My Add

Thursday, 12 June 2014

106 ditahan seleweng bahan api

Oleh MASZUREEN HADZMAN

KUALA LUMPUR, RABU 11 Jun, 2014: Seramai 106 individu ditahan kerana terlibat dalam 36 kes penyelewengan dan penyeludupan diesel serta petrol bersubsidi di perairan negara sepanjang tempoh lima bulan Op Cantas Khas Perairan dijalankan bermula Januari lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,130,185 liter diesel; 9,635 liter petrol, 17 lori tangki, 12 kapal tangki dan sembilan lori pikap dengan nilai keseluruhan berjumlah RM65 juta telah dirampas.

Komander Pasukan Polis Marin, Datuk Abd. Aziz Yusof berkata, operasi berkenaan melibatkan lima wilayah perairan negara dan pihaknya telah memeriksa 7,582 individu termasuk penduduk tempatan dan warga asing sepanjang tempoh lima bulan tersebut.

Beliau berkata, turut diperiksa ialah sebanyak 7,535 kenderaan air termasuk bot, sampan dan perahu.

"Kesemua tangkapan dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Polis Marin telah memainkan peranan penting dalam operasi membanteras penyelewengan diesel dan petrol ini disamping melakukan pemantauan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Abd. Aziz, Op Cantas Khas Perairan dilancarkan dengan menubuhkan satu pasukan pemantau khas bagi meningkatkan lagi usaha untuk membanteras kegiatan penyeludupan petrol dan diesel ke negara jiran.

"Pasukan yang melibatkan Unit Risikan Marin itu akan memantau di perairan dan darat terutamanya di kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan kegiatan penyeludupan terutamanya di jeti-jeti persendirian," katanya.

Mengulas mengenai nilai rampasan berkaitan penyelewengan dan penyeludupan diesel pada dua tahun sebelum ini, Abd. Aziz memberitahu, sebanyak RM2,434,845 nilai rampasan dicatatkan pada 2012 dan RM6,475,574 (2013).

Katanya, jika dibandingkan nilai rampasan pada 2012 dan 2013, berlaku peningkatan yang ketara dan jumlah itu dilihat semakin bertambah pada tahun ini iaitu RM65 juta dalam tempoh hanya lima bulan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment