My Add

Wednesday 4 June 2014

Cadbury gembira produk beroperasi 40 tahun disahkan halal

KUALA LUMPUR, SELASA 03 Jun, 2014: Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. (Cadbury) menyatakan rasa gembira berikutan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengesahkan kesemua produk coklat syarikat berkenaan yang diperbuat dan dijual di Malaysia adalah halal.

Pengarah Urusan Mondelez Malaysia, Sunil Sethi berkata, keputusan itu telah mengesahkan kepercayaan mereka selama ini bahawa coklat Cadbury yang dibuat dan dijual di negara ini adalah halal.

"Kami telah beroperasi di Malaysia lebih 40 tahun dan tiada apa-apa perkara yang lebih penting buat kami melainkan kepercayaan pengguna terhadap kami.

"Matlamat kami kini adalah untuk maju ke hadapan dan memberi tumpuan kepada objektif kami yang utama, iaitu menyebarkan kegembiraan - satu perkara yang merupakan nadi penting di Cadbury," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jakim semalam mengesahkan dua sampel produk coklat keluaran syarikat Cadbury yang diambil terus daripada kilang syarikat itu dikesan tidak mengandungi DNA babi.

Sebelum ini, umat Islam di negara ini dikejutkan dengan penemuan DNA babi dalam dua produk Cadbury tersebut apabila Kementerian Kesihatan memaklumkan perkara berkenaan selepas menjalankan ujian bagi tujuan pemantauan.

Jelas Sunil, walaupun peristiwa seumpama itu merupakan sesuatu yang tidak diingini namun syarikat tersebut berterima kasih kepada pihak berkuasa yang berkaitan kerana telah menjernihkan keadaan dalam isu berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, semua produk Cadbury yang diperbuat dan dijual di negara ini adalah sejajar dengan garis panduan halal Jakim.

Sunil menambah, pihaknya memahami betapa pentingnya budaya dan agama bagi semua masyarakat di Malaysia dan umat Islam adalah penduduk terbesar.

Atas sebab itu, jelas beliau, pihaknya melihat isu halal sentiasa menjadi keutamaan paling penting yang tidak boleh dikompromi.

"Kami telah menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman (IHC) sejak mendapat persijilan pada 2004 untuk menunjukkan komitmen terhadap pengurusan halal. Tenaga kerja kami dilatih dalam persijilan yang perlu dan penting ini.

"Cadbury akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan memantau proses kualiti yang diperlukan secara dalaman," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment