My Add

Saturday 7 June 2014

Gobind tidak kenang budi Pas

KUALA LUMPUR, JUMAAT 06 Jun, 2014: Keceluparan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang menuduh cadangan pelaksanaan hukum hudud oleh Pas sebagai punca kekalahan calon DAP, Dyana Sof­ya Mohd. Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan baru-baru ini merupakan perbuatan tidak mengenang budi.

Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, DAP sepatutnya berterima kasih dan menghargai sumbangan dan bantuan yang diberikan ahli-ahli Pas yang berkorban masa, tenaga dan wang ringgit bagi membantu kempen calon mereka dalam PRK itu.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan berkata, Pas sebagai sekutu pembangkang bersusah payah mengerah jentera parti termasuk mengarahkan kesemua ahlinya di 12 kawasan di Kelantan untuk melakukan gerak kerja di Teluk Intan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

"Gobind yang menuding satu jari kepada Pas, beliau perlu sedar empat jari lagi kena pada dia sendiri kerana DAP sepatutnya mengkaji punca sebenar kekalahan di Teluk Intan dan bukannya meletakkan kesalahan kepada orang lain.

"Terlalu banyak faktor kekalahan calon DAP yang mewakili pembangkang, Gobind kena hargai kerja kuat Pas kerana hampir ratusan ribu duit telah dihabiskan, kita amat kesal dengan kenyataan sebegini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment