My Add

Tuesday 10 June 2014

Esscom akan menfaatkan sepenuhnya FOB

TAWAU, SELASA 10 Jun, 2014: Kewujudan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk mengekang jenayah rentas sempadan.

Sekalipun tidak dapat memberi jaminan berupaya menghalang sepenuhnya kegiatan itu, Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek berkata mereka akan berusaha sedaya upaya mengekang insiden yang tidak diingini.

``FOB itu merupakan satu idea terbaik untuk mempertingkatkan keupayaan Esscom dalam menghalang segala bentuk jenayah rentas sempadan termasuk penculikan yang berlaku di kawasan Esszone. Ia dapat mempercepatkan tindakan pihak keselamatan jika berlaku insiden tidak diingini.

``Kita akan mempunyai kupayaan tinggi untuk memintas kapal atau bot asing yang cuba menceroboh memasuki perairan negara kerana FOB itu nanti akan dilengkapi dengan peralatan seperti bot peronda, bot pemintas, landasan helikopter serta radar untuk mengesan sebarang kemasukan kapal atau bot yang cuba memasuki perairan negara,'' katanya ketika dihubungi di sini.

Penubuhan FOB itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim semasa melawat Esscom pada hujung bulan lepas.

FOB akan memanfaatkan pelantar minyak terbiar milik Petronas di sekitar perairan timur Sabah.

Mohammad sebelum ini dilapor berkata Esscom berharap FOB pertama di Semporna akan siap hujung tahun ini.

Sementara itu, mengulas lawatan kerja Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke pulau-pulau sekitar Esszone termasuk pelantar minyak terbiar berhampiran Pulau Mabul semalam, Mohammad berkata, kerajaan sedang bersungguh-sungguh memastikan Esscom berjaya menggalas tanggungjawabnya menjaga kedaulatan Sabah.

``Ketika lawatan itu kami berbincang mengenai beberapa perkara untuk memantapkan Esscom. Sudah tentu saya berharap dengan adanya lawatan itu dapat mempercepatkan lagi proses pengwujudan FOB di kawasan yang sudah dikenal pasti,'' katanya.

Mohammad turut berterima kasih kepada syarikat minyak dan gas negara Petronas yang bersetuju menyumbang pelantar minyak terbiarnya untuk usaha menjaga keselamatan perairan Sabah.

``Saya juga berharap ada pihak lain yang turut berbesar hati menyumbangkan sesuatu kepada Esscom untuk membantu kami mempertingkatkan kawalan keselamatan di Esszone, sekali gus dapat memastikan keamanan dan keharmonian rakyat Sabah terus terjamin,'' katanya.

Esszone merangkumi kawasan sepanjang 1,733.7 kilometer meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment