My Add

Tuesday 10 June 2014

Jangan sangsi penubuhan LPHJ

Oleh NURUL HUDA HASSAN dan AZIZI MAJID

NUSAJAYA, ISNIN 09 Jun, 2014: Kerajaan negeri berharap tiada lagi mana-mana pihak yang meragui, sekali gus berasa sangsi terhadap usaha menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana pendirian kerajaan negeri dalam perkara tersebut jelas mendukung dan mempertahankan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen seperti sudah diamalkan selama ini.

Menurutnya, kerajaan negeri menerima hakikat prinsip utama dan asas dalam soal itu adalah raja bertindak atas nasihat Menteri Besar dan perkara itu jelas termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

"Saya ingin menyatakan bahawa pindaan yang dibuat ke atas LPHJ itu sudah dimaklumkan kepada Sultan Johor dan baginda juga tiada halangan untuk pindaan itu dibuat kerana baginda tahu sebarang tindakan perlu dibuat atas nasihat Menteri Besar.

"Jadi, kita sudah sampai ke episod di mana lembaga itu sudah diluluskan dan semuanya berakhir dengan baik dan kini kita perlu bergerak ke hadapan bagi menjayakan matlamat itu," katanya dalam sidang akhbar selepas sidang DUN di sini.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan negeri juga memberi jaminan seperti undang-undang lain, undang-undang lembaga tersebut juga boleh dipinda dari semasa ke semasa sekiranya perlu menepati kehendak dan keperluan zaman.

Kerajaan negeri, katanya, komited dan mahu meneruskan usaha yang telah digerakkan terutama dalam membuat perancangan khusus dalam soal perumahan, sekali gus berusaha mengatasi segala isu dan cabaran dihadapi rakyat.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, beliau bersangka baik dengan semua laporan dan komen yang dibuat pelbagai pihak tentang penubuhan LPHJ, namun usaha itu diteruskan kerana menyedari kepentingannya.

"Saya teruskan juga usaha pembentangan ini, kerana saya dapati dari segi pandangan diberi ia berkisar kepada satu iaitu tidak tahu apa mereka cakap dan keliru dengan komen yang mereka buat berdasarkan kepada fakta yang diputarkan.

"Namun, kita tetap teruskan juga sebab kita tahu betapa pentingnya lembaga itu bagi tujuan memenuhi segala isu dan masalah dalam sektor itu di negeri ini," katanya yang berharap wakil rakyat akan membantu menerangkan mengenai LPHJ kepada rakyat.

Sementara itu, beliau memberitahu, LPHJ dijangka dapat memulakan fungsinya sebelum berakhir suku pertama tahun depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment