My Add

Wednesday 4 June 2014

Jakim digesa kaji semula beri sijil halal

Oleh LILIS SURIANI OMAR

KUALA LUMPUR, SELASA 03 Jun, 2014: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa mengkaji semula kaedah pengeluaran sijil halal kepada pengusaha produk makanan di negara ini khususnya bagi membendung masalah status halal yang diberikan kepada pemilik syarikat bukan Islam.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, perkara itu termasuk membabitkan syarikat Cadbury Confectionery (M) Sdn. Bhd. berikutan dua produk coklatnya dikatakan tercemar dengan Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine) oleh Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.

Katanya, walaupun pro­duk tersebut disahkan tidak mengandungi DNA babi setelah keputusan ujian Jabatan Kimia dijalankan terhadap sampel dari kilang, pencemaran masih boleh berlaku pada peringkat pasaran dan mendatangkan risiko kepada pengguna Islam.

"Apabila isu ini timbul dan media sudah memainkan perkara ini, tidak mustahil pihak pengilang sudah membuat persediaan untuk diperiksa. Kemungkinan juga sampel ujian itu diganti dengan bahan lain dan akhirnya pengguna diperbodohkan.

"Dalam pada itu, saya mempersoalkan mengapa syarikat Cadbury yang bukan dimiliki orang Islam mudah mendapat persijilan halal. Melalui data Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, hanya seorang daripada lapan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu adalah orang Islam?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Ridzuan mendakwa, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kira-kira 85 peratus syarikat bukan Islam di negara ini memiliki sijil halal daripada Jakim sedangkan pengusaha Melayu dan bumiputera yang memohon pengiktirafan tersebut perlu menunggu masa lama.

Sementara itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah meminta Jakim segera memberi penjelasan berhubung punca pencemaran coklat berkenaan bagi menjawab segala persoalan dan keraguan umat Islam mengenai perkara tersebut.

"Dalam kenyataan pada 24 Mei lalu, Jakim telah menggantung sijil pengesahan halal bagi kedua-dua produk coklat susu dengan kacang hazel dan buah badam berkuatkuasa serta-merta supaya dapat mengenal pasti punca pencemaran DNA babi di dalam produk tersebut.

"Ini bermakna memang jelas dua produk tersebut telah tercemar ketika ujian dibuat. Kegagalan Jakim untuk menjelaskan punca pencemaran itu mengundang pelbagai spekulasi dan timbul rasa kurang yakin daripada umat Islam," katanya.

Dalam pada itu menurut beliau, ketiadaan makmal ujian sendiri sebaliknya hanya bergantung kepada makmal Kementerian Kesihatan atau Jabatan Kimia menunjukkan kelemahan ketara agensi terbabit.

"Jakim seharusnya mempunyai makmal sendiri yang dilengkapi kepakaran serta kemahiran dalam kalangan profesional Islam kerana melibatkan pemakanan untuk umat Islam. Mereka perlu memberi penjelasan tentang pencemaran ini dan bertindak lebih proaktif bagi menjaga nama baik Jakim," jelasnya - UTUSAN

No comments:

Post a Comment