My Add

Thursday 5 June 2014

22 lelaki Filipina didenda

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

 * ANGGOTA Penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara mengiringi sebahagian daripada 22 lelaki warga Filipina yang dituduh memiliki kad pengenalan palsu dan milik orang lain di Mahkamah Majistret Manjung, semalam.
LUMUT, RABU 04 Jun, 2014: Sebanyak 22 lelaki warga Filipina masing-masing didenda RM5,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain, hujung bulan lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia dalam lingkungan antara 21 dan 51 tahun itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di kawasan kilang Sapura-Kencana Petroleum Bhd., Fabrication Land, Polt. 1, Kampung Acheh, Sitiawan antara pukul 7.30 pagi dan 11.30 malam, 22 Mei lalu.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18 tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan palsu sementara empat lagi menggunakan kad pengenalan tulen kepunyaan orang lain. Kesemua tertuduh berbangsa Suluk yang berasal dari Zamboanga dan Basilan, Filipina.

Tertuduh yang didakwa menggunakan kad pengenalan palsu ialah Hassan Bakilan, 21, Nasil Aknalin, 26, Hajan Awalun, 33, Wilim Sikal, 23, Abdul Gani Aukasa, 32, Binjamal Mohamad, 28, Garsia Salamadin, 25, Al-Kamarul

Amin, 25, Hashim Sami, 25, Monsatar Ashgar, 27, Besari Rajang, 35, Madzpar Julain, 28, Kerong Sakif, 41, Munir Amad, 39, Sangkula Gekeri, 52, Benhar Asim, 29, Hassan Anudin, 36, dan Rashid Mokhsan, 42.

Empat lagi tertuduh yang menghadapi tuduhan menggunakan kad pengenalan orang lain ialah Sani Bakilan, 21, Janloyd Wahab, 25, Alkabir Ajamin, 23, dan Naning Yusuf, 24.

Bagaimanapun, hanya Hassan, Nasil, Abdul Ghani, Monsatar dan Sani diwakili oleh peguam, Abdul Roni Abd. Rahman.

Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Imigresen di sekitar Pelabuhan Lumut.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan yang menjatuhkan denda tersebut turut memerintahkan tertuduh-tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk pengusiran ke negara asal mereka selepas menjalani hukuman.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada JPN, Sulaiman Ghamat memohon kesemua tertuduh dikenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada warganegara asing lain supaya tidak melakukan jenayah yang boleh menjejaskan kepentingan awam di negara ini.

Namun begitu, kesemua tertuduh memohon supaya hanya dikenakan hukuman denda paling minimum memandangkan masing-masing mempunyai tanggungan seperti isteri dan anak yang masih kecil. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment