My Add

Wednesday 4 June 2014

Aswaja pertahan keputusan Jakim

KUALA LUMPUR, SELASA 03 Jun, 2014: Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) mempertahankan keputusan ujian makmal Jabatan Kimia yang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengesan Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine) dalam coklat yang dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.

Presiden Aswaja, Zamihan Mat Zin berkata, umat Islam tidak boleh menyalahkan Jakim dalam isu membabitkan DNA babi yang dikesan dalam coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond kerana jabatan itu sudah menjalankan tugasnya sebaik mungkin.

Beliau berkata, umat Islam perlu meletakkan sepenuhnya kepercayaan terhadap Jakim yang menjalankan ujian serta menentukan halal ataupun haram sesuatu produk itu kerana sebelum ini tugas berkenaan dijalankan dengan berkesan.

"Umat Islam tidak sepatutnya mudah melatah, sebaliknya perlu memperhalusi sebaik mungkin tindakan Jakim sebelum membuat sebarang kesimpulan, saya kira apa yang dilakukan Jakim adalah untuk menyelesaikan masalah ummah.

"Jika kita tidak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Jakim, bagaimana pula dengan produk lain yang mempunyai logo halal jabatan itu di pasaran, apakah orang ramai tidak yakin untuk menggunakannya.

"Apa yang dilakukan oleh Jakim mengikut prosedur ditetapkan sebagai sebuah badan bertanggungjawab mengeluarkan sijil pengesahan halal untuk sesuatu produk dan bagi saya kredibilitinya tidak perlu dipertikaikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jakim semalam mengesahkan dua sampel produk coklat keluaran syarikat Cadbury yang diambil terus daripada kilang syarikat itu dikesan tidak mengandungi DNA babi.

Sebelum ini, umat Islam di negara ini dikejutkan dengan penemuan DNA babi dalam dua produk Cadbury tersebut apabila Kementerian Kesihatan memaklumkan perkara berkenaan selepas menjalankan ujian terhadap produk berkenaan bagi tujuan pemantauan.

Sementara itu, Zamihan berkata, beliau yakin pihak Jakim memandang serius perkara membabitkan soal halal serta haram dan keputusan yang dibuat semestinya dilakukan melalui ujian yang cukup teliti.

"Logo halal Jakim bukan saja memastikan sesuatu produk itu benar-benar halal malah ia juga berjaya meningkatkan keyakinan pengguna dan pengeluaran sesuatu produk, saya percaya Jakim cukup teliti dalam hal ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment