My Add

Wednesday 4 June 2014

Bentuk undang-undang khusus

Oleh FITRI AFFENDI MUSTAFA

KUALA LUMPUR, SELASA 03 Jun, 2014: Kerajaan disaran membentuk satu undang-undang khusus bagi menghukum mereka yang didapati menghina serta mempertikaikan institusi beraja dan beradat di negara ini.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, perkara tersebut perlu dilaksanakan berikutan masih tidak terdapat undang-undang khusus berkenaan perkara tersebut pada masa ini.

Katanya, kerajaan boleh menjadikan negara seperti Brunei dan Thailand sebagai contoh yang mempunyai undang-undang khu­sus dalam mempertahankan institusi beraja di negara mereka.

"Jika perkara tersebut seperti sudah menjadi satu trend terkini, maka perlu diwujudkan undang-undang seumpama itu. Sekarang ini, pendakwaan untuk kesalahan tersebut hanya di bawah Akta Hasutan.

"Oleh itu, satu undang-undang khusus perlu dibentuk dengan peruntukan yang membolehkan individu yang menghina institusi beraja dikenakan tindakan atau hukuman," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pe­ngendali laman blog http://siemensmelayumaju.blogspot.com dan http://cenangau.blogspot.com yang didakwa menghina Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Laman blog itu didakwa menghina Almarhum Sultan Perak kerana menyifatkan kemangkatan baginda hanya membazirkan wang rakyat.

Sementara itu, menyentuh entri http://cena­ngau.blogspot.com/ 2014 /15/dyana-sofya-dasar-bubar-askar-melayu-html yang meminta supaya Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dibubarkan Musa berkata, kerajaan perlu menjalankan siasatan teliti berkenaan kesahihan perkara tersebut.

"Jika terbukti si pelaku berkata demikian, maka beliau perlu belajar semula mata pelajaran sejarah mengenai penubuhan RAMD. Mungkin, dia seorang yang buta sejarah," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Ya­yasan Murni Aqidah, Datuk Aidit Ghazali berkata, individu yang menghina institusi tersebut telah menderhaka kepada raja dan mereka yang terlibat mesti didakwa segera supaya menjadi pengajaran kepada orang lain.

"Saya melihat kebiadaban sebegini semakin menular, malah yang paling menyedihkan, terdapat segelintir orang Melayu yang hilang pegangan akidah dan kesetiaan kepada negara turut terlibat sama.

"Oleh itu, saya ingatkan mere­ka supaya jangan bermain dengan api berkenaan sensitiviti orang Melayu serta pihak berkuasa pula jangan berlengah untuk mengambil tindakan jika terdapat bukti berkaitan perkara tersebut," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment