My Add

Monday, 16 June 2014

Bajet 2015: Fokus kurangkan defisit

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
 
 Ahmad Husni Hanadzlah
IPOH, AHAD 15 Jun, 2014: Malaysia perlu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi melebihi 5 ke 5.5 peratus biar apa jua senario ekonomi dunia pada tahun depan, bagi memastikan pengurangan defisit secara beransur-ansur sekali gus mencapai bajet berimbang menjelang 2020.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pertumbuhan ekonomi yang memfokuskan kesejahteraan rakyat tidak semata-mata mementingkan kepada pengukuhan kedudukan fiskal, malah menitikberatkan Indeks Kebahagiaan dengan mengambil kira taraf hidup semasa.

Katanya, bersandarkan kepada prestasi ekonomi negara mencecah 6.2 peratus pada suku pertama tahun ini, beliau optimis Malaysia mampu mengunjur pertumbuhan sekiranya tahap produktiviti ditingkatkan selain diimbangkan kadar pendapatan penduduk yang tinggal di bandar mahupun luar bandar.

"Kita tidak serta-merta mengurangkan defisit kerana ingin menyeimbangkan dengan pertumbuhan. Pertumbuhan yang terjejas boleh mengakibatkan ekonomi menguncup, peluang pekerjaan berkurangan, kadar pengangguran meningkat seterusnya mengakibatkan pendapatan serta perbelanjaan rakyat berkurangan.

"Tahun ini kita sasar defisit 3.5 peratus, tahun lepas 4.7 peratus, tahun depan tiga peratus sehingga menjadi berimbang pada 2020 dan kemudian baru kita wujudkan lebihan bajet," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis silaturahim dan pusat khidmat bergerak Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun di Padang Awam Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, Bajet 2015 yang juga merupakan bajet terakhir bagi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) perlu mendapat input daripada akar umbi dalam memperuntuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Menurut beliau, antara perkara yang terkandung dalam taraf hidup rakyat yang perlu diteliti termasuk soal gaji, kualiti pendidikan, akses kepada kesihatan, keselamatan dalam negara, kuasa beli rakyat serta peluang mendapatkan perumahan berkualiti.

"Soal gaji pekerja, kita sekarang telah mencapai 32 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, maka kita akan tingkatkan kepada 40 peratus pada 2020 agar seiring dengan negara maju. Perkara ini bukanlah satu isu mudah tetapi memakan masa.

"Kos sara hidup akan terus meningkat di semua negara, tetapi yang penting adalah taraf kehidupan rakyat bagi menghadapi peningkatan tersebut.

"Namun, kadar pengangguran rendah di Malaysia yang berada sekitar tiga peratus jika dilihat dari segi perkiraan dunia sebagai penggunaan tenaga kerja penuh berbanding Amerika Syarikat dan China yang masing-masing mencatatkan tujuh dan empat peratus," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment