My Add

Friday 6 June 2014

Batik, tenun dan songket dapat perhatian dalam pertunjukan fesyen di Paris

 * ROSMAH Mansor (empat, kanan) bergambar bersama Pereka Fesyen Terkenal Itali, Roberto Cavalli (tengah) selepas Pertunjukan Fesyen Eleganza A Presentation of Malaysian Design and Creativity di Le Pre Catelan di Paris, Rabu. Turut sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim (dua, kanan) dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (empat, kiri). - BERNAMA
PARIS, KHAMIS, 05 Jun, 2014: Batik, tenunan diraja Pahang dan songket moden ditonjolkan pada pertunjukan fesyen Eleganza di ibu inovasi fesyen di sini pada Rabu.

Tekstil tradisional dan unik itu dipamerkan hasil koleksi empat pereka terkemuka Malaysia.

Koleksi itu datangnya dari butik 'Faire d Butik' Radzuan Radziwill, 'Enchanting Pua' Syaiful Baharim, 'Gardens of Versailles' Khoon Hooi dan 'Urbanulu' Tom Abang Saufi yang diperagakan di atas pentas oleh para model yang mendapat tepukan memberangsangkan para tetamu.

Keunikan tekstil tradisional itu digubah kepada jaket kontemporari yang cantik yang diperbuat daripada batik yang berkualiti, pakaian haute couture dan pretaporter.

Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menjadi hos pertunjukan yang dihadiri 300 tetamu jemputan dari industri fesyen Paris di Le Pre Catelan di sini sempena Sidang Kemuncak Wanita Global 2014.

Turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Duta Malaysia ke Perancis, Tan Sri Ismail Omar.

Pertunjukan itu dianjurkan oleh Matrade, Tourism Malaysia dan Kraftangan Malaysia bagi mempromosi keunikan dan kepelbagaian kualiti tekstil tempatan.

Dalam ucapan aluannya, Rosmah berharap usaha menonjolkan fabrik Malaysia dapat diterima baik dan dihargai terutama oleh rumahrumah fesyen Perancis.

"Saya tidak fikir tempat yang paling sesuai untuk mempamer keunikan gaya dan warisan Malaysia selain Paris.

"Fabrik ini adalah sebahagian daripada warisan Malaysia. Mereka penuh tradisi yang sejarahnya bermula berkurunkurun lamanya. Kami berbangga dapat mengekalkan tradisi," katanya.

Sementara itu, pereka pakaian pengantin untuk Diamant Blanc di sini, Kim Ktorza begitu teruja dengan kreativiti rekaan Malaysia dan idea yang digambarkan dalam bahan tradisional batik, tenun dan songket.

"Ini pertama kali saya melihat batik Malaysia dan saya amat menyukainya. Saya berharap kami boleh bekerjasama satu hari nanti untuk batik diperkenalkan di koleksi saya," katanya kepada Bernama.

Siti Hasbiah Ali dari Pua Indah Sdn Bhd berkata pertunjukan itu merupakan usaha kerajaan untuk membawa tekstil tradisional Malaysia memasuki pasaran antarabangsa.

"Ini merupakan tempat yang tepat untuk mempamer produk fesyen kita," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment