My Add

Tuesday 10 June 2014

Bomba terima 4 jentera bantu lindungi pelaburan industri

KUALA LUMPUR, SELASA 10 Jun, 2014: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia hari ini menerima empat jentera bagi menangani insiden membabitkan bahan kimia, bertujuan menjaga keselamatan pelaburan industri elektrik dan elektronik (E&E) serta kimia negara yang kini bernilai RM203.4 bilion.

Empat jentera iaitu masing-masing dua jentera bahan kimia berbahaya (Hazmat) dan jentera dekontaminasi bernilai RM8 juta itu diserahkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Bercakap pada majlis penyerahan itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, dua jentera dekontaminasi itu merupakan tambahan paling berharga kepada aset JBPM.

Dengan tambahan itu, JBPM kini memiliki 18 jentera Hazmat dan dua jentera dekontaminasi, katanya.

Empat aset terbabit akan ditugaskan di kawasan industri di Alor Gajah, Melaka dan Bintulu, Sarawak, katanya.

Abdul Rahman berkata, pertambahan aset khas menangani bahan kimia berbahaya amat penting memandangkan pada tahun lalu sebanyak 1,421 kes kemalangan bahan kimia dilapor di seluruh negara, atau secara purata 118 kes sebulan.

Sementara itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang hadir merasmikan majlis penyerahan berkenaan berkata, industri E&E serta kimia merupakan penyumbang utama pelaburan negara dalam sektor perkilangan iaitu sehingga Disember lalu mencatatkan pelaburan bernilai RM161.8 bilion bagi E&E manakala kimia pula RM41.6 bilion, katanya.

"Pelaburan kedua-dua industri ini telah mewujudkan 809,000 peluang pekerjaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment