My Add

Friday 6 June 2014

Esscom diperkasa

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

 * HISHAMMUDDIN Tun Hussein (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Konsep Sea Basing di kawasan ESSCOM di Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin (dua, kanan). - BERNAMA
KUALA LUMPUR, KHAMIS 05 Jun, 2014: Operasi di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) diperkasa secara menyeluruh melibatkan penambahan lebih banyak aset serta pembinaan pangkalan hadapan baharu di pulau-pulau strategik termasuk menggunakan pelantar minyak milik Petronas dan syarikat cari gali.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penempatan kapal auxilliary milik Malaysia International Shipping Corporation (MISC) seperti Bunga Mas 5 (BM5) dan Bunga Mas 6 (BM6) sebagai pusat operasi kawalan akan turut dipertimbangkan bagi mempercepatkan tindak balas pihak berkuasa ke atas sebarang ancaman.

Tidak cukup dengan itu menurut beliau, sistem pemantauan dari udara menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV) akan turut diputuskan selepas perbincangan oleh pakar dan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Penting untuk kita kaji semula Esscom dalam konteks pelbagai ancaman baharu yang kita hadapi dan di sini, penglibatan pihak ketiga termasuk Petronas dengan pelantar minyak yang telah ditauliah akan dilihat sebagai pangkalan hadapan.

"Pelantar minyak Petronas ini apabila ditauliah, tidak lagi digunakan malah mereka perlu membelanjakan wang ringgit untuk dileraikan maka jika dijadikan pangkalan hadapan, bukan sahaja menjimatkan tetapi boleh membantu kita ke kawasan yang strategik," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Esscom di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Dr. Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek; Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd. Amdan Kurish, wakil daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), wakil Petronas dan beberapa pihak berkepentingan.

Hishammuddin berkata, proses memperkasa Esscom yang meliputi kawasan pantai sepanjang 1,400 kilometer akan dibuat segera dan dijangka menjelang akhir tahun ini sekurangkurangnya dua pelantar minyak dapat diletakkan di situ selepas kerajaan berbincang dengan pemiliknya.

Sementara itu katanya, empat perkara utama dibincangkan sepanjang mesyuarat hampir dua jam itu iaitu punca berlakunya ancaman di Esscom, asetaset yang boleh digunakan, keupayaan dan kerjasama antara agensi penguatkuasaan serta risikan.

"Yang pertama adalah sistem iaitu apa sebabnya kita perlu memastikan keselamatan dan kami dapati ia berpunca kepada kepentingan ekonomi, yang kedua pula adalah penggunaan jentera iaitu aset yang perlu diletakkan untuk menjamin keselamatan di Esscom.

"Ketiga adalah sumber manusia iaitu latihan bukan sahaja kepada pasukan khas tetapi melibatkan polis, Maritim Malaysia dan juga agensi keselamatan lain seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya.

Tambahnya, kerajaan turut menjalin kerjasama erat dengan negara jiran terutama Filipina, Indonesia dan Brunei memandangkan ancaman keselamatan yang dihadapi memerlukan peranan di peringkat antarabangsa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment