My Add

Thursday 12 June 2014

4 lelaki didakwa rogol 2 remaja perempuan dihadap ke mahkamah

Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN

 * AZMAN Che Hassan (dua kiri) dan Muhmed Azroel Hassan (dua kanan) semasa keluar dari Mahkamah Seksyen Kota Bharu, semalam atas tuduhan merogol dua remaja di Ketereh, 20 Mei lalu. - UTUSAN/IRWAN MAJID
KOTA BHARU, RABU 11 Jun, 2014: Empat lelaki termasuk dua pesalah juvenil dihadapkan di mahkamah berasingan di sini hari ini atas pertuduhan merogol dua remaja perempuan berusia 15 tahun dan 17 tahun dalam kejadian membabitkan 21 suspek di sebuah rumah kosong di Ketereh, di sini 20 Mei lalu.

Keempat-empat tertuduh didakwa merogol dua remaja terbabit dengan kehadiran orang lain antara pukul 7.30 malam hingga 11 malam 20 Mei lalu di sebuah rumah kosong di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan manakala hukuman terhadap pesalah juvenil tertakluk di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

Di Mahkamah Kanak-kanak, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun membuat pengakuan bersalah atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada waktu dan tempat sama.

Seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dalam kejadian sama.

Majistret Nik Habri Muhamad menetapkan kedua-dua kes terbabit didengar semula di Mahkamah Sesyen pada 13 Julai ini.

Dalam pada itu, mahkamah membenarkan kedua-dua pesalah juvenil itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh diperintah melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai dan tidak mengganggu mangsa.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, dua lelaki mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan merogol kedua-dua mangsa dengan kehadiran orang lain pada waktu dan tempat sama.

Tertuduh Muhmed Azroel Hassan, 23, dan Azuan Che Hassan, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noor Haslinda Che Seman.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun tidak dibenarkan ikat jamin dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 Julai ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md. Zukri dan Asmah Azhari manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan dua remaja perempuan dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki dalam kejadian di sebuah rumah kosong, 20 Mei lalu.

Bagaimanapun semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman dalam satu kenyataan berkata, hanya 21 suspek terbabit dalam kejadian berbanding 38 suspek yang dilaporkan oleh salah seorang mangsa.

Beliau turut memberitahu, pihak polis kini masih memburu tujuh lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment