus usaha itu perlu terus disambut baik.

"Kita berharap rakyat menilai, membuat perbandingan apa yang sudah dibuat oleh BN dan apa pula sudah dibuat pembangkang. UMNO sebuah parti lama bukan tidak boleh hidup, ada parti lebih lama daripada UMNO tapi masih memerintah.

“Cuma kita perlu pastikan kandung­an perjuangan UMNO itu perlu mengikut perubahan zaman," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment