My Add

Wednesday 11 June 2014

Ali Mazat tidak prihatin terhadap rakyat - Zam

 Ali Mazat Salleh

KUALA LUMPUR, SELASA 10 Jun, 2014: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukti Permai, Ali Mazat Salleh yang menyifatkan laporan muka depan Utusan Malaysia bertajuk Wajarkah? siaran Jumaat lalu sebagai satu provokasi mencerminkan beliau adalah wakil rakyat yang tidak prihatin terhadap rakyat.

"Seorang wakil rakyat yang tidak prihatin dengan perasaan rakyat yang menjunjung duli dalam keadaan apa pun tidak akan dapat merasakan kepedihan dan kesakitan hati rakyat dalam hasrat hendak memberikan kuasa itu kepada raja.

"Inilah keperibadian wakil DUN yang dipilih oleh rakyat Bukit Permai," kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin dalam entri terbaharu laman blognya di zamkata.blogspot.com hari ini.

Ali Mazat pada sesi perbahasan rang undang-undang penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang diluluskan dalam DUN Johor semalam meminta akhbar Utusan Malaysia memohon maaf kepada Sultan Johor kerana menyiarkan artikel tersebut yang disifatkan beliau sebagai satu provokasi.

Zainuddin yang juga bekas Menteri Penerangan berkata, tanpa Utusan Malaysia tampil mengumpul kekuatan rakyat menyampaikan bantahan serta suara berani mereka, pastinya tidak akan berlaku pindaan drastik berkaitan kuasa mutlak raja.

Katanya, kuasa raja untuk campur tangan dalam pentadbiran negeri dapat dirasakan oleh setiap orang yang membaca pindaan rang undang-undang yang telah digubal dan disiarkan sepenuhnya oleh Utusan Malaysia dan akhbar lain tersebut.

"Bagi saya setelah membaca pindaan itu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana dengan pantas dapat mencari jalan untuk menyelamatkan maruah kuasa negeri dengan kemas dan bijak.

"Sekurang-kurangnya rakyat merasa suara mereka telah didengar dan dihormati dengan menarik kembali kuasa raja yang hendak dimahkotakan oleh rang undang-undang sebelumnya," katanya.

Beliau bagaimanapun hairan bagaimana rang undang-undang asal itu dipersetujui oleh Menteri Besar untuk dibentangkan.

Dengan nada sinis katanya, apakah tidak ada bantahan daripada Exco negeri dan nasihat daripada penasihat undang-undang negeri atau apakah mereka semua berperangai dan berfikiran yang setaraf dengan Ali Mazat.

Zainuddin turut mengingatkan pendukung dan patriot Melayu supaya kembali mempertahankan Utusan Malaysia dengan memetik sajak Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang.

Bila bangsa ini ternoda

Engkaulah si berani bersuara

Rakyat mendengar suaramu membela

Kerana kau sentiasa bersama mereka

Para petani nelayan dan pekerja...'

- UTUSAN

No comments:

Post a Comment