My Add

Thursday, 5 June 2014

3 kes militan bakal dibicara serentak

KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Kes-kes membabitkan tuduhan memberi sokongan kepada aktiviti pengganas di Taiping, Perak dan Port Dickson, Negeri Sembilan akan dibicarakan bersama satu lagi kes serupa di Mahkamah Tinggi di sini.

Permohonan rasmi bagi membicarakan tiga kes tersebut yang melibatkan empat tertuduh akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan pada 20 Jun ini di Mahkamah Tinggi di sini sewaktu sebutan semula kes-kes terbabit.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad kepada Hakim Kamardin Hashim hari ini semasa sebutan kes terhadap suri rumah, Azizah Md. Yusof.

Azizah, 54, sebelum itu mengaku tidak bersalah di hadapan hakim tersebut atas dua tuduhan memberi sokongan terhadap berlakunya perbuatan pengganas melalui laman sosial Facebook.

Pengakuan tersebut dibuat selepas hampir dua minggu wanita itu yang diwakili peguam bela, KC Suzanalena Salleh, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini.

Ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 23 Mei lalu, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ibu lima anak itu.

Mengikut pertuduhan, Azizah didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas melalui laman sosial Facebook bernama ‘Wan Jah’ dan ‘Azizah Yusof’.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukannya di Bahagian E8, Cawangan Khas, Tingkat 24, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini kira-kira pukul 2 petang, 24 April lalu.

Bagi kes di Mahkamah Majistret Taiping, penganggur, Mohd. Hafiz Zahri Suparyatnoh, 28, didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas yang dikenali sebagai The Islamic State Of Iraq and Syam (ISIS).

Seorang lagi penganggur, Mohd. Armie Fatihah Mohamad Hashim, 22, didakwa menggalakkan perlakuan dan perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu ideologi dan perbuatan itu dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kampung Air Jernih, Ijok di antara pukul 10 pagi, 4 April dan 12.30 tengah hari, 6 April lalu.

Di Mahkamah Majistret Port Dickson pula, Mohd. Khairil Mi, 27, didakwa menggalakkan keganasan untuk memajukan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah inap desa di No. 36, Jalan 1 1/2, Taman Intan Perdana, Port Dickson antara pukul 10 malam, 1 November dan 3 petang, 3 November 2013.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(b), 130J dan 130G(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun dan denda.

Mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan digunakan bagi kesalahan itu juga boleh dirampas oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Suzanalena memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan agar anak guamnya itu dibenarkan bebas dengan jaminan.

Beliau turut menyatakan akan memfailkan bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan untuk kesemua kes tersebut dibicarakan bersama. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment