My Add

Thursday 5 June 2014

Gubal Akta Syarikat selaras perkembangan ICT

KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Akta Syarikat 1965 perlu digubal dan dipinda agar bersesuaian dengan perkembangan ekonomi negara yang turut terkesan dari transformasi dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Dr. Shazali Abu Mansor berkata, pindaan itu perlu selaras dengan senario perniagaan global yang menjadikan ICT sebagai platform utama dalam menjalankan semua urusan berkaitannya.

“Akta Syarikat 1965 perlu dipinda bagi memastikan bersesuaian dengan perkembangan ICT yang semakin pesat. Pendekatan ICT kini banyak digunakan dalam perniagaan seperti urusan dokumentasi, jual beli, perlindungan hak syarikat dan sebagainya.

“Undang-undang baharu yang lebih relevan perlu diwujudkan bagi melindungi hak syarikat dan pekerja agar segala proses berkaitan dapat dilaksanakan dengan mudah dan selamat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas perancangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang akan membentangkan Rang Undang-undang Syarikat dalam sidang Dewan Rakyat akan datang untuk menggantikan Akta Syarikat 1965 yang telah digunapakai sejak 48 tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek semalam berkata, perubahan tersebut dibuat bagi merancakkan pembangunan ekonomi negara melalui penubuhan lebih banyak syarikat korporat yang mampu menyumbang kepada pencapaian Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Amir Baharuddin pula berkata, akta tersebut perlu diberi penekanan khusus kepada bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negara ini.

“Dengan wujudnya pelaksanaan yang memfokuskan terhadap R&D, pekerja berkualiti yang memiliki kemahiran berinovasi dapat dilahirkan dan menyumbang kepada aspirasi kerajaan ke arah pembentukan negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Sementara itu, akta tersebut perlu dinaik taraf dengan pelaksanaan yang dapat meyakinkan pelabur tempatan untuk membuat pelaburan dalam pasaran tempatan bagi perkembangan ekonomi negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment