My Add

Thursday 5 June 2014

Jawatankuasa bincang isu agama, penjagaan anak ditubuh

KUALA LUMPUR, KHAMIS 05 Jun, 2014: Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan isu hak penjagaan anak dan agama yang sepatutnya dianuti selepas ibu bapa berlainan agama bercerai yang banyak berlaku akhir-akhir ini.

Menterinya, Nancy Shukri berkata, beliau telahpun berjumpa dengan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Menteri di JPM baru-baru ini dalam usaha untuk menjadikan jawatankuasa itu berfungsi bagi menangani isu sensitif tersebut kerana ia membabitkan soal agama.

“Isu seperti ini memang banyak berlaku dan ia terus berlaku dalam masyarakat. Ia agak rumit kerana melibatkan perundangan di Mahkamah Sivil dan Syariah. Sebab itu, banyak perkara harus diperhalusi agar isu-isu ini dapat diatasi kalau ia berlaku lagi pada masa depan.

“Kita juga akan memikirkan siapakah wakil yang akan diletakkan di bawah jawatankuasa itu nanti," katanya di sini pada Persidangan Akta Keputusan Pembayaran Industri Pembinaan 2012 (CPAA 2012) yang telah diluluskan oleh kerajaan dan berkuatkuasa mulai 15 April lalu.

Beliau mengulas isu itu apabila ditanya tentang kes terbaharu membabitkan seorang wanita beragama Hindu, S. Deepa yang telah bercerai dengan suaminya, N Viran yang memeluk Islam dan meninggalkan dua anak masih kecil di bawah jagaan wanita terbabit.

Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Zabariah Mohd Yusof baru-baru ini telah memberikan hak penjagaan dua kanak-kanak itu kepada S Deepa berdasarkan Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan ia mencetuskan kontroversi.-UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment