My Add

Thursday 5 June 2014

Cubaan seludup keluar diesel gagal

JOHOR BAHRU, KHAMIS 05 Jun, 2014: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 76,800 liter minyak diesel bersubsidi selepas menahan sebuah kapal tangki dan dua penjaga kapal terbabit di Sungai Pasak, dekat Kota Tinggi, semalam.

Komander PPM Wilayah Dua ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata penahanan dilakukan pada pukul 1 tengah hari oleh seorang pegawai dan empat anggota pasukan itu yang melakukan ’Operasi Pensura’ di kawasan berkenaan.

"Semasa menahan kapal yang didaftarkan dengan nama ’Ulaanbaatar’ itu, didapati dua lelaki rakyat China berada di dalamnya yang dipercayai penjaga kapal terbabit.

"Pemeriksaan kemudian menemui kira-kira 76,800 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM153,600 di dalam tangki kapal itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khiu berkata pemeriksaan lanjut mendapati kapal yang dianggarkan bernilai RM2.5 juta itu beroperasi di luar kawasan yang dibenarkan dan melanggar syarat-syarat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Kes itu, katanya, kini diserahkan kepada Jabatan Imigresen, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Jabatan Laut untuk tindakan lanjut.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment