My Add

Thursday 12 June 2014

Iraq: ISIL culik 48 orang dan tawan bandar Tikrit

ANKARA, KHAMIS 12 Jun, 2014: Militan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) bertindak menyerang bangunan Konsulat Turki di Mosul semalam, selain menculik 48 orang termasuk Konsulat.

Kejadian penculikan itu berlaku sehari selepas militan ISIL bertindak menculik 28 orang pemandu warganegara Turki, termasuk menawan Mosul, sekitar rantau Nineveh, Kirkuk dan wilayah Salaheddin.

"Seramai 48 orang warga Turki termasuk Konsulat, kakitangan kedutaan, pengawal keselamatan dan tiga orang kanak-kanak telah diculik.

"Kesemua mereka berada dalam keadaan selamat," kata seorang pegawai Turki yang enggan namanya didedahkan.

Susulan penculikan tersebut, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bertindak mengadakan satu menyuarat tergempar bersama Timbalan Perdana Menteri, Besir Atalay dan Ketua Perisik Negara, Hakan Fidan.

Pertemuan tersebut diadakan bagi membincangkan tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil, selain cara untuk membebaskan mangsa penculikan.

Dalam perkembangan sama, kumpulan militan berjaya menawan bandar Tikrit dan membebaskan 300 orang tahanan dari sebuah penjara.

"Semua kawasan Tikrit kini berada di dalam genggaman kumpulan militan," kata seorang Kolonel polis.

Seorang Brigadier Jeneral memberitahu, kumpulan militan yang dipercayai anggota kumpulan ISIL, melancarkan serangan dari arah utara, barat dan selatan bandar berkenaan. - AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment