My Add

Thursday, 5 June 2014

Gobind salahkan Khalid berhubung manifesto pakatan

 Gobind Singh Deo, Khalid Ibrahim
KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Selepas menyalahkan Pas yang dikatakan punca kekalahan DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menyelar pula sikap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana menafikan penghapusan lebuh raya bertol adalah sebahagian daripada manifesto pakatan pembangkang di negeri itu sebelum ini.

Sambil merujuk kepada isu pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) di Petaling Jaya, Gobind berkata, Abdul Khalid tidak sepatutnya memandang rendah rakyat Selangor dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian walaupun sebelum ini manifesto pakatan pembangkang pernah menyebut jika mereka menjadi kerajaan Persekutuan, maka lebuh raya bertol akan dihapuskan.

Ketidaksepakatan dalam pakatan pembangkang lebih terserlah apabila Gobind yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, terus mendesak Abdul Khalid agar tidak lari daripada hakikat yang telah dicapai di dalam manifesto sebelum ini.

“Kita semua tahu kita tidak menang sebagai kerajaan Persekutuan. Tetapi kita menang di Selangor dan lebuh raya ini (Kidex) merentasi Selangor, jadi kerajaan negeri ada banyak kuasa untuk menghentikan atau setidak-tidaknya memberi tekanan kepada kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan projek lebuh raya bertol ini.

“Sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid seharusnya mencari jalan untuk berbuat demikian. Beliau kena faham ini dan berhenti memberi gambaran kepada semua bahawa dia adalah seorang yang lemah dan tidak berdaya," katanya di dalam laman sosial Facebook hari ini.

Pembinaan Kidex sebelum ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk Selangor terutama di sekitar kawasan terlibat di Petaling Jaya yang mendesak kerajaan negeri Selangor menghentikan projek tersebut yang disifatkan bakal mendatangkan kesan buruk kepada rakyat di negeri itu.

Ramai yang mendesak agar kerajaan negeri memenuhi manifesto mereka untuk menghapuskan tol jika menang Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, namun pembinaan lebuh raya itu membuktikan sebaliknya.

Mereka mendakwa pembinaan Kidex juga akan menyebabkan perniagaan hampir 600 peniaga dan 3,784 pemilik tanah berada dalam situasi tidak menentu kerana nilai harga hartanah dikhuatiri merudum akibat masalah yang timbul kelak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment