My Add

Wednesday 11 June 2014

Jangan mudah terpedaya maklumat palsu - PDRM

KUALA LUMPUR, SELASA 10 Jun, 2014: Orang ramai diminta tidak mudah terpedaya dengan penyebaran maklumat palsu melalui aplikasi Whatsapp yang mendakwa kononnya muncul seorang perogol bersiri berkeliaran membunuh mangsa untuk mendapatkan organ manusia.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Asmawati Ahmad berkata, maklumat itu telah dimanipulasi dan dakwaan bahawa perkara tersebut didedahkan olehnya adalah tidak benar.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat palsu yang disebarkan, suspek kononnya dikenali sebagai Mohd. Faris Farhan Akhlaken Ahmad yang dikehendaki polis kerana sudah membunuh lima lelaki dan 16 wanita untuk mendapatkan organ sebelum dijual di negara jiran.

"PDRM tidak pernah menerima sebarang maklumat yang mengesahkan bahawa kejadian pembunuhan itu berlaku.

"Oleh itu orang awam dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang tidak disahkan kesahihannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Asmawati meminta orang ramai yang mempunyai sebarang keraguan untuk menyalurkan pertanyaan berhubung perkara itu kepada pihak polis melalui Facebook rasmi PDRM di www.facebook.com/polisdirajamalaysia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment