My Add

Wednesday 11 June 2014

2 maut, 3 parah elak serpihan tayar lori

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

KUBANG PASU, SELASA 10 Jun, 2014: Kerana cuba mengelak serpihan tayar lori yang terbiar di jalan raya, dua maut dan tiga lagi parah dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 18.7, Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke selatan, berhampiran Kampung Nongka, Napoh dekat sini malam tadi.

Mangsa, kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Aziz Mohd., 44, maut di tempat kejadian bersama adik iparnya, Zursahira Zulkifli, 14, setelah kenderaan pelbagai guna (MPV), Nissan Grand Livina dinaiki mereka melepasi longkang selebar hampir dua meter sebelum merempuh pokok jati di tepi lebuh raya berkenaan.

Mangsa yang parah ialah ibu mertua Aziz, Khatijah Yusof, 54, dan dua anaknya. Lapan lagi mangsa lain iaitu isteri serta dua lagi anak Aziz, pemandu Naza Ria dan empat penumpang Perodua Viva hanya cedera ringan.

Menurut Ketua Polis Daerah, Supritendan Abd. Rahim Abdullah, kejadian yang berlaku pada pukul 10.20 malam itu bermula apabila sebuah Naza Ria dipandu seorang lelaki terlanggar serpihan tayar berkenaan menyebabkan objek itu melantun.

"Keadaan itu menyebabkan kereta Perodua Viva dinaiki empat pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta Grand Livina dipandu Aziz yang berada di belakang kenderaan tersebut cuba mengelak serpihan tayar tersebut sehingga terbabas ke kiri jalan.

"Perodua Viva tersebut tersadai di dalam longkang sementara Grand Livina itu pula terlanggar pokok jati berkenaan menyebabkan pemandunya serta salah seorang penumpang meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada Utusan Malaysia.

Difahamkan, ibu mertua Aziz iaitu Khatijah cedera parah akibat patah tulang rusuk selain luka di kepala. Dua daripada empat anaknya yang turut berada dalam kenderaan itu cedera parah, sementara, isterinya, Zuraini Zulkifli, 37, mengalami luka di kepala.

Sementara itu, pemandu Perodua Viva berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nadia memberitahu, keempat-empat mereka sedang dalam perjalanan ke Hospital Jitra bagi mendapatkan rawatan untuk salah seorang rakannya yang sakit telinga.

"Ketika itu kami berada di laluan kanan apabila tiba-tiba tayar itu melantun menyebabkan saya terkejut dan cuba mengelak ke kiri jalan.

'Tindakan itu menyebabkan kenderaan kami terbalik ke sebelah kanan dan terseret sehingga ke dalam longkang sebelum orang ramai datang membantu membetulkan semula kedudukan kereta," katanya.

Bapa mertua Aziz, Zulkifli Zakaria, 58, pula memberitahu kejadian itu berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang daripada menziarah rumah adiknya di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Arau, Perlis.

"Mereka berlapan menaiki Grand Livina sementara saya menunggang motosikal. Apabila saya tiba di susur keluar Alor Setar, saya terdetik untuk melihat telefon bimbit yang banyak kali berdering sebelum menerima satu lagi panggilan yang memaklumkan kejadian ini.

"Sebelum kejadian, kami sekeluarga cukup ceria terutamanya apabila menikmati makan malam di Kuala Perlis. Apa pun, saya reda dengan pemergian menantu dan anak bongsu saya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment