My Add

Thursday 12 June 2014

Adik Ahli Parlimen Mersing maut nahas

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
 
 * KEDUA-DUA mangsa maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 35, Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Negeri Sembilan, semalam. - BERNAMA
JEMPOL, RABU 11 Jun, 2014: Tiga termasuk adik perempuan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad maut dalam dua kemalangan di sini hari ini.

Dalam kemalangan pertama yang berlaku di Kilometer 35, Jalan Bahau-Keratong kira-kira pukul 1.30 pagi itu, adik Abdul Latiff, Shamsiah Ahmad, 45, dan suaminya, Ismail Atan, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori satu tan yang dinaiki kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan dari Mersing ke Bangi, Selangor, berlanggar dengan sebuah lagi kenderaan berat yang berada di depan mereka.

"Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke Bangi selepas mengambil bekalan ikan di Mersing untuk dijual di pasar raya milik mereka dekat Bangi.

"Lori dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kenderaan berat yang berada di hadapan kenderaan mangsa. Namun, kenderaan terbabit gagal dikesan kerana pemandunya tidak berhenti selepas kejadian dan pihak polis masih meneruskan siasatan," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Jempol, di sini hari ini.

Hamzah berkata, jenazah kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol dan dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Dalam nahas berasingan di jalan kampung di Serting Dua pada pukul 7.45 pagi, seorang pemuda, Mohd. Razali Baharudin, 33, menemui ajal apabila motosikal jenis Kawasaki Z800 yang ditunggangnya terbabas ke dalam parit.

Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Jempol.

Sementara itu, Abdul Latiff yang ditemui di hospital sama berkata, dia sempat berbual dengan arwah adiknya itu menerusi aplikasi WhatsApp sekitar pukul 9 malam tadi.

"Ketika itu arwah masih berada di Mersing dan sedang membeli ikan untuk dijual di pasar raya. Arwah seperti ingin menyampaikan sesuatu, namun saya beritahu padanya esok kita jumpa kerana ketika itu saya sibuk di Parlimen.

"Kali terakhir saya berjumpa arwah Ahad lalu semasa majlis di rumah saya dekat Putrajaya dan tiada sebarang perubahan dilihat pada adik saya, katanya.

Pasangan tersebut meninggalkan empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan berusia 13 hingga 24 tahun.

Jenazah akan dikebumikan dekat Mersing, Johor dalam satu liang lahad. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment