My Add

Friday 6 June 2014

Jangan ragu status halal produk

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

JERAI, KHAMIS 05 Jun, 2014: Umat Islam di negara ini tidak perlu ragu untuk terus menaruh keyakinan terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam mempertahankan agama serta menjaga kepentingan pengguna berhubung isu halal dan haram sesuatu produk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada prosedur amat ketat yang perlu dilalui sesebuah syarikat bagi mendapatkan status halal untuk sebarang produk mereka terutama melibatkan makanan dan minuman.

"Masyarakat usah bimbang kerana hanya syarikat yang benarbenar mematuhi piawaian halal, bersih serta menjamin keselamatan makanan akan menerima status halal bagi produk mereka daripada Jakim.

"Semua itu termasuk pemantauan dan audit dijalankan secara berterusan. Audit secara rambang juga sering dilakukan paling tidak sekali setahun," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan dan Kenduri Kesyukuran Pertubuhan Peladang Kawasan FIV, Sungai Limau Dalam, di sini semalam.

Pada 24 Mei lalu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan ken­yataan bahawa mereka mengesan porcine atau DNA babi dalam produk coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond.

Bagaimanapun, Jamil Khir pada Selasa lalu mengesahkan bahawa analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua sampel produk coklat tersebut yang diambil terus dari kilangnya di Shah Alam tidak mengandungi DNA babi.

Sementara itu, katanya, pihaknya akan meminta kesemua syarikat yang terlibat dalam industri berkenaan agar lebih teliti dalam memantau rantaian pemasaran produk makanan.

"Kita tidak mahu perkara sebegini berulang lagi. Kadangkadang apabila produk itu keluar daripada kilang memang bersih tetapi sebelum sampai ke tangan pengguna, ada benda lain yang mencemarinya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment