My Add

Tuesday 10 June 2014

Berupaya mantapkan urusan pembangunan hartanah negeri

NUSAJAYA, ISNIN 09 Jun, 2014: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menyifatkan rang undang-undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) mampu memantapkan urusan pembangunan hartanah terutamanya yang melibatkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah di negeri ini.

Lima ADUN wakil kerajaan yang membahaskan rang undang-undang baharu itu ialah ADUN Tiram, Datuk Maulizan Bujang; ADUN Bukit Permai, Ali Mazat Salleh; ADUN Kukup, Suhaimi Salleh; ADUN Serom, Abd. Razak Minhat dan ADUN Rengit, Ayub Jamil.

Kesemua mereka sebulat suara bersetuju agar rang undang-undang itu diluluskan dalam sidang Dewan Undang Negeri (DUN) hari ini.

Maulizan berkata, pembentangan rang undang-undang itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat kerana dilihat mampu menyelesaikan masalah perumahan dan pembangunan hartanah di negeri itu.

"Saya amat bersetuju dengan penubuhan lembaga ini kerana akan wujud sebuah entiti yang bakal menguruskan hal yang berkaitan perumahan atau kediaman rakyat negeri Johor secara lebih berkesan, berpusat dan berfokus.

"Johor merupakan sebuah negeri yang pesat membangun. Oleh itu, kerajaan akan memastikan semua golongan tidak terpinggir dalam arus pembangunan yang pesat ini," katanya yang pertama membahaskan rang undang-undang berkenaan hari ini.

Maulizan berkata, lembaga berkenaan diharap dapat mengenal pasti tanah di kawasan bandar untuk dibangunkan dengan rumah bagi memastikan golongan itu dapat tinggal di kawasan yang pesat membangun.

Selain itu, katanya, kewujudan LPHJ juga diharap dapat menangani masalah projek terbengkalai di negeri itu dengan lebih cepat.

Sementara itu, Ali Mazat berkata, LPHJ boleh mencontohi peranan yang dimainkan Felda dalam membantu rakyat khususnya penduduk luar bandar untuk memiliki rumah dan tanah sendiri.

"Lembaga ini juga diharap dapat menyelesaikan masalah miskin bandar. Saya berharap agar lembaga ini bukan sahaja diluluskan, malah disegerakan agar ia dapat dinikmati oleh rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment