Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, beliau sendiri yakin dan percaya ramai ahli Pas juga menyedari perkara itu lalu enggan memberikan sokongan kepada parti yang menentang BN iaitu DAP.
Saya percaya kertas undi rosak sebanyak 543 undi itu datang daripada ahli-ahli Pas yang enggan memberikan sokongan kepada calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud kerana mereka terlalu meluat dengan sikap biadab calon itu berhubung isu hudud.
Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong BN, kita amat berterima kasih kepada ahli-ahli Pas ini kerana memprotes melalui cara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Percaturan DAP meletakkan calon Melayu, Dyana Sofya bertanding dalam PRK Parlimen Teluk Intan minggu lalu tidak menjadi apabila calon BN, Datuk Mah Siew Keong berjaya memenangi hati pengundi dengan memperoleh majoriti 238 undi.
Siew Keong yang merupakan Presiden Gerakan memperoleh sejumlah 20,157 undi manakala Dyana Sofya meraih 19,919 undi.
Ekoran itu, DAP mula menunjukkan tembelang sebenar sikap tuding-menuding menyalahkan Pas yang berkeras mahu melaksanakan hudud di Kelantan sehingga menyebabkan calon DAP kalah dalam pilihan raya itu.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyelar DAP apabila mengaitkan isu pelaksanaan hudud sebagai penyebab kepada kekalahan parti itu, sebaliknya menyatakan bahawa punca sebenar DAP tewas adalah kerana pengundi Cina memprotes pemilihan calon Melayu iaitu Dyana Sofya.
Dalam pada itu, Muhammad Zahid berkata, sikap Dyana Sofya yang bermuka-muka ketika berhadapan dengan pengundi pelbagai kaum di Teluk Intan membuatkan ramai yang menganggap beliau sebenarnya mempunyai sindrom perasan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment