My Add

Wednesday 11 June 2014

Empat lelaki dituduh rogol dua remaja perempuan di Ketereh

KOTA BAHARU, RABU 11 Jun, 2014: Empat lelaki termasuk dua bawah umur didakwa di mahkamah di sini hari ini terhadap pertuduhan merogol dua remaja perempuan di sebuah rumah kosong di Kampung Hutan Pasir, Ketereh bulan lepas.

Muhmed Azroel Hassan, 23, dan Che Azuan Che Hasan, 32, masing-masing menghadapi dua pertuduhan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini manakala dua tertuduh bawah umur berusia 15 dan 17 tahun masing-masing menghadapi satu pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini.

Kesemua tertuduh yang berpakaian lokap polis, berasal dari Kampung Hutan Pasir, Ketereh.

Muhmed Azroel dan Che Azuan, penganggur, masing-masing bagi pertuduhan pertama didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun 9 bulan dalam kehadiran orang lain di rumah kosong berkenaan antara pukul 7.30 malam dan 11 malam pada 20 Mei lepas.

Bagi pertuduhan kedua, mereka masing-masing didakwa melakukan kesalahan yang sama terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 10 bulan di tempat dan masa yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 376 (2)© Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan dalam prosiding yang dilakukan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noor Haslinda Che Seman.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmah Azhari.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh bawah umur berusia 17 tahun mengaku bersalah merogol remaja perempuan berusia 15 tahun 10 bulan dalam kehadiran orang lain di rumah kosong berkenaan di tempat dan pada waktu sama.

Sementara tertuduh berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol remaja perempuan berusia 17 tahun 9 bulan dalam kehadiran orang lain di tempat dan pada waktu yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2)© Kanun Keseksaan dan hukuman di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Prosiding dilakukan secara tertutup di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Md Zukri, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh bawah umur itu dijamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan.

Kesemua kes akan disebut semula pada 13 Julai ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment