My Add

Friday 6 June 2014

Indonesia enggan tandatangan

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

TELUK KEMANG, KHAMIS 05 Jun, 2014: Perbincangan berhubung masalah jerebu merentasi sempadan melibatkan beberapa negara Asia gagal mencapai kata sepakat apabila Indonesia enggan menandatangani perjanjian dalam pertemuan di Brunei, Mac lalu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. James Dawos Mamit berkata, perbincangan itu bertujuan mencari persetujuan antara negara terlibat dalam mengawal pembakaran terbuka sehingga mengakibatkan masalah jerebu.

"Malaysia, Singapura dan Thailand telah menandatangani perjanjian untuk mengawal pembakaran terbuka, sekali gus mengelakkan berlakunya jerebu sehingga menjejaskan negara jiran.

"Namun, Indonesia yang sering berlaku pembakaran terbuka di Sumatera, khususnya di kawasan tanah gambut masih enggan menandatangani perjanjian tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Rakan Alam Sekitar sempena Hari Alam Sekitar Sedunia di Dataran Teluk Kemang, Port Dickson dekat sini hari ini.

Jelasnya, asap yang terhasil daripada pembakaran terbuka di Sumatera ditiup angin ke negara ini sehingga mengakibatkan terjadinya fenomena jerebu.

"Lebih membimbangkan, apabila fenomena El Nino berlaku telah menyebabkan Malaysia menghadapi musim kemarau akibat peningkatan suhu secara tidak langsung, sekali gus indeks pencemaran alam akan berlaku.

"Oleh itu, semua pihak digesa untuk tidak menjalankan pembakaran terbuka. Pihak kerajaan negeri dan kerajaan tempatan serta pemilik tanah hendaklah memantau kawasan yang mudah dan sering terbakar," ujarnya.

Katanya, sebagai persediaan menghadapi fenomena cuaca ElNino, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil beberapa tindakan.

"Antaranya, mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka di seluruh negara, pemantauan rapi ke atas kawasan tanah gambut melalui Prosedur Tetap Operasi (OTP), Program Pencegahan dan Pengurusan Tanah Gambut Sering Terbakar, Perintah Larangan Pembakaran Terbuka, Pemantauan Melalui Udara serta beberapa langkah lagi.

"Mereka yang melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduaduanya sekali," katanya.

Tambahnya, sehingga 26 Mei lalu, 38 kertas siasatan bagi kesalahan melakukan pembakaran terbuka sedang dilengkapkan untuk tujuan pendakwaan di mahkamah.

"Dalam tempoh sama, 3,782 kes pembakaran terbuka telah dikesan iaitu pembakaran terbuka melibatkan kawasan hutan (810 kes), kawasan pertanian (1,198 kes), kawasan industri (28 kes), kawasan pembinaan (116 kes), tapak pelupusan sampah (66 kes), kawasan belukar (887 kes) dan lainlain pembakaran terbuka kecil (677 kes).

"Daripada jumlah itu, 236 kes pembakaran terbuka telah dikenakan tindakan kompaun dan 86 kes dikeluarkan notis amaran," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment