My Add

Thursday 5 June 2014

Dakwaan pelayar Britain ternampak MH370 disiasat

KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Kerajaan akan menyiasat dakwaan seorang pelayar wanita Britain ternampak pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dalam keadaan terbakar di Lautan Hindi pada 8 Mac lalu seperti dilaporkan sebuah portal berita Thailand semalam.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dakwaan tersebut bagaimanapun tidak disertakan dengan sebarang bukti kukuh justeru, kebenarannya tidak dapat disahkan.

Jelas beliau, dakwaan terbaru itu juga tidak akan mengubah operasi pencarian di lokasi terkini yang telah disahkan berdasarkan isyarat ping yang telah diperoleh sebelum ini.

“Seperti biasa, ia (dakwaan itu) mesti disahkan malah sebelum ini kami terima banyak maklumat termasuk imej satelit dari China dan semuanya telah diambil kira oleh pakar.

“Namun kalau kita ikut semua dakwaan ini, ia tidak akan membawa kita ke tempat yang sepatutnya dituju dan tidak adil juga kepada pasukan mencari yang sedang bekerja keras memastikan pesawat ditemui," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katherine Tee, 41, seperti dilaporkan media Thailand mendakwa melihat pesawat berkenaan ketika belayar di Lautan Hindi namun baru memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

Hishammuddin berkata, sekiranya terdapat maklumat baharu, kerajaan telah menyediakan struktur terbaik melalui penubuhan beberapa jawatankuasa sebelum ini untuk mengambil sebarang tindakan susulan yang diperlukan.

Sementara itu, katanya, ahli keluarga penumpang pesawat dari China telah mula dapat menerima hakikat yang berlaku berdasarkan maklum balas yang diterima beliau ketika berkunjung ke negara itu minggu lalu.

Mengenai ahli keluarga dan waris mangsa dari negara ini pula, beliau berkata, Jawatankuasa Waris Penumpang sentiasa terbuka untuk membantu sekiranya mereka mempunyai sebarang keperluan dan aduan untuk disampaikan.

“Kalau ada apa-apa perkara yang mereka perlukan jumpa saya atau jawatankuasa itu dan kami akan berikan apa sahaja maklumat yang ada.

“Di China, ahli keluarga sudah mula menerima kenyataan namun mereka mahu pencarian diteruskan dan itulah jaminan yang saya berikan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment