My Add

Thursday 12 June 2014

Dua bekas pengarah syarikat dijel, denda

KUALA LUMPUR, RABU 11 Jun, 2014: Dua bekas pengarah syarikat Asia Ceramic Marketing Sdn. Bhd. masing-masing dihukum penjara dua tahun dan denda RM180,000 serta penjara 10 tahun dan denda RM1.6 juta selepas didapati bersalah atas 620 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram kira-kira RM24 juta, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Leong Guan Yeu, 47, dan Lim Long Yew, 43.

Dalam keputusannya, beliau berkata, pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Bagi kesemua sembilan pertuduhan memindahkan wang yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke akaun masing-masing, Guan Yeu dihukum penjara satu tahun dan denda RM180,000 manakala bagi sembilan pertuduhan untuk kesalahan yang sama, Long Yew dipenjarakan enam tahun dan denda RM180,000.

Sementara itu, syarikat Asia Ceramic Marketing yang merupakan orang kena saman (OKS) pula diperintah untuk membayar RM180,000 bagi kesemua sembilan pertuduhan yang sama.

Bagi 130 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Guan Yeu dihukum penjara satu tahun menjadikan keseluruhan hukuman terhadap tertuduh itu adalah dua tahun dan denda berjumlah RM180,000.

Dalam pada itu, bagi 472 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Long Yew, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM1.4 juta, yang menjadikan jumlah keseluruhan penjara terhadap tertuduh adalah 10 tahun dan denda RM1.6 juta.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa tempat antara 19 Jun 2008 dan 19 Oktober 2009.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Malaysia (BNM), Akmalzatul Mohd. Nawi dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam Haresh Mahadevan dan Hariharan Tara Singh.

Sebanyak 37 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan telah dipanggil sepanjang prosiding ini.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguh pelaksanaan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh, bagaimanapun mengarahkan mereka membayar denda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment