My Add

Wednesday 11 June 2014

20,434 penjawat awam dikena tindakan

KUALA LUMPUR, SELASA 10 Jun, 2014: Seramai 20,434 penjawat awam telah dikenakan tindakan tatatertib bagi tempoh 2009 hingga 2013.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, daripada jumlah itu, seramai 4,743 orang telah dibuang kerja manakala 125 orang diturunkan pangkat dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 48 bulan.

Jelasnya, selain itu, seramai 963 orang lagi diturunkan gaji dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 36 bulan serta 2,048 orang ditangguhkan pergerakan gaji dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 30 bulan.

"Seramai 3,491 penjawat awam telah dilucutkan hak emolumen dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 24 bulan serta 3,373 dikenakan denda maksimum tujuh hari emolumen dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 18 bulan.

"Sementara itu, seramai 10,531 orang diberi amaran dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 12 bulan," katanya menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Shahidan menambah, kesemua penjawat awam yang dikenakan tindakan itu adalah daripada perkhidmatan awam Persekutuan, perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jelasnya, jumlah tersebut mengambil kira seseorang penjawat awam juga boleh dikenakan lebih daripada satu hukuman tatatertib apabila didapati bersalah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment