My Add

Wednesday 11 June 2014

Buat keputusan bantu atau biarkan MAS bergerak sendiri

KUALA LUMPUR, SELASA 10 Jun, 2014: Kerajaan perlu membuat keputusan sama ada untuk terus membantu Malaysian Airline System (MAS) atau membiarkan syarikat penerbangan itu bergerak sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC,) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kewujudan syarikat penerbangan tambang murah dan dasar langit terbuka menyaksikan dasar penerbangan negara yang 'melindungi' MAS selama ini sudah tidak relevan.

"Saya sudah cakap dahulu, MAS dilindungi oleh dasar penerbangan negara, sebab itu kerajaan boleh menyalurkan dana kepada syarikat ini kerana ia menepati dasar kerajaan.

"Bagaimanapun, sekarang ini apabila ada dasar langit terbuka dan ada syarikat tambang murah, dasar kerajaan sudah tidak sesuai lagi kerana masa depan MAS bergantung kepada dasar kerajaan itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas langkah Khazanah Nasional Bhd. mengemukakan rancangan untuk menstruktur semula MAS dalam tempoh setahun.

Nur Jazlan turut mempersoalkan mengapa kerajaan perlu membelanjakan wang rakyat untuk menghidupkan MAS tanpa memperoleh hasil yang berkekalan dan positif.

"Sudah berapa tahun kerajaan 'sokong' MAS, walaupun ada yang kata MAS itu syarikat disenaraikan (di Bursa Malaysia) dan tidak menerima duit kerajaan, tetapi pelaburnya adalah Khazanah Nasional yang wang pokok datang daripada kerajaan juga.

"Jadi, sudah tiba masa untuk kerajaan buat keputusan sama ada biarkan MAS terus hidup atau biar dia 'terbang' sendiri," katanya.

Beliau berharap pelan penstrukturan MAS itu akan berjaya kerana ia sudah banyak kali dilakukan sejak beberapa tahun lalu.

"Saya berharap usaha kali ini dapat membawa kepada penyelesaian yang positif ke arah menghidupkan semula MAS," jelasnya.

Sementara itu, Jazlan berkata, PAC puas hati dengan penjelasan berkaitan kelemahan dalam pengurusan pembinaan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Perak.

Katanya, kampus yang siap dibina pada Januari 2012 itu sedang menjalani penambahbaikan dan dijangka siap sepenuhnya bulan ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment