My Add

Tuesday 10 June 2014


Catuan air mungkin berulang

Oleh ADLINAHANI KHALIL dan NORAINA NAZERI

 * MAHDZIR Khalid (kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Eksekutif Eclimo Sdn. Bhd., Datuk Dennis Chuah (dua dari kiri) mengenai motosikal kuasa bateri sambil diperhatikan oleh Nor' Aini Abdul Wahab (kanan) selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Teknologi Hijau sempena Minggu Teknologi Hijau 2014 di Hotel Pullman, Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN 09 Jun, 2014: Catuan bekalan air di Lembah Klang dijangka berulang sekiranya paras air di Empangan Sungai Selangor mengalami penurunan ekoran fenomena El Nino.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, fenomena El Nino dijangka menyebabkan cuaca lebih kering dan panas daripada biasa.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung memberi kesan terhadap paras air di empangan yang berkemungkinan menyebabkan berlaku catuan bekalan air jika situasi menjadi kritikal.

"Menurut ramalan kaji cuaca United Kingdom (UK), El Nino dijangka melanda negara-negara Asia termasuk Malaysia bermula Julai hingga September ini.

"Keadaan tersebut dijangka bertambah buruk sekiranya kuantiti hujan terus merosot," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Teknologi Hijau sempena Minggu Teknologi Hijau 2014, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Nor' Aini Abdul Wahab.

Persidangan yang julung kali diadakan itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, paras air di Empangan Sungai Selangor kini pada paras 43 peratus berbanding 36 peratus ketika krisis air melanda Lembah Klang sebelum ini.

Beliau berkata, paras tersebut berkemungkinan akan merosot jika tiada hujan direkodkan sehingga hujung bulan ini.

"Empangan tersebut membekalkan kira-kira 60 peratus bekalan air kepada semua penduduk di sekitar Lembah Klang dan pastinya akan menimbulkan kesukaran jika paras air menurun," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar masyarakat menggunakan air secara bijak sebagai persediaan untuk berdepan dengan sebarang situasi yang tidak dijangka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment