My Add

Monday 16 June 2014

Buruh dijel 13 tahun, 10 sebatan

JOHOR BAHRU, AHAD 15 Jun, 2014: Seorang buruh dipenjara 13 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki Mac lalu.

Tertuduh, Kurnaedhy Aminudin, 39, yang mempunyai penyakit mental membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Hakim, Muhammad Jamil Hussin.

Kurnaedhy didakwa menyebabkan kematian Ahmad Syukri Abu Bakar@Mohamed, 41, di Masjid As Muslihin, Jalan Persiaran Permai, Kempas Baru pada pukul 7.53 malam, 31 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dan mangsa yang saling mengenali tiba di masjid yang berhampiran Hospital Permai di sini pukul 7.30 malam untuk menunaikan solat Maghrib dan berada di saf yang sama.

Ketika mengangkat takbir 'Allahuakbar', tertuduh terus mengeluarkan parang yang diselit di dalam seluarnya dan berundur ke belakang mangsa sebelum menikamnya di bahagian pinggang.

Mangsa terdorong ke hadapan dan menjerit meminta tolong, namun jemaah lain tidak berpaling kerana sedang menunaikan solat.

Mangsa terus berlari ke luar masjid untuk menyelamatkan diri, namun dikejar oleh tertuduh dan apabila sampai di kaki lima masjid, tertuduh berjaya menikam mangsa di beberapa bahagian badan seperti perut, dada serta leher.

Tertuduh kemudiannya membasuh tangan dan mengambil wuduk lalu menunaikan semula solat Maghrib.

Kurnaedhy bagaimanapun ditangkap oleh sepasukan polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan daripada jemaah.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Afif Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment